SUP TULANG

Assalamualaikum,

Apa khabar agaknya malam ini ye? Jika saya di sini, sejuk je sepanjang hari kerana hujan dari siang tadi tidak berhenti membasahi bumi Langkawi. Bila sejuk-sejuk begini enak juga hirup sup yang panas di gandingkan dengan sepinggan nasi atau roti.

Selepas pulang dari kerja petang tadi saya memasak sup tulang untuk makan malam ni. Dah hampir seminggu tulang lembu yang saya beli di pasar terperuk di dalam peti sejuk maka hari ni terhasil lah sup tulang yang enak sekali. Resepinya saya ambil dari myresepi tapi saya ubah sedikit ikut selera menjadikannya ala-ala sup tulang Thai dengan memasukkan tomato, cili padi yang di ketuk dan perahkan limau kasturi.

Jom kita lihat resepinya...

SUP TULANG 
Sumber : nor_67 (My Resepi)

Bahan-bahan ( 4 - 5 org makan )

1 kg tulang lembu (lebih sedap jika digunakan tulang rusuk)
3 biji bawang merah - dimayang halus
1 ulas bawang putih - dimayang halus
2 inci halia diketuk
1 sup bunjut (sup tulang)
1 1/2 sudu besar lada hitam - ditumbuk
Bahan penumis :5 kuntum bunga cengkih, 3 biji buah pelaga, 1 btg kulit kayu manis dan 1 kuntum bunga lawang (saya gunakan yang ada di dalam sup bunjut - sup tulang tadi)
3 biji ubi kentang
garam dan gula secukup rasa
1 batang celery jika suka (saya tak guna)
1 kiub pati ayam
air
bawang goreng dan daun sup

Bahan saya tambah 
5 biji cili padi  - di ketuk
2 biji limau kasturi 
1 biji tomato 

Cara-cara

1. Bersihkan tulang dan masukkan kedalam periuk bersama air. Sukatan air mestilah sekali ganda lebih dari paras tulang. Masaklah sehingga daging 1/2 empuk. Jgn buka api terlalu kuat kerana ini akan menyebabkan daging di tulang akan menjadi keras dan liat. Sebaiknya gunakan api yg sederhana sahaja. Masukkan sedikit garam supaya isi daging menjadi lebih sedap.

2. Buang bahagian berminyak yg terdapat dipermukaan air rebusan tulang tersebut. Biarkan sehingga ia sejuk dan masukkan kedalam peti ais. Akan terdapat satu lapisan membeku dibhg atasnya dan bolehlah dibuang, manakala air rebusan yg dibahagian bawah itu dimasukkan kembali kedalam air rebusan tulang. Kaedah ini dapat menghalang mulut/bibir kita menjadi berminyak setelah makan sup tersebut. Kaedah ini juga boleh digunakan jika hendak memasak gulai tulang. (saya tidak gunakan kaedah ini kerana kesuntukan masa)

3. Masukkan sup bunjut, halia dan ubi kentang. Bolehlah ditambah air jika kuah kelihatan tidak mencukupi. Masukkan juga serbuk lada hitam dan kiub pati ayam.

4. Dalam kuali berasingan, panaskan sedikit minyak dan tumislah bahan penumis hingga wangi dan masukkan bawang merah dan bawang putih yg telah dimayang. Goreng sehingga bawang tersebut menjadi garing dan curahkan kesemuanya kedalam periuk rebusan tulang (termasuk minyak).

5. Masukkan celery jika ada dan masukkan garam dan gula mengikut cita rasa masing-masing. Masaklah sehingga ubi kentang dan daging empuk. Masukkan juga tomato yang di potong empat.

6. Hidangkan ke dalam mangkuk dan taburlah bawang goreng dan daun sup. Perahkan limau kasturi dan masukkan cili padi yang di ketuk untuk melazatkan lagi sup.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)