Assalamualaikum,

Dah lama tak buat kek walaupun anak yang bongsu selalu 'request'. Kek oren kismis ni saya buat semalam dan idea untuk gabungkan keduanya datang memandangkan ada stok kismis tak terusik pun dalam almari dapur. Dah agak lama juga membelinya.

Adunan kek ni mungkin agak manis bagi yang kurang makan manis kerana di masukkan juga kismis. Tapi bagi saya ianya seimbang dengan rasa masam jus dari buah dan kulit oren yang di kisar kasar. Bolehlah kurangkan gula mengikut selera masing-masing.

KEK OREN KISMIS
Saiz Loyang : 9 inci

Bahan A
1/2 cawan mentega
1 cawan gula kastor - Kurangkan jika tak suka manis
2 biji telur - Gred A
1 sudu teh esen vanilla

Bahan B (Di kisar kasar)
1 biji Oren sunkist - di potong dan buang bijinya
1 cawan kismis
1/2 cawan buttermilk (campurkan 1/2 cawan susu segar dengan 1 sudu teh cuka)

Bahan C ( Di ayak)
1 3/4 cawan tepung gandum
1 sudu teh soda bikarbonat
1/2 sudu teh serbuk kayu manis 
secubit garam

Cara membuat :

1. Panaskan oven (180'c). Sapukan minyak dan lapik loyang dengan kertas kek

2. Campurkan potongan oren, kismis dan buttermilk serta kisar kasar. Ketepikan seketika
3. Di dalam bekas lain putar mentega, gula dan telur  sehingga gula hancur dan berkrim 
4. Masukkan buah kisar dan tepung berselang seli dan pukul ringan sekadar bahan bercampur.
5. Tuang adunan kedalam ke dalam loyang dan bakar selama 50minit ke 1 jam atau sehingga masak (bergantung kepada oven masing-masing)

Assalamualaikum, 

Singgang adalah menu yang menyihatkan dan sesuai untuk yang sedang berdiet kerana ia tidak berlemak. Memasaknya juga amatlah mudah, hanya masukkan semuanya kedalam periuk dan rebus. Sedap ratah dan hirup kuah kalau guna kepala ikan untuk masak singgang ni. 

Walaupun resipinya ringkas dan ramai yang tahu memasaknya saya kongsikan juga resipinya di sini sebagai rujukan terutama sekali untuk anak dara saya dan adik-adik di luar sana yang baru belajar memasak.
SINGGANG KEPALA IKAN 
Bahan-bahan
1 ketul kepala ikan - di belah dua

Bahan A (Tumbuk)
7 tangkai cili padi
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup 
1 inci halia
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih

Bahan B
Air secukupnya
2 keping asam gelugur 
2 batang serai - di ketuk 
1 biji tomato - di belah 
 Garam dan gula secukup rasa

Cara membuat :

1. Tumbuk semua bahan-bahan A dan masukkan ke dalam periuk.
2. Masukkan pula air anggaran separuh periuk dan boleh tenggelamkan kepala ikan nanti.
3. Seterusnya masukkan kepala ikan dan nyalakan api dapur. Renih sebentar.

4. Masukkan pula asam keping, serai dan tomato dan masaklah hingga mendidih.
5. Akhir sekali perasakan dengan garam, gula dan matikan api dapur. 


Assalamualaikum, 

Terasa lama benar tidak update blog dan berkongsi resipi dengan semua oleh kerana kesibukan sepanjang LIMA 2015 dan kesihatan anak-anak yang tidak mengizinkan. Maklumlah musim panas seperti sekarang ni memang mudah di hinggapi penyakit apatah lagi suhu di Langkawi mencapai sehingga 38'c setiap hari.

Hari ini ada sedikit kelapangan, bolehlah berkongsi idea resipi yang mudah dan cepat di masak dan yang penting bahan-bahannya mudah di dapati. Udang goreng bercili dalam gambar di bawah ni nampak macam pedas je,kan? Jangan risau sebenarnya anak-anak juga boleh ikut menikmatinya dengan aman kerana saya hanya menggunakan cili merah dan bagi yang suka lebih pedas bolehlah lebihkan cili padi.

