Assalamualaikum,


Hari ini anak-anak dah mula kembali ke sekolah. Saya bekalkan dengan sarapan yang mereka gemari iaitu yang ada biskut oreo di dalamnya. Saya gunakan sebungkus biskut oreo bersama intinya sekali untuk muffin ini dan untuk mengimbangkan rasa manis saya cuma masukkan 1/4 cawan gula kastor.

Bagi yang ingin mencuba, resipinya dan langkah demi langkah ada di bawah ni. :)
MUFFIN VANILLA OREO
1 3/4 cawan tepung gandum
1/4 cawan gula kastor
1 sudu besar baking powder
1/3 cawan minyak sayuran / minyak masak
1 biji telur - gred A
1 cawan susu segar
1 bungkus oreo - di cincang bersama intinya
coklat chips secukupnya

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven 160'c.

2. Di dalam mangkuk besar ayak tepung bersama baking powder dan masukkan juga gula kastor.

3. Di dalam mangkuk yang lain pukul bahan basah iaitu telur, susu segar  dan minyak hingga sebati.
4. Masukkan bahan basah ke dalam bahan kering dan kacau sekadar bercampur. 
5. Masukkan pula biskut oreo yang di cincang dan kaup balik hingga sekata. Jangan terlebih kacau kerana muffin akan menjadi keras.

6. Seterusnya sudukan adunan kedalam cawan muffin dan tabur coklat chips di atasnya.  


7.Bakar di dalam oven selama 20minit atau sehingga masak. Uji dengan menusuk pencungkil gigi di tengah muffin untuk mengetahui samada ia telah masak sempurna.
Assalamualaikum, 

Selamat berhari minggu untuk semua. Pulut kukus ikan masin adalah menu sarapan pagi yang membuka selera dan selalunya di gandingkan dengan kelapa parut yang di ambil bahagian putihnya. Kalau saya suka juga hidangkan dengan bawang merah yang di goreng kerana ia juga menyedapkan lagi hidangan ini.

Untuk proses yang lebih cepat, pulut juga boleh di tanak di dalam periuk nasi elektrik dan rasanya tetap sama. 

Resipi pulut kukus ini sangat mudah tetapi saya kongsikan juga di sini bagi yang belum tahu caranya.
PULUT KUKUS IKAN MASIN 
Bahan-bahan
1/2kg beras pulut
Air - sukatan lebih sedikit sahaja dari beras pulut 
1 helai daun pandan
Beberapa keping isi ikan masin - (rendam sebentar untuk menghilangkan rasa masin dan di goreng)
Sedikit kelapa parut - gaulkan dengan sedikit garam untuk membangkitkan rasa lemak
Bawang goreng - jika suka 

Cara menyediakannya:

1. Basuh beras pulut dan rendam dalam 30 minit.
2. Masukkan ke dalam bekas atau loyang untuk proses mengukus.

2. Letak loyang ke dalam pengukus, masukkan air paras lebih sedikit dari beras pulut, dan kukuslah sehingga 15 minit.

3. Setelah itu buka pengukus, kacau-kacau pulut tadi dan kukus semula selama lebih kurang 5 minit.

4. Buka tudung pengukus tadi, kacau sekali lagi dan pulut sedia untuk di hidangkan.
Saya gunakan Ikan tenggiri masin di dalam botol. 

Cara menghidang pulut ikan masin : Masukkan pulut dan ikan masin yang telah di goreng kedalam pinggan. Hidangkan juga dengan kelapa parut dan bawang goreng (jika suka).


Assalamualaikum,

Selamat bercuti dan menghabiskan masa dengan keluarga sempena cuti umum Tahun Baru Cina pada hari ini dan esok. Seperti biasa setiap kali tiba perayaan ini, banyak lambakan buah limau mandarin di pasaran dan ada juga yang di beri oleh sahabat-sahabat tionghua.

Memandangkan masih banyak buah limau mandarin tidak di sentuh oleh anak-anak, saya perah jusnya dan jadikan cupcake di hiasi dengan topping keju yang lazat. Seronok tengok anak-anak menikmatinya, kebetulan juga semua dapat berkumpul di rumah kerana cuti sekolah sempena tahun baru cina. 

Bagi yang ingin resepi cupcakes yang mudah dan comel ini, resepinya ada di bawah ni...   
CUPCAKE LIMAU MANDARIN
Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan mentega
1 cawan gula kastor
3 biji telur - Gred A
1 cawan jus limau mandarin + 3 sudu besar oren sunquick
2 sudu teh baking powder
1 sudu teh pes oren

Cara membuat :

1. Panaskan oven terlebih dahulu sebelum membakar kek. Di dalam mangkuk yang besar, pukul mentega dan gula hingga sebati.
2. Masukkan telur satu persatu sambil di pukul lagi sehingga adunan berkrim dan gebu.

