Assalamualaikum & selamat pagi.
Hari ini saya dah mula bekerja dan pasti akan sibuk seharian dengan tugas di pejabat. Maklum saja selepas 4 hari bercuti pasti banyak kerja yang menunggu :) Sebab itu seawal pagi ni saya dah masukkan entry untuk hari ni iaitu kuih serimuka pelangi.
Kuih serimuka adalah sejenis kuih tradisional melayu dan yang kita tahu resepi asalnya cuma lapisan bawah pulut dan lapisan atas berwarna hijau. Seiring dengan peredaran zaman, kuih serimuka juga telah di pelbagaikan dan kali ini saya mencuba resepi kuih serimuka pelangi. Bahan-bahannya tetap sama, cuma lapisan atasnya di warnakan dengan empat warna. Resepi ini saya ambil dari buku masakan kompilasi talam keluaran karangkraf, hadiah dari seorang teman :).
Bagi yang ingin mencuba, jom kita lihat resepinya...
KUIH SERIMUKA PELANGI
Bahan lapisan bawah
2 1/2 cawan santan cair
2 cawan beras pulut - rendamkan selama 3 jam
1 sudu teh garam
Bahan lapisan atas
3 sudu makan gula pasir (kurang manis - sila tambah gula jika menginginkan rasa yang manis)
2 cawan santan pekat
1/2 cawan tepung kastad
1/2 cawan tepung gandum
1 biji telur - di pukul sebentar
secubit garam
pewarna kuning, hijau, merah dan coklat paste.
CARA MEMBUATNYA
1. Masukkan semua bahan lapisan bawah ke dalam loyang dan kukuskan selama 20minit.
2. Apabila telah masak, tekan dalam loyang sehingga mampat.
3. Bancuhkan semua bahan lapisan pelangi kecuali pewarna, dan tapiskan.
4. Bahagikan adunan lapisan pelangi kepada empat mangkuk dan warnakan.
5. Kukus semula pulut yang telah di mampatkan.
6. Lapiskan pulut dengan adunan warna hijau dan kukus selama 10minit, sebelum di tuang adunan ke atas pulut, pastikan pulut tersebut di cucuk-cucuk dengan garfu untuk melekatkan lapisan atas.
7. Buat lapisan seterusnya hingga habis.
8. Pastikan kuih benar-benar sejuk, barulah di potong dan hidangkan.