BUN PIZZA

Assalamualaikum, 

Sepanjang cuti persekolahan minggu lepas berkali-kali juga saya buatkan pizza atas permintaan anak-anak. Antaranya ialah Pizza udang, pizza mini dan bun pizza. Untuk hari ini saya ingin kongsikan resipi bun pizza yang paling laris sekali. Sekejap sahaja dah habis. Lagipun saya hanya buat satu adunan seperti resipi dibawah ini, jadi dapatlah 8 biji bun. Cukuplah untuk minum petang.

Untuk intinya, bolehlah dipelbagaikan bahan-bahan mengikut selera masing-masing. Saya letak banyak inti kedalam setiap bun, jadi memang puas hati bila makan. Tapi..bagi yang belum pernah mencuba dan takut inti terkeluar dari roti, bolehlah kurangkan sedikit inti tu :D  

Baiklah bagi yang ingin mencubanya jom kita lihat resipi dibawah ni :) 

BUN PIZZA
Bahan-bahan
1 1/2 cawan tepung gandum 
1/2 cawan susu segar 
2 sudu besar minyak masak/zaitun
1 sudu teh garam
1 1/2 sudu teh gula
1 sudu besar yis

Bahan Inti
1 biji Lada benggala - dicincang 
1 labu bawang besar - dicincang
cendawan secukupnya (pilihan, jika suka)
1/4 cawan keju mozzarella diparut 
1/4 cawan sos tomato/spaghetti
secubit garam
4 batang sosej - dicincang
minyak untuk menumis

Cara membuatnya :

1. Panaskan susu hingga suam-suam kuku. Larutkan gula dan yis kedalam susu tersebut dan biarkan selama 10minit hingga yis kembang. 

2. Masukkan pula tepung kedalam mangkuk besar dan buat lubang ditengahnya. Masukkan minyak masak, garam dan yis yang telah kembang tadi dan uli perlahan-lahan. Jika adunan agak melekat, taburkan sedikit tepung ketika menguli dan jika adunan agak kering, percik sedikit air. 


3. Rehatkan adunan selama 1 jam didalam mangkuk yang ditutup dengan plastik. Selepas sejam, adunan seharusnya telah naik dan kembang. Tumbuk adunan untuk keluarkan angin dan uli lagi dan bahagikan kepada 8 bahagian.
4. Sementara itu sediakan inti. Tumis lada benggala, sosej dan bawang besar hingga wangi. Masukkan sos tomato/spaghetti, keju dan sedikit garam. Kacau hingga sebati dan matikan api dapur.

5. Leperkan adunan dan masukkan inti kedalamnya.
6. Atur bun kedalam loyang dan biarkan naik seketika (dalam 10minit).
7. Panaskan oven pada suhu 190'c dan sapu sedikit susu segar di permukaan roti sebelum dibakar selama lebih kurang 20minit atau sehingga bahagian atas bun bertukar keperangan. Setelah masak, keluarkan dari oven dan sapu dengan mentega sebelum sejukkan roti diatas redai.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)