BENGKANG KURMA LEMAK MANIS

Assalamualaikum,


Ramadan makin menghampiri dan bekalan kurma juga dah banyak membanjiri pasaran dengan berbagai jenis jenama serta gred dari negara-negara timur tengah. Setiap tahun permintaan kurma amat tinggi dari negara-negara islam termasuk Malaysia menjelang Ramadan kerana ia adalah makanan sunnah di samping mengandungi nutrien yang tinggi dan menyegarkan tubuh setelah seharian berpuasa.

Selain dari dimakan begitu sahaja atau dikisar bersama susu sebagai minuman menyegarkan, buah kurma juga boleh dipelbagaikan didalam masakan mengikut kreativiti dan salah satunya resipi yang ingin saya kongsikan hari ini adalah bengkang kurma lemak manis. Bagi yang ingin mencubanya bolehlah ikut resipi dibawah ini :) 

Resipi ini saya gunakan sukatan cawan metrik

BENGKANG KURMA LEMAK MANIS
Bahan-Bahan 
1 cawan tepung gandum 
1/2 cawan gula perang 
2 biji telur 
1/2 sudu teh garam halus 
1 sudu teh esen vanilla
1 tin susu cair 
1 1/2 cawan santan
6 biji kurma - untuk di kisar kedalam adunan
6 biji kurma - untuk ditabur di atas bengkang 

Cara membuatnya: 

1. Sukat gula perang dan tepung gandum. Ketepikan seketika


2. Masukkan tepung gandum bersama gula perang, santan, susu cair garam halus, esen vanilla dan telur kedalam blender.


3. Masukkan juga buah kurma yng telah dibuang bijinya terlebih dahulu. Kisar hingga adunan tidak berbintil.


4. Seterusnya tuang adunan kedalam periuk, masak sambil dikacau dengan api kecil sehingga adunan agak berat (pekat). Tuang kedalam loyang yang telah disapu minyak dan tabur baki kurma yang telah dibuang biji.


5. Bakar pada suhu 180'c selama 45minit atau 1 jam (bergantung kepada kapasiti oven masing-masing). 

6. Setelah sejuk bolehlah dipotong dan hidangkan.