Assalamualaikum, 

Dah lama rasanya tak update blog :), sebab terlalu sibuk dengan tugas harian di pejabat. Selalunya bila sampai musim sibuk seperti cuti umum baru-baru ini dan tahun baru cina yang bakal menjelang, kesibukan tugas di pejabat semakin berganda dan sampai rumah sudah malam dan keletihan. Tugas sebagai seorang surirumah yang bekerjaya memang menuntut kesabaran dan pengorbanan yang besar, tapi jika kita berjaya mengimbangi keduanya dan memberikan yang terbaik..pasti ada kepuasan dalam diri.

Hari ini ada sedikit kelapangan, saya ingin berkongsi resepi brownies pisang kukus. Bagi saya yang gemar pisang dan coklat, resepi ini sangat sedap dan mudah di sediakan. Sesuai juga bagi yang kurang mahir menggunakan  oven dan baru belajar-belajar memasak, seperti anak dara saya yang seorang tu ;) 

Jom, langsung saja kita melihat resepi brownies pisang kukus...

BROWNIES PISANG KUKUS
Sumber : justtryandtaste.com
Untuk 24 potong brownies - menggunakan loyang 20cm x 20cm
Bahan-bahan
150gm coklat masakan hitam 
125gm gula pasir
3 sudu besar mentega
1 sudu teh esen vanilla
300gm pisang emas (di lecek hingga halus)
2 biji telur ayam - gred A (di pukul ringan)
100gm tepung gandum
1/2 sudu teh baking powder
20gm serbuk coklat
1/2 sudu teh garam 


CARA MEMBUAT 

1. Siapkan loyang ukuran 20cm x 20cm, sapukan mentega dan alas bahagian bawah dengan kertas minyak. ketepikan.

2. Dalam sebuah mangkuk besar, masukkan tepung gandum, serbuk koko, baking powder dan garam, kacau dengan spatula agar semuanya bercampur.

3. Cairkan coklat masakan dengan kaedah double boiler (letakkan mangkuk tahan panas di atas periuk berisi air mendidih) hingga coklat cair. Angkat dari api.


4. Kacau coklat tadi dengan whisk dan tambahkan gula pasir, mentega , esen vanilla. Kacau lagi hingga semua bahan larut. 


5. Tuangkan adunan coklat tadi kedalam mangkuk yang agak besar, masukkan pisang lecek ke dalamnya dan kacau rata. Tambahkan telur yang di pukul tadi (pastikan coklat tidak panas ketika memasukkan telur). Kacau dengan whisk hingga adunan panas.

6. Masukkan tepung yang bercampur serbuk koko, baking powder dan garam tadi dalam 3 tahap dan kacau dengan spatula hingga rata. Tuangkan adunan ke dalam loyang, ratakan permukaan nya. Kukus selama 45 hingga 50 minit hingga brownies masak.



Assalamualaikum.

Salam maulidur rasul, untuk semua. Pasti ramai yang bercuti hari ni dan bersantai dengan keluarga tercinta di rumah. Bagi saya terpaksa bekerja, maklum saja beginilah jika  bekerja di bidang perkhidmatan, waktu yang paling sibuk adalah ketika cuti umum dan cuti sekolah. Masak apa agaknya untuk keluarga hari ni? 

Saya ingin berkongsi resepi ayam masak hijau yang saya masak dan tinggalkan untuk anak-anak yang bercuti hari ni. Resepinya mudah di sediakan dan bagi saya rasanya juga sedap.

AYAM MASAK HIJAU 
Bahan-bahan
1 ekor ayam - di potong lapan dan goreng 
250ml santan 
150gm kacang pis
2 keping asam gelugur
1 biji cili hijau - di belah dua 
garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis


Bahan-bahan kisar
15biji cili hijau 
10gm daun pudina
5 biji bawang besar
1 ulas bawang putih


Cara membuat:

1. Tumis bahan-bahan kisar sehingga berbau wangi. Masukkan asam gelugur dan perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Kacau hingga garing.

