NASI GORENG PATTAYA

Assalamualaikum,

Menu apa makan malam hari ni? Alhamdulillah, hari ini saya sempat sediakan nasi goreng pattaya atas permintaan anak-anak. Selalu jika order di gerai, agak berminyak dan tidak menepati citarasa. Jika sediakan sendiri di rumah kita boleh kurangkan minyak dan lebihkan lauk.

Kerana sudah malam, saya cuma gunakan apa sahaja yang ada di dalam peti sejuk di rumah dan sayur campur saya gantikan dengan lobak merah di potong dadu serta baby kailan. Jika masukkan kacang panjang yang di potong nipis dalam nasi goreng ni, tentu lebih enak rasanya. 

Baiklah saya ingin kongsikan resepi nasi ini bagi yang ingin mencubanya sendiri di rumah...

NASI GORENG PATTAYA
Bahan-bahan
2 cawan nasi putih
1 keping dada ayam - potong kecil dan udang segar 
1 lobak merah - di potong kiub
1 tangkai cili merah di potong serong
2 biji cili padi - dicincang halus
2 ulas bawang putih - dicincang halus
1 sudu teh lada hitam - di tumbuk kasar
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos ikan
garam dan lada sulah secukup rasa
2 biji telur - dipukul (untuk dadar)

Cara membuatnya:

1) Panaskan kuali dengan sedikit minyak. Masukkan bawang putih dan lada hitam, tumis hingga kekuningan dan wangi.

2) Masukkan ayam, udang, lobak merah, sayur baby kailan, dan cili serta tumis selama 2 minit. Pastikan sayur-sayuran lembut dan daging telah masak.

3) Pada ketika ini masukkan nasi, terus masak sehingga semua bahan-bahan bercampur. Tambahkan sos tomato, sos ikan, garam dan lada sulah secukup rasa rasa.

4) Goreng selama 2 minit lagi dan periksa perasa. 

5) Dalam kuali anti lekat, buat dadar dari dua biji telur tadi hingga kekuningan.

6) Letakkan secawan nasi goreng di tengah-tengah dadar dan lipat kepada empat bahagian. 

7) Telangkupkan ke dalam pinggan dan hidangkan dengan sos cili.


0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)