Jom tengok resipi... :) 
UDANG GORENG BERCILI
Bahan A - Kisar 
200gm udang - di belah belakang 
6 tangkai cili merah 
4 tangkai cili padi 
8 ulas bawang merah 
1/2 inci belacan 

Bahan B
Minyak untuk menumis 
Garam dan gula secukup rasa
2 helai daun limau purut 
4 biji belimbing buluh - di belah  

Cara membuat :

1. Goreng udang di dalam minyak yang banyak hingga separuh garing dan toskan.

2. Di dalam kuali lain, masukkan sedikit minyak masak dan tumis daun limau purut. Masukkan cili kisar dan kacau hingga wangi.

3. Seterusnya masukkan belimbing buluh dan perasakan dengan garam dan gula.


4. Masukkan udang goreng kedalam kuah sambal dan masaklah hingga pekat dan hidangkan.


Assalamualaikum, 

Selamat berhujung minggu dan hari ini lebih istimewa kerana anak-anak semua cuti sekolah selama seminggu. Seronok masak dan melayan permintaan dari anak anak-anak dan keluarga bila semuanya berkumpul. 

Hari ini saya ingin berkongsi satu lagi resipi mudah dan cepat iaitu siput lala atau retak seribu masam manis. Sedap gandingkan dengan nasi panas dan makan beramai-ramai. Memang membuka selera. bagi yang ingin mencuba jom kita lihat resipi mudah ini.   
LALA MASAM MANIS 
Bahan A - Tumis 
1/2 inci halia - di hiris 
1 ulas bawang putih - di cincang 

Bahan B - Sos
2 sudu besar sos tomato
3 sudu besar sos cili 
1 sudu teh sos tiram 
1 sudu teh gula 

Bahan C
1 Kg siput Lala - di bersihkan
1 cawan air larutkan bersama 1 sudu teh tepung jagung 
minyak untuk menumis
1 biji telur - di pukul 
1/2 labu bawang holland - di hiris
1 tangkai cili merah - di hiris
garam secukup rasa

Cara membuat:

1. Masukkan minyak kedalam kuali, tumis semua bahan-bahan A sehingga wangi.
2. Tuang bahan sos iaitu sos tomato, sos cili, sos tiram dan gula kedalam bahan tumisan sambil di kacau hingga sebati.
3.  Seterusnya masukkan siput Lala kedalam bahan sos sambil di kacau dan masukkan bawang holland, cili merah, gula dan air.
4. Masak hingga mendidih dan lala terbuka dan masukkan garam secukup rasa.
5. Seterusnya tuang telur yang di pukul tadi, biarkan sebentar dan kacau sehingga telur sebati dengan kuah.

6. Hidangkan dengan nasi panas.
Assalamualaikum, 

Kerabu adalah pembuka selera dan selalunya di gandingkan dengan makanan tengahari. Ianya sinonim terutama sekali dengan selera masyarakat Asia. Salah satu daripada kerabu yang membuka selera adalah kerabu tanghoon.

Sangat mudah menghasilkannya dan boleh juga di campur dengan udang dan sotong rebus. Kali ini saya hanya mencampurkan sotong rebus ke dalam kerabu ini dan kunci kepada kesedapannya adalah kita harus pandai mengimbangkan rasa pedas, masin, manis dan masam di dalam sos yang di hasilkan.InsyaAllah resipi yang di berikan di bawah ini sudah secukup rasa. 
KERABU TANGHOON - Pembuka selera
Bahan A
Secekak tanghoon - Anggaran 1 cawan tanghoon selepas di celur
5 ulas bawang merah - di hiris nipis
1/2 batang lobak merah - di sagat memanjang   
10 biji tomato cherry di belah empat - atau 1 biji tomato biasa di cincang 
8 ekor sotong - saiz kecil di hiris dan rebus sebentar
5 tangkai cili padi - di hiris
2 tangkai kacang panjang - di potong pendek
Bahan B - Untuk Sos
3 sudu besar kicap sotong 
3 sudu besar jus limau kasturi/limau nipis
2 sudu besar gula 
1 tangkai daun ketumbar di cincang - jika suka
1 ulas bawang putih - di cincang halus

Bahan C
Serbuk cili Thai - pilihan untuk di taburkan ke atas kerabu

Cara membuat :

1. Masukkan semua bahan B untuk sos di dalam sebuah mangkuk dan kacau hingga gula larut. Ketepikan seketika.

2. Rendam tanghoon kedalam air biasa selama 5 minit hingga lembut. Setelah itu celur di dalam air mendidih selama 10 saat dan toskan. 
3. Seterusnya masukkan semua bahan-bahan A kedalam mangkuk besar dan tuang sos yang di hasilkan tadi ke atasnya lalu di kacau hingga sebati.

