Assalamualaikum, 

Apa khabar pembaca blog fizalgk dan kawan-kawan sekelian. Harapan saya semoga kita semua sentiasa sihat dan bahagia selalu. Perkongsian pemanis mulut dari saya petang ini adalah Pengat pisang sama keledek. Ada dua jenis keledek yang saya gunakan dalam resipi ini iaitu keledek oren dan keledek jepun, manakala pisang pula saya gunakan pisang raja. 

Pengat ni sangat sesuai dihidangkan untuk minum petang dan kalau ikut style anak bongsu saya, dia suka simpan dalam petiais terlebih dahulu dan makan sejuk-sejuk dengan biskut kering. Tak kiralah dihidangkan panas atau sejuk pengat pisang sama keledek ini memang sedap dan rasanya yang lemak-lemak manis tu sungguh memikat selera. Dan pesanan untuk yang jaga kesihatan tu, bolehlah kurangkan gula ikut kesesuaian ye. Jom buat pengat pisang sama keledek untuk minum petang ni. ❤❤❤  
PENGAT PISANG SAMA KELEDEK
Bahan-bahan
2 ketul keledek oren
2 ketul keledek jepun 
5 biji pisang raja 
2 cawan santan pekat
4 cawan santan cair
½ cawan sagu biji  - cuci dan rendamkan bersama ½  cawan air selama 10 minit dan toskan
2 ketul gula melaka - diracik halus dan masak hingga larut bersama  1 cawan air dan tapiskan
2 helai daun pandan

Cara-Cara:

1. Kupas dan potong dadu besar dua jenis keledek tersebut dan rebus sehingga empuk, angkat dan toskan. Pisang dipotong serong dan ketepikan seketika. 
2. Satukan santan cair dan santan pekat didalam periuk, masukkan sekali air gula melaka yang sudah di tapis tadi. Masukkan daun pandan dan sagu biji dan kacau sebati.
3. Masukkan keledek rebus dan pisang tadi dan renihkan. Kacau sentiasa supaya santan tidak pecah dan biarkan mendidih. 
4. Sekiranya kurang manis bolehlah tambah gula pasir sedikit. Setelah siap, matikan api dapur dan bolehlah di hidangkan.

Assalamualaikum, 

Selamat berhari minggu untuk semua pembaca blog fizalgk dan rakan-rakan sekalian. Perkongsian resipi untuk hari ini...sesuai dengan cuaca panas sekarang ni iaitu Puding Laici Bandung. Bahan-bahan yang digunakan tak banyak. Sedap dihidangkan sejuk selepas keluarkan dari petiais . Jom cuba buat resipi puding laici bandung dan ikut step by step yang disediakan dibawah ni :)  

PUDING LAICI BANDUNG
Bahan A
20gm agar-agar bertali
3 cawan air
1 cawan gula

Cara membuatnya :
 Masak agar-agar bersama air hingga larut, masukkan gula pasir. Masak lagi hingga mendidih dan gula larut.

Bahan B
1 tin laici  - asingkan air laici dan isinya. Carikkan isi laici kecil-kecil
1 tin susu cair
3 sudu besar biji selasih – Rendam dalam air panas seketika
1 sudu besar sirap ros

Cara membuatnya :

1. Sukat air laici dan kalau tak cukup tambah air untuk jadikan 2 cawan. Tuang air laici tersebut kedalam periuk agar-agar tadi dan biarkan mendidih seketika, Perlahankan api dapur. Setelah itu asingkan 3 cawan agar-agar laici dan ketepikan seketika.
 2. Sukatkan 2 cawan susu cair, kalau kurang tambah air. Tuang dalam lebihan agar-agar dalam periuk dan besarkan semula api  dapur. Masukkan sirap ros dan biji selasih, kacau sekejap dan tutup api dapur.
 3. Ambil 2 cawan agar-agar bandung dan tuang kedalam Loyang bersaiz 9 x 9 inci yang telah dibasahkan dengan air. Biarkan sederhana beku. Saya guna acuan silikon kecil untuk puding ini.

 4. Panaskan sekejap agar-agar laici dengan api perlahan , tuang sedikit atas agar-agar bandung dan ratakan laici pada keseluruhan Loyang, biarkan beku sedikit.

5. Panaskan pula baki agar-agar bandung dengan api perlahan dan tuang hingga habis keatas agar-agar laici. Sejukkan seketika sebelum masukkan kedalam peti ais.