2. Masukkan ayam dan santan. Kacau sebati.

3. Biarkan mendidih dan tabur kacang peas, daun bawang, daun sup dan cili hijau ke dalamnya.

4. Setelah kuah pekat, angkat dan sedia untuk di hidangkan.

# Boleh juga tidak memasukkan daun pudina, tetapi penggunaan nya membantu menyegarkan dan melazatkan lagi masakan ini.




Assalamualaikum, 

Malam tadi saya ada mencuba resepi kuih talam yang bagi saya sungguh sedap dan ada kelainan dari kuih-kuih talam yang pernah saya buat sebelum ini. Saya ambil resepi ini dari thebakingstudio.blogspot.com, iaitu empunya penyulawa@kak Nim....Wah....mudah resepinya dan menepati selera. Lapisan bawahnya tidak menggunakan santan atau sebarang cecair, hanya campurkan ubi keledek yang telah di rebus terlebih dahulu, gula dan tepung jagung..lecek hingga menjadi paste dan kukus selama 10 minit. Hasilnya lapisan bawah agak kenyal dan sedaplah...:)

Saya ikut resepi yang telah di ubahsuai oleh kak Nim di dalam blognya, kecuali saya kurangkan sedikit gula pada lapisan bawah ke 150gm dan masukkan 2 sudu gula ke lapisan atas untuk sesuaikan rasa  dengan selera anak-anak, sedangkan resepi asal tidak perlu masukkan gula ke lapisan santan.

Baiklah...jomlah kita lihat resepinya, saya share resepinya sekali lagi di sini :)

Cantik dan berseri warna semulajadi keledek oren ni...saya tidak menggunakan sebarang pewarna tambahan untuk kuih ini.

TALAM KELEDEK (UBI MANIS)
Sumber : thebakingstudio.blogspot.com (penyulawa@kak Nim)
Bahan-bahan
Lapisan Bawah 
500gm keledek - di rebus dan lecek 
150gm tepung jagung 
200gm gula pasir (saya kurangkan ke 150gm)


Campurkan kesemua bahan dan lenyek sehingga menjadi pes. Masukkan ke dalam loyang (9 x9) dan ratakannya. Kukus sebentar dalam 10 minit.


Lapisan Atas 
1 cawan tepung beras
3 cawan santan
1 sudu teh garam 
2 sudu besar gula (saya tambah)


Cara membuat:

1. Bancuh tepung beras dengan santan, masukkan juga garam dan gula.

2. Kacau atas api hingga naik wap dan sedikit melikat tapi jangan terlalu pekat.

3. Tuang ke atas lapisan keledek yang sudah di kukus tadi (cucuk lapisan adunan keledek dengan garfu untuk melekatkan adunan lapisan santan). 


4. kukus lagi selama 20 - 25minit. Sejukkan sebelum di potong dan hidangkan. 







Assalamualaikum, 

Apa khabar hari ini ya? Hari isnin selalunya agak sibuk bagi yang bekerja setelah bercuti semalam. Apa hidangan tengahari ini ya? Untuk menjimatkan masa, kita boleh pelbagaikan hidangan membuka selera dan selalunya hidangan sambal dan yang pedas-pedas menjadi pilihan saya.

Untuk hari ini saya ingin berkongsi resepi sambal bilis belimbing buluh. Sambal ini lebih kurang sama dengan sambal hitam pahang cuma yang bezanya, ia tidak di goreng terlebih dahulu dan di makan mentah begitu sahaja. Sangat enak di hidangkan dengan ulam seperti timun yang ranggup dan nasi panas. 

