Assalamualaikum,

Salam pagi jumaat penghulu segala hari :). Sarapan apa pagi ni? Jangan pandang ringan dengan pengambilan sarapan pagi kerana kajian membuktikan dengan pengambilan sarapan dapat mencegah sakit jantung, tingkatkan daya tumpuan, memenuhi nutrisi yang di perlukan dan mengurangkan berat badan. Ini adalah kerana bersarapan pagi dengan perut kosong akan mempercepatkan pembakaran kalori dengan lebih efisien.

Baiklah berbalik kepada menu sarapan pagi hari, apa kata kita cuba 'chinese chicken porridge'. Selain dari menu sihat, ia juga enak sekali. Jom kita lihat resepinya...
CHINESE CHICKEN PORRIDGE

BAHAN-BAHAN UNTUK BUBUR (Hidangan 6 orang)
Ayam bahagian peha
2 liter air
3 tangkai daun bawang (beserta ubinya) - di simpul
1/2 inci halia - di hiris
3 ulas bawang putih - di ketuk
200gm beras
garam
kicap secukup rasa

BAHAN HIASAN
Minyak bijan
lada sulah
daun bawang - di cincang
telur asin - di rebus (Ini saya tambah)

Cara membuatnya:-

1. Dalam periuk besar, masukkan ayam yang telah di cuci bersih, air, halia, daun bawang dan bawang putih. Masak hingga mendidih dan isi ayam masak sepenuhnya.
2. Keluarkan ayam, kikis daging dari tulang. Ketepikan daging ayam tadi dan masukkan semula tulang ayam kedalam periuk.
3. Masukkan pula beras yang telah di cuci ke dalam periuk yang mengandungi air rebusan tadi, masak hingga mendidih dan renihkan. Kacau sekali-sekala untuk mengelakkan nasi dari melekat pada bahagian bawah periuk.
4. Keluarkan tulang ayam daripada bubur dan tambah kicap secukup rasa. Boleh juga masukkan garam dan hidangkan berasingan dengan kicap selepas bubur masak.

5. Selepas bubur masak, hidangkan di dalam mangkuk dengan bahan hiasan dan isi ayam yang di asingkan dari tulang tadi.


Assalamualaikum,

Lemon coconut loaf ini sangat enak dan tidak muak walaupun kepingan demi kepingan masuk ke mulut saya :). Rasanya yang masam-masam manis sungguh sedap sekali. Tak tipu...memang sedap, dan berbaloi saya membuatnya malam tadi. 'Toping glaze' dan kelapa kering yang di tabur selepas kek siap juga melazatkan lagi rasanya.

Bagi yang ingin mencubanya..resepi ada di sini...
LEMON COCONUT LOAF 
Saiz loyang : 8' x 4'
Bahan-bahan
1 Cawan gula kastor
1/2 cawan mentega 
2 biji telur 
1 biji lemon (di parut kulit dan perah jusnya)
1 1/2 cawan tepung gandum 
1 sudu kecil baking powder 
1/4 sudu teh garam 
1/2 cawan susu segar 
1/2 cawan kelapa kering 
GLAZE TOPING  (Kacau hingga pekat)
3/4 cawan gula ising 
2 sudu besar jus lemon - atau lebih mengikut keperluan

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven pada suhu 175'c, dan griskan loyang dengan mentega.

2. Pukul gula dan mentega di dalam mangkuk besar hingga gebu dan masukkan telur satu persatu sambil di pukul lagi.Tuang jus lemon dan kulitnya yang telah di parut tadi kedalam adunan mentega tersebut.
3. Masukkan pula tepung yang di ayak dengan baking powder dan garam sedikit demi sedikit berselang seli dengan susu segar, pukul sebentar. Akhir sekali masukkan kelapa kering dan kaup balik hingga rata serta tuang ke dalam loyang. Bakar hingga masak (dalam 60 hingga 65 minit).
4. Setelah kek sejuk, hiaskan dengan glaze (toping) lemon iaitu dengan memasukkannya ke dalam plastik 3 segi, tebukkan di hujungnya dan picitkan ke atas kek tersebut. tabur juga kelapa kering ke atas toping tersebut.


