PAU YANG GEBU DAN LEMBUT

Assalamualaikum, 

Kalau beli pau dari luar, selalunya inti ciput sangat dan tak puas makan. Buat pau sendiri dirumah bolehlah letak inti ikut selera kita. Lagipun sedap makan panas-panas.

Contohnya di persekitaran tempat saya tinggal di Langkawi, kalau di tempat anda pula mungkin berbeza. kalau beli dari yang berjualan, habis murah pun sebiji 50 sen . Itu kira yang agak gebulah tapi intinya alahai, sikit sangat. Kalau yang dijual 3 biji seringgit tu pula paunya kecil-kecil dan agak keras, makan pun tak puas. 

Bukan nak kondem peniaga-peniaga yang mencari rezeki halal diluar sana, tapi itulah realitinya, walaupun tak semua macam tu. Mungkin juga harga barang semua mahal sekarang ni salah satu daripada penyebabnya.

Jadi...kalau nak pau yang gebu dan lembut jom kita uli sendiri. Sebelum tu bolehlah tengok langkah demi langkah yang saya sediakan ini. Terima kasih kepada kak Ton, tuan asal yang telah berkongsi resipi. 

PAU YANG GEBU DAN LEMBUT 
Bahan-bahan
2 1/2 cawan tepung pau diayak (pakai tepung gandum pun boleh)
3/4 sudu teh yis kering 
1/2 sudu teh baking powder 
4 sudu besar gula castor 
1 sudu besar lemak sayuran (shortening) 
1 sudu teh bread softener 
1/2 cawan air suam 

Cara membuatnya :

1. Satukan tepung, yis, baking powder, bread softener didalam mangkuk adunan. Uli sebati dengan memasukkan air suam sedikit demi sedikit. 
2. Masukkan lemak sayuran(shortening), uli lagi sehingga doh tidak melekat/licin. Saya hanya uli menggunakan tangan. 
3. Bahagikan doh kepada 12 bahagian Masukkan inti dan tutup kemas. 
4. Letakkan setiap pau diatas kertas empat segi (2" x 2 ") dan susun didalam pengukus. Rehatkan pau selama 45 minit didalam kukusan.

5. Didihkan air didalam periuk pengukus. Bila air mendidih, barulah diletakkan kukusan yang berisi pau tadi. Air perlu lah betul-betul panas/mendidih untuk mengukus pau bagi mendapatkan pau yg lembut dan gebu. Kukus selama 10 minit dan bolehlah diangkat.
6. Untuk inti, bolehlah menggunakan inti apa saja, mengikut kesukaan dan saya menggunakan inti kacang merah segera.