SAMBAL BILIS BELIMBING BULUH
Bahan-bahan 
100gm Ikan bilis - di kopek dan tumbuk
5 biji belimbing buluh - di hiris (boleh tambah jika suka)
1 labu bawang besar
1 biji tomato - di cincang
10 biji cili padi 
garam dan gula secukup rasa


Cara membuat 

1. Hiris nipis cili padi dan bawang besar.

2. Satukan semua bahan dan gaul rata.

3. Perasakan dengan garam dan sedia untuk di hidangkan.


Assalamualaikum,

Hari ni di Kedah cuti umum sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah. Wah...anak-anak sibuk nak berjalan ambil angin di sekitar Langkawi dan malam tadi sanggup tidur lewat kerana habiskan segala kerja rumah yang guru berikan. Saya dan ayah mereka turutkan saja permintaan anak-anak walaupun cuaca di sini panas sangat dan cuti cuma sehari saja  tapi mengenangkan tiap hari mereka sibuk di sekolah dengan pelajaran dan malamnya di kelas al-quran kami fikir anak-anak memang perlukan masa bersantai hari ini...:). Tak perlu jauh-jauh mengambil angin...cukup di sekitar Langkawi dan anak-anak memang enjoy.



Jadinya saya sekeluarga makan di luar seharian hari ni dan tiada aktiviti memasak. Tapi saya ingin juga berkongsi resepi bahulu yang sempat saya buat malam tadi. Tidaklah sesukar mana membuat kuih bahulu dan resepi ini saya ambil dari my resepi dan alhamdulillah, menjadi :). Saya cuma buat separuh adunan dari resepi di bawah.


BAHULU CERMAI 
Sumber : tungtung 15 - My resepi 

Bahan-bahan ( Dalam 80 biji ) 
10 biji telur gred A
380gm gula pasir
1 tsp esen ros 
200gm tepung gandum
1/4 tsp baking powder


Cara-cara

Pukul telur dan gula sehingga kembang dan pekat.

Ayak tepung dan baking powder kedalam adunan batter yang telah betul-betul kembang dan pekat. Kacau adunan dengan spatula.

Tips 1. Sebelum bakar bahulu, isikan acuan dengan minyak dan bakar dalam oven selama 10 minit untuk memanaskan acuan dan supaya adunan tidak melekat. Keluarkan acuan yang telah panas dari oven dan buangkan minyak. Acuan sedia untuk digunakan.

Tips 2. Sediakan kain yang dibalut pada kayu untuk sapukan minyak ke acuan setiap kali sebelum masukkan adunan ke acuan.

Tips 3. Bakar gula dalam oven sebentar sebelum guna sehingga agak-agak hangat dan terus tuang kedalam telur. Tips ini untuk ketahanan kuih bahulu. Tahan sehingga sebulan tanpa pengawet. Kalau tak mahu buat cara ini, kuih bahulu boleh tahan selamat 2 minggu. 

Tips 4. Untuk meringankan kuih bahulu, bakar tepung dalam oven. Tapi jangan lama-lama. Sekejap saja. Dan tepung agak-agak hangat je. Ini sama lah dengan kaedah orang dulu-dulu jemur tepung.

Akhir sekali bakar bahulu ke dalam oven dengan suhu 220'c (api atas dan bawah) sehingga masak dan kekuningan.


Assalamualaikum, 

Hari ini bercuti maka saya ada sedikit masa untuk memasak lauk tengahari untuk keluarga. Atas permintaan anak-anak, saya memasak ayam percik untuk di gandingkan dengan nasi panas. Resepinya sangat ringkas dan cepat di sediakan serta menepati citarasa saya sekeluarga. 



AYAM PERCIK
Sumber : Chef Hanieliza
Bahan A
1 ekor ayam ( di potong 4 bahagian)
3 cawan santan pekat (1 biji kelapa)
1/2 cawan air asam jawa
1 sudu teh gula pasir
1 sudu makan halba
garam secukup rasa

Bahan B
15 tangkai cili kering 
5 biji bawang merah 
4 ulas bawang putih
2 inci halia
5 batang serai 

CARA MEMBUAT:

1. Bersihkan ayam dan tuskan. Gaulkan dengan garam.

2. Masukkan ayam di dalam kuali bersama bahan-bahan yang di kisar, santan pekat, halba, asam jawa dan gula  sehingga sederhana masak (sehingga kuahnya tinggal sedikit) tetapi pastikan  segala rempah sebati dengan ayam.


3. Letakkan ayam di atas pemanggang dan bakar di atas dapur sehingga nampak garing. Boleh juga di bakar di dalam oven dengan 200'c hingga masak.


