ASAM LAKSA SEDAP

Assalamualaikum, 

Bila cuti sekolah bermula. maka akan adalah permintaan dari anak-anak teringin nak makan itu dan ini. Salah satu menu yang rating permintaan paling tinggi adalah asam laksa. Ada perbezaan ke Asam laksa dengan laksa biasa? Secara peribadi, saya lebih suka asam laksa kerana rasa kuahnya yang sangat lazat ditambah pula dengan bahan sampingan iaitu hirisan nenas dan petis yang melengkapkan dan melazatkan lagi laksa ini. 

Hmm tengah bercerita pun dah kecur liur ni, hehehe. Jom layan resipi dan gambar asam laksa yang saya sediakan ini. Sekadar memenuhi permintaan orang dalam rumah ini...nak makan banyak pun kesihatan tidak mengizinkan. Tiba-tiba sahaja gastrik datang kembali setelah sekian lama sembuh. Agaknya kerana waktu makan yang tidak menentu dan harapnya segeralah sembuh sebelum bulan Ramadhan al mubarak menjelang tiba. Semoga kita semua juga diberikan kesihatan yang baik untuk menjalani ibadah puasa pada tahun ini dan berpeluang bertemu bulan mulia yang hanya datang sekali setahun.

Jom kita lihat resepi Asam laksa Sedap dan langkah demi langkah penyediaannya. Mungkin ada yang ingin buat sendiri dirumah :)  

ASAM LAKSA SEDAP
Bahan-bahan
Sebungkus laksa kering - direndam dan rebus hingga lembut. Toskan

Bahan Kisar
15 tangkai cili kering 
10 ulas bawang merah
1 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
2 batang serai
1 inci belacan

Bahan untuk Kuah 
500gm ikan kembung 
1 tangkai bunga kantan
5 tangkai daun kesum 
garam dan gula secukup rasa
1 cawan jus asam jawa 
3 keping asam gelugur

Bahan sampingan
Telur rebus
Nenas - dihiris
bawang besar - dimayang 
cili besar
cili padi
Timun - dihiris
daun salad 
petis 

Cara membuatnya :

1. Bersihkan ikan kembung dan rebus hingga masak. Keluarkan ikan dari periuk dan asingkan isi ikan dari tulang. Kisar pula tulang dengan sedikit air dan tapis patinya kedalam periuk berisi air rebusan ikan tadi.

2. Kisar semua bahan A hingga halus dan tuang kedalam air rebusan ikan dan tambah air lagi mengikut kepekatan kuah yang di kehendaki.
3. Masukkan bunga kantan, daun kesum dan asam gelugur. Masak sebentar.
4. Seterusnya lenyek isi ikan tadi (jangan halus sangat) dengan garfu dan tuang kedalam periuk.
5. Akhir sekali masukkan jus asam jawa beserta garam dan gula secukup rasa. Masak hingga mendidih dan kecilkan api dapur. Biarkan kuah direnih hingga 1 jam dan pastikan kuah secukup rasa. Kuah Asam laksa seharusnya lebih dominan dengan rasa masam.
6. Akhir sekali bolehlah dihidangkan dengan laksa dan ulam-ulaman. Jangan lupa masukkan juga petis untuk rasa yang lebih lazat.