ASAM PEDAS KETAM

Assalamualaikum, 


Salam pagi jumaat, penghulu segala hari. Pembaca blog yang tinggal di negeri-negeri yang cuti hujung minggunya pada hari jumaat mesti ada masa untuk memasak hari ini. Bagi yang sedang merancang-rancang nak masak apa tu, bolehlah cuba resipi Asam Pedas Ketam Cili Hidup yang saya kongsikan hari ini.

Mudah sahaja resipinya dan memang sedap gandingan kuah asam pedas dengan ketam yang isinya manis. Kali ini saya hanya gunakan cili hidup, jadi mudah kerja tak perlu nak rendam-rendam dengan air panas sebelum dikisar. Kunci kelazatan kuah asam pedas ini adalah cili hidup yang telah dikisar hendaklah ditumis dan masak hingga pecah minyak dan agak garing sebelum dimasukkan air, ketam dan bahan-bahan lain.

Nak cuba masak? Jom kita lihat bahan-bahannya :) 
ASAM PEDAS KETAM
1/2 kilogram Ketam - di kopek kulitnya dan bersihkan

Kisar hingga halus
5 tangkai cili merah 
20 tangkai cili padi
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
2 labu bawang besar
1 sudu teh lada hitam
1/2 inci belacan

Bahan lain 
1 kuntum bunga kantan
8 biji belimbing buluh 
sedikit daun kesum
1/2 biji bawang besar hiris
2 batang serai - diketuk
3 cawan air
garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara memasak :

1) Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bawang hiris hingga layu dan berbau harum.

2) Tuang bahan kisar bersama serai dan daun kesum. Kacau sekali sekala dan biarkan sehingga pecah minyak.

3) Masukkan ketam bersama air, kacau dan biarkan sebentar. Kemudian masukkan belimbing buluh, bunga kantan, garam dan gula. Kacau sebentar dan sesuaikan rasanya.

4) Biarkan sehingga kuah mendidih dan ketam masak, bolehlah matikan api dapur dan hidangkan bersama nasi.


0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)