Assalamualaikum,

Pagi ini buat muffin lagi atas permintaan di kecil untuk bekalan ke tadika. Suka sangat dia dengan muffin...celik-celik mata saja waktu pagi pasti bertanya, Mama buat muffin apa hari ni? :)

Saya turutkan saja kemahuan dia dengan senang hati, kerana satu kepuasan bagi seorang ibu kalau anak ternanti-nanti masakan kita. Mudah sangat muffin yang saya sediakan hari ni, iaitu banana choc chip muffin dan resepinya saya ambil dari sasharahmat.blogspot. Bagi yang tidak suka manis, boleh kurangkan gula dalam adunan kerana rasa manis dari pisang juga sudah cukup membuatkan muffin ini sedap.

BANANA CHOC CHIP MUFFIN 
Bahan A (satukan dan seratakan bahan)
2 cawan tepung naik sendiri 
3/4 cawan gula kastor

Bahan B (Pukul ringan semua bahan)
1 biji telur
1/2 cawan minyak masak
3/4 cawan susu segar 
1 sudu kecil esen vanilla

Bahan C

1 Cawan pisang - di lenyek dan masukkan kedalam adunan B (kacau rata)



Cara Membuat:

1. Masukkan tepung dan gula ke dalam mangkuk besar, kacau rata dan buatkan lubang di tengah-tengah adunan.

2. Masukkan bahan basah (Bahan B yang di campurkan dengan pisang lenyek) dan masukkan juga chocolate chips. Kacau sekadar adunan menjadi basah dan jangan over mix (Kacau tak lebih dari 20kali).

3. Tuang adunan kedalam cawan muffin.


3. Bakar dalam oven pada suhu 170'c (20 atau 25minit) bergantung kepada oven masing-masing.



Assalamualaikum, 

Projek sarapan pagi hari ni, adalah membakar muffin lagi :). Mood minggu ni memang buat muffin je, dan saya masukkan ke blog untuk menambahkan lagi koleksi resepi muffin untuk rujukan pada masa depan dan kepada sesiapa yang ingin mencuba.

Sebenarnya jika tau teknik, amat mudah membuat muffin dan menyeronokkan untuk melakukan eksperimen dengan mempelbagaikan rasa dan jenis-jenis muffin. Resepi triple chocolate muffins ini saya ambil dari forum cari.com dan amat sesuai serta menepati rasa  penggemar coklat. Saya ubah suai sedikit resepi ini dengan menggunakan tepung gandum (resepi asal menggunakan tepung gandum dan tepung superfine) dan hasilnya tetap sedap dan menjadi. 

Bagi saya keistimewaan muffin ini terletak pada coklat masakan yang mencair di tengah-tengah selepas di bakar. 


TRIPLE CHOCOLATE MUFFINS
sumber: cari.com
(Adunan mendapat 12 muffin - cup besar)
375gm tepung gandum 
4 sudu besar serbuk koko 
5 kecil baking powder 
    1/2 sudu kecil garam
    210gm gula kastor

    2 biji telur besar, dipukul ringan
    300ml susu segar
    110gm mentega cair dan disejukkan

    100gm coklat chips
    1/2 sudu teh tepung gandum 
    12 ketul coklat masakan
CARA MEMBUAT:

1. Panaskan oven pada 200'c. Sediakan cawan muffin.

2. Ayak tepung, serbuk penaik, serbuk koko dan garam ke dalam mangkuk adunan. Tambah gula ke dalam adunan tepung. Gunakan whisk untuk mengacau adunan agar bercampur.

3. Dalam mangkuk lain campurkan telur, susu dan mentega cair. Kacau sebentar.

4. gaul coklat chips dengan tepung gandum (untuk mengelakkan tenggelam dalam adunan).

5. Buat lubang di tengah-tengah bahan kering, tuang bahan basah dan gaul sebentar sekadar bercampur dan tepung basah. Masukkan coklat chips, kaup balikkan ke dalam adunan. Adunan harus kelihatan berketul-ketul. Jangan overmix.

