NASI MINYAK OREN SUNKIST

Assalamualaikum,

Selamat menyambut hari ulangtahun kemerdekaan yang ke 58 tahun Malaysia, tanahair tercinta hari ini. Walaupun senario politik negara yang tidak stabil dan nilai Ringgit yang makin menyusut bagaikan memberi kesan kepada sambutan tahun ini namun sebagai warganegara Malaysia rasa cinta kepada negara seharusnya makin kuat dan tidak luntur. 

Kemana agaknya cuti hari ini? Bagi saya dan keluarga hanya di rumah sahaja dan kalau keluar pun mungkin sekadar ambil angin di pantai. Hari ini masih ramai pelancong yang membanjiri Pulau Langkawi dan ada yang dah beransur pulang kerana esok sekolah dah mula di buka.

Hari ini saya masak awal sedikit. Anak-anak teringin nak makan nasi minyak, jadi saya masakkan yang mudah-mudah sahaja iaitu nasi minyak oren sunkist. Resipinya sama seperti nasi biasa cuma tambahkan jus oren. Kalau tak ada oren sunkist, boleh juga larutkan 2 sudu besar jus oren sunquick ke dalam secawan air dan masukkan ke dalam beras ketika menanak nasi. Resipi ini saya adaptasi dari Ros@jintanmanis dan ubah sikit-sikit ikut bahan yang ada di dapur pagi ini.

Jom kita lihat resipinya :)

NASI MINYAK OREN SUNKIST 
Bahan A
3 cawan beras - Saya guna beras basmathi 
1 cawan jus oren sunkist (di perah dari sebiji oren sunkist)
3 cawan air 
2 helai daun pandan - di carik & simpul
beberapa titis pewarna kuning

Bahan B 
1 labu bawang besar - Di cincang 
2 ulas bawang putih - Di cincang 
2 biji buah pelaga 
1 kuntum bunga lawang 
1 inci kulit kayu manis 
2 kuntum bunga cengkih 

Bahan C
1 sudu besar minyak sapi/mentega
1 sudu besar minyak masak
sedikit kismis

Cara memasak :

1. Jika gunakan beras basmathi, rendam dahulu dalam 10minit sebelum di masak.

2. Masukkan minyak sapi dan minyak masak kedalam periuk dan setelah panas, tumis semua bahan B sehingga wangi dan kekuningan.
3. Masukkan beras dan kacau sebentar.

4. Seterusnya masukkan jus oren dan air. Masukkan juga simpulan daun pandan. Perasakan juga dengan sedikit garam dan gula, atau gantikan dengan kiub ayam jika suka.
5. Setelah nasi kering, masukkan kismis dan hiasi dengan bawang goreng ketika menghidang.
Sedap di hidangkan dengan ayam masak merah dan dalca. Resipinya boleh lihat  di sini.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)