Assalamualaikum.


Muffin yang satu ni memang sedap rasanya, dan yang paling saya suka ialah rasa dan bau wangi muffin ini ketika di bakar iaitu hasil paduan serbuk kayu manis dan serbuk buah pala.

Selalunya jika kek atau muffin yang menggunakan ubi keledek atau labu ianya di rebus terlebih dahulu sebelum di lecek dan masukkan ke dalam adunan, tetapi resepi ini ada kelainan sedikit iaitu ubi keledek di parut kasar. Sekali lihat seperti muffin karot tapi bezanya muffin ini lebih enak dan rasa lemak-lemak manis ubi...sungguh menggoda selera. 

Muffin ini mengenyangkan sebagai sarapan pagi dan anak-anak juga minta di bawa sebagai bekal ke sekolah pagi ini.
MUFFIN KELEDEK OREN 
Sumber : Just try & taste (resepi asal muffin ubi jalar ungu) 

Bahan-bahan 
 6 sudu besar mentega 
150 gram gula kastor
 2 butir telur 
1 sudu teh esen vanilla
 190 gram tepung gandum - di ayak
1 1/2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh serbuk kayu manis
1/4 sudu teh serbuk pala
 1/2 sudu teh garam
 200 ml susu cair (saya guna susu segar)
150 - 200 gram ubi keledek oren - di parut kasar
Cara membuat :

1. Panaskan oven, set di suhu 175'C, sapu loyang muffin dengan mentega dan tabur tepung, ketepikan.
2. Sediakan mangkuk, masukkan tepung gandum, garam, serbuk kayu manis dan serbuk buah pala, kacau rata.

3. Di dalam bekas lain,  pukul mentega dan gula dengan speed tinggi hingga mengembang dan lembut, masukkan telur satu persatu dan kacau. Masukkan juga esen vanilla dan kacau hingga sebati. matikan mixer.
4. Masukkan tepung berselang seli dengan susu segar ke dalam aduan tadi sambil di kacau perlahan dengan spatula hingga adunan tercampur. Masukkan ubi keledek yang di parut tadi kacau rata. Jangan berlebihan mengacau adunan dan hentikan proses tersebut sebaik sahaja adunan telah bercampur.
5. Tuang di loyang muffin dan bakar selama 25 - 30 minit hingga masak.

Roti Jala memang enak di gandingkan dengan kari ayam atau kuah durian. Pagi ini saya bangun awal sedikit dari biasa maka dapatlah menjala roti untuk keluarga dan sempatlah anak-anak merasa sebelum ke sekolah.  Kali ini saya buat tanpa telur kerana anak yang bongsu mengalami alahan dan berpantang dari mengambil makanan yang mengandungi telur buat sementara waktu. Sekejap sahaja kerja menjala dengan botol muncung tiga seperti yang saya gunakan sebelum ini DI SINI. Kuahnya pula saya hasilkan dari durian kampung dan gandingan keduanya benar-benar membuka selera di pagi hari.

Jom kita lihat resepinya…


ROTI JALA TANPA TELUR
2 cawan tepung gandum
1 cawan susu segar – boleh juga gunakan susu cair
2 cawan air
sedikit garam
1 sudu besar minyak masak 
beberapa titis pewarna kuning

Cara membuatnya:
1. Masukkan semua bahan ke dalam blender dan kisar hingga adunan sebati.
2. Jika adunan agak cair, tambahkan sedikit air (kepekatan adunan bergantung juga kepada jenis tepung gandum yang di gunakan).
3. Biarkan adunan selama 10 minit (sementara menyediakan kuah durian) dan bolehlah di kirai di atas kuali anti lekat.