6. Skop 1 sudu adunan ke dalam setiap cawan muffin. Letakkan ketulan coklat masakan di tengah setiap muffin. Tutup ketulan coklat dengan baki adunan.

7. Kurangkan suhu oven kepada 180'c dan bakar selama 25-30 minit atau sehingga masak.




Assalamualaikum,

Salam pagi isnin. Hari ni saya sempat buatkan muffin pandan untuk sarapan anak-anak sebelum ke sekolah. Suka sangat anak-anak dengan muffin, mungkin kerana mengenyangkan dan mudah di bawa sebagai bekal. Jika tidak sempat menjamah sarapan pagi, selalunya mereka bawa dan makan di dalam van sekolah yang datang seawal 6.45pagi dan di beri juga muffin panas yang baru keluar dari oven itu kepada pemandu van iaitu Mrs Raju :).

Hari ini juga tak dapat nak bercerita panjang kerana mau bersiap-siap dan bawa anak ke hospital. Kedua-dua anak iaitu yang nombor 3 (abang Chik) dan yang bongsu (adik) merengek dari malam tadi tidak dapat tidur kerana demam panas dan selsema, jadi kita langsung saja lihat resepi muffin pandan...

MUFFIN PANDAN 
sumber : rinnchan.fotopages.com
Bahan-bahan: 
200gm tepung gandum 
1 1/2 sudu teh baking powder 
1/2 sudu teh soda bikabonat 
1/2 sudu teh garam halus 
120gm gula castor 
200ml santan kelapa (dalam kotak) 
100ml minyak jagung 
2 biji telur 
1/2 sudu teh pewarna hijau (boleh lebihkan jika ingin warna yang terang) 
1/2 sudu teh esen pandan  
Bahan topping ikut selera - Almond slices, kismis atau ceri. 

Nota : 
Sekiranya tiada pandan paste atau pandan essence, boleh blend 5-7 helai daun pandan bersama 200ml santan di atas dan tapis. 

Cara-cara: 
1. Panaskan oven pada suhu 180'c. Sediakan cawan muffin. 

2. Ayak tepung, baking powder, soda bikabonat dan garam halus. Masukkan ke dalam 
sebuah mangkuk besar. Campurkan gula halus dan kacau rata menggunakan whisker. 

3. Campurkan ke semua bahan basah ke bahan kering. Kaup balikkan sekadar kesemua 
bahan bercampur. Adunan akan kelihatan seakan berketul2 sedikit (lumpy). 

4. Isikan adunan ke dalam cawan muffin dan taburkan kepingan almond di atasnya. Saya taburkan juga sedikit kelapa kering. 


5. Bakar selama 20 - 25 minit (bergantung kepada oven masing-masing) 






Assalamualaikum :)

Waktu begini kalau buat goreng pisang tentu enak di gandingkan dengan teh atau kopi panas untuk tea break. Apalagi jika goreng pisang tu ranggup dan kurang berminyak. Jika jemu dengan goreng pisang biasa yang sering kita buat, apa kata mencuba resepi goreng pisang ala Taiwan ni. Resepi ini saya ambil dari google juga, dan mudah sangat di sediakan serta tidak perlu membancuh adunan tepung untuk di salut dengan pisang yang akan di goreng.

Sesekali tak salahkan jika bertukar selera :). yang penting keluarga suka apa yang kita masak. Baiklah, jika ingin mencuba resepinya ada saya sertakan di sini...

CRISPY FRIED BANANA - TAIWAN STYLE 
Bahan-bahan
Beberapa biji pisang (apa-apa jenis pisang yang sesuai di goreng)
1 cawan tepung gandum
2 biji telur - di pukul ringan
susu pekat manis
1 cawan serbuk roti
1/4 cawan kacang tanah - di kisar
1/4 cawan serbuk kelapa kering (coconut flakes)

CARA MEMBUAT:

1. Kupas pisang dan potong kecil.


2. Golekkan pisang kedalam tepung gandum, angkat masukkan kedalam telur yang di pukul dan golekkan sekali lagi pisang tadi kedalam serbuk roti.