4. Setelah kerabu siap bolehlah di taburkan sedikit serbuk cili ketika menghidangnya. Sedap di gandingkan bersama nasi panas sebagai pembuka selera.

Assalamualaikum,

Kek lagi hari ini dan seperti biasa resipi yang mudah dan bahan yang di gunakan sederhana sahaja. Semuanya ada di dalam dapur rumah saya, tinggal di adun dan jadikan hidangan petang yang enak untuk anak-anak.

Bagi yang ingin mencubanya resipi ada di bawah ni :)

KEK KOPI SUSU
Saiz loyang : 8½ inci x  4½ inci

Bahan A - di ayak
1 ½ cawan tepung gandum
½ sudu teh baking powder

Bahan B
1 cawan mentega
½ cawan gula - boleh kurangkan jika tak suka manis
1 sudu teh esen vanilla
¾ cawan susu pekat manis
3biji telur - Gred A
1 sudu besar serbuk kopi atau nescafe - di bancuh dengan 1 sudu air panas

Cara membuat :

1. Panaskan oven terlebih dahulu. sapu mentega pada loyang dan lapik dengan kertas.

2. Ayak bahan A dan ketepikan seketika.

3. Didalam bekas yang lain, masukkan mentega dan gula pukul hingga gula hancur. Masukkan pula telur satu persatu dan esen vanilla sambil di pukul lagi.
4. Seterusnya masukkan tepung sedikit demi sedikit berselang seli dengan susu pekat manis dan pukul sekadar adunan bercampur dan sekata.
5. Bahagikan adunan kepada dua bahagian dan campurkan salah satu dengan serbuk kopi yang di cairkan tadi.
6. Tuang adunan di dalam loyang dan corakkan mengikut ikut kreativiti masing-masing. Bakar dengan api 150'c selama 1 jam atau sehingga masak. Setiap oven berbeza di antara satu sama lain dan sila tetapkan suhu oven anda mengikut kesesuaian.
Assalamualaikum,

Salam jumaat yang penuh keberkatan. Kek belang vanilla coklat ini saya buat dan hantar untuk anak yang tinggal di asrama dan tak dapat pulang hari ini kerana ada aktiviti sekolah. Resipinya sangat ringkas dan hanya menggunakan minyak menggantikan mentega.   

Bagi yang ingin mencuba, resipinya ada di bawah ini.

KEK BELANG VANILLA COKLAT
Bahan A (Ayak)
2 cawan tepung gandum
1/2 sudu teh baking powder

Bahan B
4 biji telur - Gred A
1 cawan gula kastor
1 cawan susu segar
1 cawan minyak 
1 sudu teh esen vanilla
2 sudu besar serbuk koko 

Cara membuat :

1. Di dalam mangkuk besar, pukul gula dan telur sehingga kembang dan putih.

2. Masukkan susu segar, esen vanilla dan minyak secara berperingkat dan pukul lagi sehingga semua bercampur.
3. Seterusnya masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit ke dalam adunan basah tadi sambil di kacau. Jangan terlebih kacau, cukup sekadar adunan bercampur dan sebati.
4. Bahagikan adunan kepada dua bahagian dan warnakan salah satu bahagian dengan serbuk koko.

5. Lengserkan loyang dengan sedikit minyak dan lapik dengan kertas sebelum melapis adunan.
6. Masukkan 3 sudu besar adunan warna coklat ke dalam loyang dan lapis 3 sudu besar adunan perasa vanilla ke atasnya. Terus ulang langkah tersebut sehingga habis dan bakar di dalam oven dengan suhu 150'c selama 45minit atau sehingga masak.