Assalamualaikum, 

Enaknya kuih bakar durian atau di sebelah utara semenanjung, masyarakat di sini menyebutnya bengkang durian. Apalagi saya membakarnya di dalam loyang muffin dan agak berkerak kuihnya, memang sangat sedap.

Di Langkawi sekarang banyak durian di jual di pinggir jalan dan bagi penggemar durian sudah  pasti  tercari-cari resepi untuk mempelbagaikan hidangan dengan raja buah ini. Apa kata cuba resepi kuih bakar seperti yang saya buat ini.

Kali ini saya mencuba resepi dari blog Bro Rozan & ternyata sungguh mudah cara membuatnya. Selagi ada kemahuan, pasti menjadi. Jom kita intai resepinya.
KUIH BAKAR DURIAN 
Sumber : Bro Rozzan 

Bahan-Bahan
260 gm tepung gandum
240 gm gula
400 ml santan pekat (dalam kotak)
450 ml air
4 biji telur saiz besar - kocok sedikit
2 sudu besar minyak sapi
sedikit bijan - (saya tambah)
1 sudu teh garam (atau secukup rasa)
pewarna kuning (pilihan - tak letak pun tidak mengapa)
secubit serbuk vanilli (saya letak 1 sudu teh esen vanilla)
250 gm isi durian (dilecek)

Cara:

1. Tepung, gula dan air disatukan dan kacau rata-rata.
2. Masukkan isi durian, santan pekat, telur, vanilli, pewarna, garam dan kacau terus.
3. Masukkan minyak sapi dan ratakan.

4. Panaskan loyang di dalam oven dan sapu sedikit minyak/minyak sapi.
5. Keluarkan loyang dan tuang adunan tadi ke dalamnya.Boleh juga di taburkan dengan sedikit bijan, jika suka.

6. Bakar selama 30-40 minit atau hingga kekuningan dgn suhu 180-200 darjah Celsius.

Assalamualaikum,

Sarapan apa agaknya ya? Alhamdulillah saya sekeluarga bersarapan bengkang ubi kayu pandan pagi ni. Dah lama tak buat sebarang kuih sendiri untuk sarapan pagi, tapi sekembalinya saya dari pejabat petang semalam terperasan ada ubi kayu yang saya beli dari pasar malam jumaat lepas masih elok terikat di dalam bungkusan plastik. Daripada di biarkan rosak saya tukarkan kepada kuih yang lazat untuk hidangan pagi ni. Alhamdulillah :)

Resepi ni saya ambil dari blog yatie, dan resepi asalnya dari Bro Rozan. Saya hanya buat separuh dari adunan iaitu seperti resepi di bawah ini. Sedap tau, paduan pes pandan dan ubi kayu memang benar-benar mantap. 

Oh ya, ada pembaca yang pernah bertanya...kalau bingka ubi kayu ni memang tidak menggunakan sebarang tepung ke? Atau resepi yang di kongsikan tu terlupa nak masukkan tepung. Jawapannya memang TIDAK menggunakan tepung, cuma ubi yang di parut sahaja dengan bahan-bahan lain :)
BINGKA UBI PANDAN
Bahan-Bahan (loyang 5x9x2 inci)

500gm ubi kayu yang telah di parut (perah dan buang semua kanjinya)
250 ml santan pekat (santan kotak)
75 ml air
125 gm gula
2 biji telur – pukul sedikit (saya guna telur gred A)
1/2 sudu besar minyak sapi - saya hanya guna mentega
1/2 sudu besar pes pandan
1/2 sudu teh garam
sedikit pewarna kuning (utk mendapatkan warna hijau yg lebih menarik)

Cara membuatnya :

1. Satukan ubi parut dan gula dalam sebuah mangkuk besar lalu masukkan minyak sapi/mentega dan telur. Gaul rata bahan-bahan ini.
2. Kemudian masukkan juga santan, pes pandan, air, garam dan pewarna kuning. Kacau lagi sehingga sebati.
3. Sapukan sedikit minyak pada dasar dan keliling loyang. Masukkan adunan ubi tadi kedalamnya. Bakar di dalam oven selama kira-kira 1 jam – 1 jam 10 minit dgn suhu 200/220 darjah Celsius. Oven hendaklah dipanaskan terlebih dahulu.

Assalamualaikum,

Ini adalah entry kedua dalam bulan April ni. Alamak, kemanalah mood berblogging ni pergi. Teruk benar reputasi kebelakangan ni. Hanya kata maaf dan terimakasih kepada pengunjung blog yang masih sudi bertandang di sini. 

Sayang awak semua tau kerana sudi masuk kesini mencari resepi dan mencubanya. Kesian juga kepada pembaca yang ingin 'copy paste' resepi-resepi tetapi terdapat sedikit kesulitan kerana buat sementara waktu saya terpaksa melumpuhkannya seketika di sebabkan ada pihak yang tidak bertanggung jawab mengambil gambar-gambar masakan di sini untuk kepentingan sendiri tanpa pengetahuan dan persetujuan saya. 