KUAH DURIAN
Beberapa ulas durian 
1 cawan santan 
1/2 cawan gula pasir - sila tambah jika ingin lebih manis
2 cawan air
2 sudu besar tepung jagung di larutkan dengan sedikit air (untuk memekatkan kuah)
Secubit garam
1 helai daun pandan (dikoyak dan disimpul)

Cara membuatnya
1. Asingkan isi durian dari bijinya dan ketepikan seketika.
2. Masukkan Isi durian, santan, air, garam, gula dan daun pandan di dalam periuk dan masak dengan api perlahan sambil di kacau selalu.
3. Larutkan tepung jagung dengan sedikit air sejuk dan tuang ke dalam kuah tadi sambil di kacau lagi hingga pekat dan masak.

Assalamualaikum,

Cuaca mendung sahaja petang ini di bumi Langkawi. Rasanya sebentar lagi hujan akan turun dengan lebatnya. Petang-petang begini enak juga jika ada kuih untuk di gandingkan dengan teh hangat dan yang paling mudah adalah kuih dadar atau di sebelah utara Malaysia ni orang menyebutnya kuih ketayap. Mudah sahaja penyediaaan kuih ini dan pastinya anak-anak suka kerana intinya yang lemak-lemak manis di perbuat dari isi kelapa. Kalau ibu saya dahulu kelapa tersebut di kukur sahaja. Anak-anak sekarang entah kenal dengan kukur atau tidak ya :). Lagipun sekarang sudah mudah kerana di pasar basah memang tersedia kelapa parut yang telah siap di mesin dan memudahkan kerja memasak.

KUIH KETAYAP ATAU DADAR 
Bahan untuk kulit 
1 cawan tepung gandum 
1 cawan air jus pandan (kisar 4 helai daun pandan dengan 1 cawan air dan tapiskan)
1/2 cawan santan 
1 biji telur 
beberapa titik pewarna hijau 
secubit garam 

Bahan inti:
1/2 biji kelapa parut (guna kelapa parut putih sahaja tanpa bercampur dengan kulit ari)
150 gm gula merah atau gula melaka  
3 sudu besar gula pasir  
1/2 cawan air  
2 helai daun pandan - di koyak dan simpulkan 
1 sudu teh tepung gandum - untuk memekatkan inti

Cara membuatnya:

1. MEMBUAT INTI : Masukkan semua bahan ke dalam periuk dan masak di atas api sederhana. Kacau hingga gula cair dan inti masak. Ketepikan seketika.

2. MEMBUAT KULIT DADAR :  Masukkan semua bahan di dalam mangkuk. Kacau sebati dan tapiskan.


3. Panaskan kuali dan sebaiknya gunakan kuali anti lekat yang telah di sapu dengan sedikit minyak, tuangkan sesenduk adunan ini dan lenggang-lenggangkan kuali tadi, supaya adunan rata dan nipis. 

4. Setelah masak, angkat dan letakkan satu sudu besar inti di tengah-tengah dadar tersebut.

5. Lipatkan bahagian kiri dan kanan lalu gulungkan dadar tersebut. Bila selesai bolehlah di hidangkan.






Assalamualaikum,

Rebung manis ni saya beli ketika ke pasar malam petang semalam. Ramai juga yang berjualan hasil kampung dan ulam-ulaman termasuk juga berbagai jenis rebung. Rebung manis ini menarik perhatian saya kerana penjualnya telah siap potong serta rebus. Ini benar-benar memudahkan tugas saya..tinggal nak masak sahaja. :)

Hari ini bercuti dan menghabiskan masa dengan keluarga di rumah, jadi sempat juga untuk masak lauk rebung yang di beli semalam. Tapi, masaknya yang simple-simple sahaja kerana banyak lagi kerja membasuh dan mengemas rumah yang menunggu. Yang di namakan ibu itu, pasti ada saja kerja yang menanti untuk di bereskan. Dan itu pastinya ada ganjaran yang menanti...sebenarnya wanita itu memang istimewa, dan janganlah mengeluh tiap sesuatu yang kita kerjakan untuk keluarga tercinta. Ini peringatan untuk diri sendiri juga. 