3. Masukkan pula tepung gandum berselang seli dengan jus limau sambil di pukul.
4. Akhir sekali masukkan pes oren dan kaup balik hingga adunan sebati dan masukkan ke dalam acuan kertas.
5. Bakar di dalam ketuhar dengan suhu 160'c selama 30 minit atau hingga masak.


Untuk resipi topping boleh rujuk DISINI

Assalamualaikum,

Sedar tak sedar hari ni dah masuk minggu ketiga bulan Februari 2015. Selamat berhari minggu dan beristirehat bersama keluarga tercinta untuk semua.

Hari ini saya ingin berkongsi resepi kek mudah iaitu Green tea marble cake. Sedap dan wangi kek ini dan alhamdulillah di habiskan oleh anak gadis saya dan teman-temannya ketika dia membawa ke kelas tuisyen malam tadi. Semuanya memuji sedap dan suka dengan rasanya.

Baiklah bagi yang ingin resepi yang mudah ini, jom kita lihat di bawah ini.

GREEN TEA MARBLE CAKE 
Saiz Loyang  : 6' x 6' - Gandakan adunan untuk saiz kek yang lebih besar

Bahan A (Ayak)
120gm Tepung Gandum 
1 sudu teh baking powder

Bahan B
120gm mentega
120gm gula kastor
1/2 sudu teh esen vanilla
2 biji telur - Gred A
1 sudu besar serbuk green tea - bancuhkan dengan 1/2 sudu teh air suam

Cara membuat:

1. Panaskan oven pada suhu 160'c dan sapu loyang kek dengan mentega.

2. Pukul mentega dan gula hingga gebu menggunakan mixer dengan kecepatan sederhana dan masukkan telur satu persatu sambil di putar.
3. Perlahankan kecepatan mixer, masukkan bahan A sedikit demi sedikit sambil di pukul lagi.
4. Bahagikan adunan kepada dua bahagian dan campurkan salah satu darinya dengan green tea sambil di kacau agar bercampur dengan spatula.
5. Lapis adunan kedalam loyang dan lorek untuk mendapatkan corak marble. 
6. Bakar di dalam oven selama 45minit atau sehingga masak (bergantung kepada oven masing-masing)

Assalamualaikum, 

Hari ini saya ingin berkongsi resepi red velvet cupcakes yang gebu dan InshaAllah menjadi jika betul-betul ikut step yang saya sediakan di bawah ni. Tekstur kek ini lembut dan gebu sesuai juga di bakar di dalam acuan yang besar cuma lebihkan masa membakarnya. 

Jom kita lihat resepi dan cara membuatnya :)

RED VELVET CUPCAKES - Gebu dan menjadi
Bahan A
1 cawan buttermilk
2 sudu besar pewarna merah
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu teh cuka

Bahan B
2 ¼ cawan tepung gandum 
2 sudu besar serbuk coklat
1 ½ sudu teh baking soda
secubit garam halus

Bahan C
¾ cawan mentega
1 cawan gula kastor
3 biji telur gred C

* Untuk menghasilkan buttermilk campurkan 1 sudu besar cuka atau jus lemon kedalam 1 cawan susu segar. Biarkan selama 10 minit sebelum ke proses seterusnya.

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven pada suhu 170 C dan sediakan acuan muffin serta lapik dengan cawan kertas. 

2. Campurkan buttermilk, pewarna merah, esen vanilla dan cuka kedalam mangkuk dan kacau hingga bercampur. Ketepikan seketika.

3. Di dalam mangkuk yang lain campurkan tepung, serbuk coklat, baking soda dan garam. Ketepikan juga.
4. Pukul mentega dan gula di dalam mangkuk besar dan masukkan telur sebiji demi sebiji sambil di pukul.
5. Seterusnya selang seli masukkan tepung dan cecair iaitu di mulai dengan tepung dan di akhiri dengan tepung juga. Jangan terlebih pukul dan cukup sekadar adunan bercampur sahaja.
6. Isikan cawan cup cakes dengan adunan dan bakar selama 18 hingga 20 minit atau sehingga masak. Apabila telah sejuk, bolehlah di hias dengan krim keju.
TOPPING  
1/2  cawan cream cheese
1/2  cawan mentega tawar
1/2 sudu teh esen vanilla
1 cawan gula ising 

Cara membuatnya :

Masukkan cream cheese, mentega dan esen vanilla dan di pukul rata.