3. Goreng pisang yang telah di salut hingga garing dan angkat. 


4. Untuk menghidangkannya, tuang susu pekat di atas pisang goreng tadi dan taburkan kelapa kering dan serbuk kacang tanah.   








Assalamualaikum,

Salam pagi jumaat :). Sekejap sahaja kita bakal sampai ke minggu kedua tahun 2013 dan hari ni dah 11hb Januari. Jika di negeri Kedah, hari ini dan esok anak-anak bercuti hari minggu, dan hari Ahad sekolah akan di buka semula, Jadi hari ni boleh sedikit bersantai  kerana anak-anak tidak terkejar untuk bangun awal ke sekolah. Bolehlah saya masuk ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi dengan tenang. :)

Pagi ini saya sempat buatkan kuih bakar jagung untuk sarapan pagi kerana kebetulan ada  stok bahan-bahannya di almari dapur. Resepi ini ringkas dan cepat kerana cuma blender semua adunan dan bakar hingga masak di dalam oven selama 1 jam. Untuk mendapatkan lebih kerak, saya tukar ke api atas 10minit terakhir.

Jom kita lihat resepinya...:)

 KUIH BAKAR JAGUNG
Sumber : zana08 - My Resepi
Bahan-bahan
1 cawan tepung gandum
1 cawan santan
1 cawan susu sejat 
3/4 cawan gula
2 biji telur
1 tin jagung manis ala krim
sedikit pewarna kuning
sedikit bijan
1 sudu teh esen vanilla - (saya tambah)
1 sudu besar mentega - (saya tambah)


CARA MEMBUATNYA:

1. Kisar semua bahan hingga sebati kecuali jagung, mentega dan bijan di dalam blender.

2. Masukkan jagung dan kisar sebentar sahaja.


3. Panaskan loyang di atas dapur sebentar, masukkan mentega dan biarkan cair. Tuang adunan yang di blender tadi ke dalam loyang dan taburkan bijan.

4. Bakar pada suhu 180'c selama 1 jam, dan 10minit terakhir saya tukar kepada api atas sahaja dan menjadikan kuih lebih berkerak.

* Seperti biasa, sebelum membakar kuih atau kek, sila panaskan oven selama lebih kurang 10minit terlebih dahulu ;)





Assalamualaikum & selamat pagi.

Pagi ini saya sempat buatkan apple & raisins muffin sebagai sarapan. Bagi saya kesedapan rasa muffin ini adalah datangnya dari hirisan epal hijau dan taburan serbuk kayu manis. Resepi ini saya adaptasikan dari www.bestrecipes.com.au dan alhamdulillah menjadi. Rasa muffin ini kena dengan selera anak-anak dan mudah di sediakan. 

Bagi yang ingin cuba buat resepinya ada di sini :)

APPLE & RAISINS MUFFIN
Bahan-bahan (Bahan A)
125gm mentega di cairkan dan sejukkan 
1/2 cawan gula
1 biji telur - di pukul perlahan (pakai garfu)
3/4 cawan susu segar 

Bahan Di ayak (Bahan B)
1 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu besar baking powder
1/2 sudu teh serbuk kayu manis 
1/4 sudu teh garam


Bahan C
1 1/2 cawan epal hijau di kupas dan potong dadu (kecil-kecil)

1/2 cawan kismis

Bahan D 
Campuran serbuk kayu manis dan gula (Saya gunakan cinnamon sugar jenama Mc Cormick)

CARA MEMBUAT

1. Ayak tepung gandum, serbuk kayu manis, baking powder dan garam halus dan masukkan ke dalam sebuah mangkuk besar.

2. Kacau mentega, susu, gula dan telur yang di pukul tadi dalam satu bekas dan tuangkan ke dalam adunan tepung di dalam mangkuk tadi. Masukkan juga epal yang di potong kiub dan kismis.

3. Kacau sebentar saja (sekadar adunan bercampur) dan masukkan ke dalam acuan muffin. Taburkan campuran gula dan serbuk gula kayu manis ke atas muffin tadi.


4. Bakar di dalam oven bersuhu 180'c kira-kira 20-25minit atau sehingga masak (bergantung kepada oven masing-masing).