Baiklah...jom lihat rebung saya yang telah siap di masak... :)
MASAK LEMAK REBUNG MANIS DAN UDANG 
Bahan-bahan
500gm rebung manis - Potong kecil dan rebus sebentar serta toskan airnya
 BAHAN DI TUMBUK / DI KISAR
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1 sudu besar ikan bilis atau udang kering
10 biji cili padi 
BAHAN LAIN
200gram udang segar
1 cawan santan pekat 
2 cawan air
garam secukup rasa
1 sudu besar minyak 

Cara membuatnya

1. Kupas kulit udang dan bersihkan. Ketepikan seketika.

2. Panaskan minyak di dalam periuk dan tumis bahan kisar. Kacau sehingga naik bau.

3. Masukkan air dan rebung, biarkan hingga mendidih. Masukkan juga udang dan santan, renihkan lagi hingga mendidih dan masak.

4. Masak lagi hingga pekat dan perasakan dengan garam.


Assalamualaikum,

Menu utama makan malam ini adalah kari ayam. Ini kiranya two in one, bila anak-anak tak sama seleranya ada yang nak makan nasi dan ada pula yang cuma berselera untuk makan roti sahaja. Apa pun itu, kari ayam ini sedap bila di gandingkan dengan keduanya.

Resepinya sama seperti biasa, tapi saya ingin kongsikan juga di sini untuk adik-adik pembaca blog ini yang masih dalam proses belajar memasak. Jom kita lihat resepinya... :)

KARI AYAM
Bahan-bahan:
1 kg ayam

BAHAN TUMIS
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 kuntum bunga lawang 
1 inci kulit kayu manis 
2 biji buah pelaga 
2 tangkai daun kari 

BAHAN-BAHAN LAIN
4  sudu besar serbuk kari - (campurkan dengan sedikit air)
1 sudu besar kerisik
3 biji kentang - di potong kiub
2 cawan santan
1 biji cili merah - di belah dua
1/2 cawan air asam jawa
1 kiub ayam 
garam secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Bersihkan ayam dan potong dalam saiz sederhana.
2. Tumbuk kasar bawang merah, bawang putih dan halia. Sementara ubi kentang di potong kiub.
3. Panaskan minyak di dalam periuk, tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia yang telah ditumbuk beserta bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga dan daun kari. Kacau sebentar hingga naik bau, masukkan pes kari yang di bancuh dengan sedikit air. Masak sambil di kacau hingga terbit minyak dan masukkan 1/2 cawan air.
4. Masukkan ayam dan renihkan sebentar hingga rempah kari meresap kedalam daging, masukkan kentang  serta biarkan mendidih. Masukkan juga santan, cili merah serta kerisik. Suaikan kepekatan kari ayam mengikut citarasa dengan menambah sedikit air.

5. Renihkan hingga masak dan perasakan dengan garam.

Assalamualaikum,

Dah lama tak masak kue teow kerang dan kalau teringin saya makan di luar sahaja kerana sukar mendapatkan kerang segar. Selalunya jika saya ke pasar, yang ada adalah isi kerang yang telah siap di rebus dan saya memang mengelak untuk membelinya kerana pernah terkena. Isinya liat bukan main dan anak-anak sakit perut selepas makan. Mungkin rezeki agaknya, petang semalam selepas pulang dari pejabat dan singgah di pasar bertemu pula dengan penjual ikan yang menjual kerang segar. Alhamdulillah...maka terhasil lah kue teow kerang malam tadi.