Masukkan pula gula sambil di pukul hingga gebu dan berkrim. Siap untuk di hias di atas kek.
Assalamualaikum, 

Selamat berhari minggu untuk semua teman-teman maya dan pengunjung blog fiza's cooking. Semoga semuanya sihat di samping keluarga tercinta.

Pagi ini agak awal 'update' blog kerana sebentar lagi hingga lewat petang masa saya akan di habiskan di luar rumah kerana ada hal yang harus di selesaikan. Sebenarnya Mini Steam Trio Marble cake ini saya buatkan untuk anak kedua untuk di bawa pulang ke asrama semalam. Resepinya ringkas, sedap dan bahannya tak banyak. Saya ambil dari kak Fida - MyR tetapi saya kukus dalam acuan mini. Anak-anak suka kerana yang merah itu saya letakkan pes strawberry, Hijau pes pandan dan satu lagi pes coklat.

Bagi yang ingin mencubanya, saya kongsikan sekali resepinya di sini.
MINI STEAM TRIO MARBLE CAKE 
Bahan A
250gm mentega
160gm gula kastor
4 biji telur - Gred A

Bahan B - Di ayak
250gm tepung gandum
2 sudu teh baking powder

Bahan C
4 sudu besar susu segar
1 sudu teh esen vanilla
3 pewarna dan perasa pilihan

Cara membuat :

1. Pukul mentega dan gula hingga kembang.Masukkan telur satu-persatu dan terus pukul hingga gebu.
2. Masukkan campuran tepung dan susu berselang-seli, di kaup-balik adunan hingga sebati sambil dimasukkan esen vanilla.
3. Adunan dibahagi 3 dan letakkan warna dan perasa pilihan. Untuk memudahkan proses melapiskan adunan, masukkan adunan berlainan warna kedalam piping beg.
4. Picit adunan berselang-seli warna ke dalam loyang yg dialas dan digris.Lorekkan adunan untuk mendapat corak marble.
5. Kukus selama lebih kurang 25 min (acuan mini). Sejukkan kek dan boleh dihidangkan.

Assalamualaikum, 

Lama tak update blog sedangkan masih ada gambar masakan yang lama tersimpan belum di masukkan kedalam entry. Bagi saya awal tahun ini memang sibuk sedikit dan bagaikan tak cukup masa untuk menguruskan segalanya. Di tambah pula dengan kesihatan yang kurang mengizinkan.

Alhamdulillah, hari ni bercuti dan ada kesempatan dapatlah berkongsi resepi ringkas ala Thai, iaitu daging masak phat phet. 

Kalau kita makan di restoran Thai, mereka menggunakan ayam untuk masakan ini tetapi  selalunya pedasnya minta ampun. Mungkin lidah kita tak tahan dengan rasa pedas kerana masakan ini menggunakan cilipadi sepenuhnya. Untuk resepi ini saya kurangkan cilipadi dan gantikan dengan cili merah agar anak-anak boleh ikut menikmatinya dengan aman :D

 Baiklah bagi yang ingin mencubanya resepi ada di bawah ini.
DAGING MASAK PHAT PHET 
Bahan A - Di tumbuk halus 
4 ulas bawang putih 
1/2 inci halia 
1/2 inci lengkuas 
1/2 inci kunyit hidup 
4 batang serai -  dihiris nipis 
1/2 sudu besar lada hitam 
10 tangkai cilipadi - kurangkan kalau tak tahan pedas
2 tangkai cili merah
1/2 inci belacan

Bahan B
1/2 kilogram daging lembu - di hiris nipis
Garam dan gula secukup rasa 
1/2 cawan air asam jawa
2 helai daun limau purut 
3 tangkai kacang panjang - di potong sepanjang 1 inci 
Minyak untuk menumis

Cara:

1. Tumbuk semua bahan A sehingga hancur dan halus. Boleh juga gunakan mesin pengisar.
 
2. Tumis bahan yang di tumbuk tadi, kacau seketika sampai naik bau dan garing sedikit. 

3. Masukkan daging dan kacau hingga sebati dan daging separuh masak.
4. Seterusnya masukkan kacang panjang sambil di kacau lagi.
5. Akhir sekali masukkan air asan jawa,garam,gula dan daun limau purut. 
Tambah air lagi jika inginkan lebih kuah.

6. Renihlah hingga masak dan bolehlah matikan api dapur.