Assalamualaikum,
Pada 14hb March 2018 yang lalu telah berlangsungnya majlis sidang media pelancaran rancangan Masakan Baba’s Versus 1001 rasa musim kedua di Ballroom Hotel Emperial Subang. Program hari itu diacarakan oleh fiza Sabjahan dan turut dihadiri oleh Ketua pengiklanan dan Promosi Baba's, Mr Claudin Navin Stanislaus. Dua orang pengacara rancangan masakan ini iaitu Chef Adhu Amran dan Chef Kamarul menghangatkan lagi majlis pelancaran ini dengan celoteh yang menghiburkan.
Rancangan masakan yang paling ditonton di Malaysia dan mendapat rating tinggi itu akan memasuki musim kedua dan akan ditayangkan kepada penonton mulai  22 Mac 2018 setiap Khamis, jam 6 petang dan   episod ulangan pada hari Isnin berikutnya pada jam 5.35 petang. Program 13 episod itu akan menampilkan 26 peserta dengan 14 Chef berpengalaman sebagai mentor.
Selain itu, VS 1001 Rasa Babas akan memperkenalkan edisi khas sempena hari perayaan pada episode kedua ini sempena sambutan Hari Gawai dan Keamatan (30 Mei), Hari Raya Aidilfitri (21 Jun) serta Hari Merdeka (31 Ogos). Episod ini bakal menampilkan selebriti tempatan dan sudah tentu lebih meriah dan memberikan kelainan dari episod pertama.
Majlis tersebut juga meraikan pemenang Baba’s Versus 1001 rasa musim pertama iaitu Mohd Khairul Fazly bin Ismail dari Langkawi yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM 10,000 diikuti oleh tempat kedua yang dimenangi oleh Mohd Yusry Mohd Yusuf yang menerima wang tunai sebanyak RM 3000. Manakala Intan Amira Abdul Aziz dan Anis Dzahira Junaidi merangkul tempat ketiga dengan kedua-duanya membawa pulang wang tunai sebanyak RM 500.
Dalam musim kedua rancangan Baba’s Versus 1001 rasa ini juga, fizalgk telah dijemput menjadi juri untuk 4 episod bersama 2 orang lagi juri dan bagi saya ini agak mencabar kerana peserta yang bertanding telah memberi komitmen yang tinggi dan dibimbing pula oleh mentor-mentor chef yang sangat hebat. Susah sebenarnya nak beri markah kerana persaingan memang sangat sengit dan semuanya terbaik.
Jangan lupa nantikan persaingan sengit setiap peserta ‘berperang’ didapur Baba’s Versus 1001 Rasa didalam merebut gelaran Chef Selebriti dan pastikan anda menonton setiap episod yang sangat mendebarkan. Untuk maklumat lanjut tentang rancangan ini, mencuba resipi-resipi enak dan menyertai peraduan tonton dan menang, bolehlah masuk  dan follow Facebook BABA’S & U
Assalamualaikum, 

Apa khabar pembaca blog fizalgk dan rakan-rakan sekalian. Wah....lama betul tak update blog ye, bukannya apa...dah lama laptop buat hal hinggakan dan upload gambar untuk edit pun tak dapat. Hari ni saya kongsikan resipi biasa lauk sehari-hari sahaja iaitu udang masam manis. Ada sedikit masa senggang saya update dari PC dipejabat...hihihi bukan curi tulang tau, jangan salah faham pula.

Eh, jomlah tengok resipi dibawah ni dan selamat mencuba.

UDANG MASAM MANIS 
Bahan-bahan
10 ekor udang saiz besar@sederhana - dibersihkan
1 biji bawan holland - dipotong baji 
2 biji tomato - potong lapan 
½ batang timun – dipotong baji 
2 biji cili merah - dimayang 
3 tangkai cili padi - ketuk sedikit 
¼ cawan nenas – dipotong kecil
1 sudu besar kicap cair 
2 sudu besar sos tiram 
3 sudu besar sos tomato 
1 sud besar gula pasir
1 sudu teh lada sulah 
¼ cawan air

Bahan Tumis 
2 ulas bawang putih 
3 sudu besar minyak masak

Cara memasak :

1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih hingga berbau harum.

2. Masukkan udang sambil dikacau, bawang holland, cili merah, timun, tomato dan air.

3. Kacau hingga sebati selama lebih kurang 2 minit dan masukkan pula nenas serta kicap cair, sos tiram dan sos tomato.

4. Perasakan dengan lada sulah dan gula pasir dan pastikan masakan ini mempunyai rasa masam dan manis. Jika kurang masin bolehlah tambah sedikit garam.

5. Kacau lagi dan bolehlah matikan api dapur serta hidangkan dengan nasi putih.