Baiklah, untuk perkongsian hari ini apa kata kita cuba memasak asam pedas ikan pari. Mungkin resepi ini lain sedikit dari resepi yang anda masak selalu tu. Bagi saya rempah yang di sangai(goreng sebentar tanpa minyak) itu buatkan asam pedas ni wangi dan sedap tau.Jom kita lihat...:)
ASAM PEDAS IKAN PARI 
3 ketul ikan pari - yang telah di potong 
Bahan Kisar (A)
15tangkai cili kering - di rebus sebentar hingga lembut
1 sudu besar pes asam jawa
1/2 inci belacan
5 ulas bawang merah - di tumbuk 
4 ulas bawang putih - di tumbuk
1/2 inci halia - di tumbuk 

Bahan yang di goreng tanpa minyak dan di tumbuk (B)
1/2 sudu besar jintan manis
1/2 sudu besar lada hitam 
1/2 sudu besar ketumbar 
Bahan (C)
1 biji tomato - di belah empat 
2 kuntum bunga kantan - di belah 
5 tangkai daun kesum 
2 batang serai - di ketuk
3 biji timun kecil - di potong
2 helai daun limau purut - buang urat di tengahnya
3 cawan air 
Cara memasak: 

1. Bersihkan ikan dengan air limau nipis untuk menghilangkan bau hanyir.

2. Sementara itu kisar cili kering dengan belacan dan ketepikan. Goreng bahan-bahan B seketika dan tumbuk kasar.
3. Masukkan sedikit minyak kedalam periuk, tumis bawang merah, bawang putih dan halia yang di tumbuk tadi serta serai yang di ketuk hingga wangi dan kekuningan.

4. Tuang pula cili yang di kisar tadi, rempah yang di tumbuk (Bahan B) kacau sebentar hingga cili masak dan masukkan pula air.

6. Masukkan isi ikan dan renihkan seketika.

5. Akhir sekali masukkan pula bunga kantan, daun kesum, tomato, daun limau purut dan renihkan hingga mendidih dan masak. Masukkan juga garam dan serbuk perasa (jika suka). Boleh juga imbangi rasa kuah dengan sedikit gula.

Assalamualaikum, 

Dah lama tak bersua ye. Sibuk benar kebelakangan ini dengan urusan di rumah, tugas harian di pejabat, menghadiri kelas dan menyiapkan assignment yang harus di hantar setiap bulan. Beginilah rutin sebaik sahaja menyambung pelajaran, masa agak terhad untuk tugas-tugas yang lebih penting walaupun memasak dan 'update' blog juga penting dan mendatangkan kepuasan bagi saya. 

Hari ini saya ingin berkongsi resepi kari kepala ikan che jah yang resepinya saya ambil dari blog Amie's little kitchen. Terimakasih K.Amie dan Che Jah untuk resepi yang sungguh lazat ini. Oleh kerana saya memasak untuk makan malam kari kepala ikan ini, saya sekadar menggunakan apa yang ada di dalam  peti sejuk sahaja dan tidak meletakkan kacang bendi dan terung kerana tak ada stok. Jika tidak mesti bertambah lazat lagi.

Baki kari yang tidak habis untuk hidangan makan malam itu saya panaskan hingga agak kering serta pekat dan cicah dengan roti ketika sarapan pagi. Memang layanlah... :)

KARI KEPALA IKAN CHE JAH 
 Sumber      Amie's little kitchen 
Resepi asal  Puan Che Jah Bakar

Bahan-bahan:
Kepala ikan bawal / jenahak / tenggiri dll - belah 2  
5 sudu makan rempah kari ikan - Amie gunakan rempah kari  ikan dan udang Baba's (saya pun guna jenama ini)
sejemput / secubit halba 
sejemput / secubit biji sawi
2 biji terung bulat - belah 4 - saya tak letak  
10 biji kancang bendi - saya tak letak 
tomato - saya tambah
1/4 cawan santan pekat
sedikit asam jawa - bancuh dengan 1 cawan air
1 pelepah daun kari - lurutkan
garam / gula / perasa pilihan
Bahan hiris :
2 ulas bawang putih
2 biji bawang merah 
Bahan tumbuk:
2 ulas bawang putih 
2 ulas bawang merah - tumbuk
sejemput / secubit jintan putih
Cara memasak:

1. Goreng kepala ikan setengah masak dan ketepikan.

2. Gaul bahan tumbuk dengan rempah kari ikan hingga sebati - Amie tambah sedikit air.

3. Panaskan minyak dan goreng bahan hiris hingga layu dan berbau harum.

4. Masukkan bahan rempah kari, daun kari, halba serta biji sawi dan tumis kacau hingga terbit minyak.
5. Masukkan air asam jawa, terung dan kacang bendi dan biarkan sehingga mendidih - sekiranya kuah terlalu pekat atau air terlalu sedikit, boleh tambahkan sedikit air lagi.
6. Masukkan kepala ikan, tambahkan santan pekat. Biarkan seketika sehingga masak.

7. Perasakan dengan garam / gula / serbuk perasa (pilihan)