Jom kita lihat resepinya... :)
KUE TEOW KERANG 
Sumber : Tiffin Biru (CMG)

Bahan-bahan
500 gram kue teow - di cuci dan toskan
5 biji bawang merah, hiris halus
3 ulas bawang putih, cincang halus
1 genggam isi kerang segar yang siap di rebus 
2 genggam taugeh - cuci dan toskan
10 pokok kucai di potong pendek 
2 biji telur, dipukul sedikit
1 sudu besar cili kisar
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap pekat
3 sudu besar kicap manis
Sos ikan secukupnya
Hirisan cili merah sebagai hiasan
CARA MEMBUATNYA 

1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis hirisan bawang merah, bawang putih dan cili kisar hingga harum.
2. Masukkan sos tiram dan kerang, kacau rata. Tolak ketepi kuali, masukkan telur dan biar sedikit mengeras. Kacau hingga hancur dan gaul rata.

3. Masukkan kicap pekat, kicap manis dan sedikit sos ikan. Kacau dan masukkan kue teow, gaul rata.

4. Tambah taugeh dan kucai, kacau hingga semua mesra, jika nak warna lagi gelap, tambah sedikit lagi kicap pekat. Masak sekejap dan rasa, jika kurang masin, renjiskan sedikit sos ikan.
5. Angkat dan alih dalam bekas sesuai, tabur hirisan cili sebelum dihidangkan.


Assalamualaikum,

Setelah sesi persekolahan kembali bermula selepas cuti hari raya aidilfitri, selalunya guru kelas akan mengadakan jamuan hari raya pula di sekolah iaitu setiap pelajar yang mampu di minta untuk membawa kuih-muih dan berkongsi dengan kawan-kawan. Seronok kan...teringat zaman saya belajar dulu pun begitu juga. Tapi dulu selalunya saya bawa je lebihan kuih raya yang masih ada dalam simpanan atau apa saja yang di bekalkan oleh ibu. Tak pandai 'demand' menu yang macam-macam.

Anak-anak kita sekarang bijak...apalagi yang asyik mengadap facebook dan internet. Pandai pula tu cari resipi di google dan minta di buatkan itu dan ini :). Seberapa boleh saya sediakan juga...dan selalunya yang mudah-mudah sahaja. Lagipun, yang mereka minta tu untuk di kongsikan dengan guru dan teman-teman.

Kali ini pula saya buatkan kek coklat, setelah 'blogwalking' ke SINI. Nampak mengiurkan betul kek yang di hasilkan oleh kak Yah.Saya suka toping yang di hasilkan oleh empunya resepi kerana ringkas dan sedap. Kek ini saya kukus dalam loyang-loyang kecil manakala resepi asalnya di bakar.

Jom kita lihat resepinya. Izinkan saya berkongsi sekali lagi di sini...

KEK COKLAT
Bahan-bahannya
200gm tepung gandum - diayak 2 kali
100gm serbuk koko
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat
3 biji telur - Gred A
200gm gula kastor
1 cawan susu pekat manis
1 cawan minyak masak
1 cawan air panas

1. Ayak tepung gandum bersama serbuk koko, baking powder dan soda bikarbonat.
2. Pukul telur bersama gula hingga kembang, masukkan susu dan minyak. Pukul lagi.
3. Masukkan tepung, putar hingga sebati. Masukkan pula air panas dan kacau hingga adunan tidak berketul.
4. Panaskan ketuhar dengan suhu 180'C, alas loyang dengan kertas kek dan masukkan adunan.
Bakar selama 1 jam atau sehingga masak. (saya kukus selama 1 jam)
TOPING
2 sudu besar margerin
6 sudu besar susu pekat manis
6 sudu besar serbuk koko
Air panas secukupnya untuk melikatkan adunan

Tuang toping ke atas kek dan taburkan dengan coklat rice atau almond nib ( sebelum tu saya panggang almond nib seketika di dalam oven)


Assalamualaikum,

Sup bebola daging ringkas ni di buat khas untuk anak ke 3 yang demam panas sejak semalam dan hilang selera makan. Doktor juga nasihatkan agar kurangkan pengambilan makanan berminyak dan bergoreng dalam seminggu ini. Jadi sup ini sesuai sangat di hidangkan dengan nasi yang di masak lembik sedikit untuk makan malam ini.

Resipinya sangat ringkas kerana saya gunakan bebola daging yang telah siap di jual. Itu sahaja yang sempat dan ada di dalam peti sejuk di rumah.


SUP BEBOLA DAGING 
Bahan-bahan
3 ulas bawang merah - di mayang
2 ulas bawang putih - di mayang 
1/2 inci halia - di ketuk sedikit
1 bungkus sup bunjut - adabi
sebungkus bebola daging - keluaran Ramly
air secukupnya
1 kiub daging/ayam atau ikan bilis
1 batang lobak merah saiz sederhana - di potong 
2 biji kentang - di potong 
garam 
Cara membuatnya:

1. Panaskan sedikit minyak di dalam periuk, tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi. Masukkan air dan sup bunjut, kacau hingga mesra.

2. Seterusnya masukkan bebola daging, lobak merah dan kentang. Renihkan hingga mendidih dan masukkan kiub daging atau ayam. 
3. Suaikan rasa dan hidangkan dengan menabur daun bawang, daun sup dan sedikit bawang goreng.

Assalamualaikum,

Almond london merupakan biskut moden yang menjadi kegemaran saya dan baru sekarang sempat 'update' dalam blog. Biskut ini saya hasilkan malam hari raya aidilfitri yang lalu tapi dek kerana sibuk dan tak sempat menjengah blog selepas itu maka saya terlepas pandang biskut yang satu ini. Eloklah resepinya di simpan di sini, jadi mudah untuk buat rujukan selepas ni. 

Resipi biskut ni saya ambil dari blog Tiffin Biru dan memang enak rasanya. Menurut cerita CMG, resipi ni asalnya dari Chef Wan. Elok juga di hidangkan jika mengadakan rumah terbuka sementara kita masih lagi di dalam bulan syawal yang mulia ni.

BISKUT ALMOND LONDON
Bahan-bahan
125gm mentega
75gm gula aising
1 kuning telur
1 sudu teh esen vanilla
225gm tepung gandum*
1 sudu teh emplex*(*disatukan dan diayak)
335gm badam berkulit, digoreng hingga kuning keemasan, toskan atas paper towel

Bahan-bahan lain
300gm coklat masakan 
1/2 camca besar lemak sayur
Badam cincang secukupnya, disangai hingga kuning keemasan
Paper cup saiz kecil secukupnya

Cara membuatnya:-

1. Satukan mentega dan gula aising, kacau hingga sebati, masukkan kuning telur dan esen vanilla, dan kacau lagi hingga berkrim.
2. Masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga adunan menjadi doh yang lembut. Tutup doh dengan tuala lembap. Ambil sedikit doh, lebih kurang 3/4 sudu teh dan salutkan doh tadi pada sebiji badam. Buat hingga habis.
3. Bakar dalam oven pada suhu 150C selama 10 - 12 minit. Sejukkan atas jaringan.
4.  Cairkan coklat secara double boiler (meletak mangkuk tahan panas berisi coklat masakan di atas periuk air mendidih). Bila coklat cair, masukkan lemak sayur dan kacau rata.
5. Ambil sebiji biskut yang tadi, masukkan dalam paper cup dan sudukan coklat masakan hingga memenuhi biskut. Tabur sedikit badam cincang dan susun dalam bekas. Buat seterusnya dan susun rapat-rapat antara satu sama lain, tujuannya untuk menjadikan biskut sedikit bujur bila coklat mula membeku nanti. Buat hingga habis dan biar coklat betul-betul beku, baru simpan dalam bekas kedap udara.