Assalamualaikum,

Salam pagi jumaat untuk semua. Dah sarapan atau belum ni? Jika belum, apa kata cuba masak nasi goreng telur masin pagi ni. Sedap tau, membuka selera. Bahan-bahannya pun tak banyak di gunakan.

Kalau nak tau resepinya jom lihat di bawah ni. Resepi asal saya ambil dari blog wendy tapi saya ubah suai sedikit kerana beliau mengukus telur masin yang merah terlebih dahulu dan memasukkan telur putihnya berasingan ketika menggoreng. Saya pula hanya menggunakan telur masin yang di rebus, tapi rasanya tetap sedap. Terima kasih Wendy untuk idea resepi yang lazat ni, dan maaf juga kerana saya telah mengubah sedikit dari resepi asal.

NASI GORENG TELUR MASIN 

2 Biji telur masin 
2 cawan nasi sejuk
2 ulas bawang putih 
3 sudu besar minyak masak
1 sudu besar mentega
Beberapa ekor udang segar atau isi ayam 
1/2 cawan daun bawang - di potong pendek 
2 biji cili padi - sila tambah jika suka pedas

Cara menyediakannya:

1. Rebus telur masin, kupas dan hancurkannya dengan garfu.
2. Panaskan kuali, masukkan 2 sudu minyak masak dan bawang putih dan kacau hingga wangi. Masukkan nasi dan kacau sebentar. Angkat dan masukkan kedalam pinggan. Ketepikan seketika.


3. Masukkan lagi 1 sudu besar minyak masak di dalam kuali tadi, goreng udang/ayam hingga kekuningan. Ketepikan seketika di pinggir kuali.

4. Perlahankan api dapur, masukkan mentega (tidak perlu tunggu hingga mentega cair sepenuhnya) dan masukkan telur masin yang di hancurkan tadi. Masak hingga telur agak berbuih. Masukkan juga cili padi.


5. Kacau udang/ayam di dalam telur masin yang berbuih tadi seketika dan kuatkan api dapur. Masukkan kembali nasi yang di goreng sebentar tadi, daun bawang dan kacau seketika. 

6. Perasakan dengan lada sulah dan jika kurang masin boleh juga di tambah sedikit garam. Jika saya, tidak meletakkan garam kerana telur masin sudah secukup rasa.


Assalamualaikum,

Agaknya musim rebung di Langkawi sekarang ini. Kalau pergi ke pasar basah atau pasar-pasar malam sekitar pulau ini memang ada sahaja peniaga yang menjual rebung segar ataupun yang siap di rebus. Selalunya saya pilih rebung jenis madu yang telah siap di rebus kerana memudahkan kerja untuk merampai dengan masakan dan menjimatkan masa.Kalau rebung jeruk pula saya kurang gemar kerana tidak suka dengan baunya yang kuat dan menyengat. 

Selalunya rebung jenis madu ini enak di rampai dengan gulai/kari daging atau udang. Hari ini saya ingin berkongsi resepi gulai udang dan rebung yang sangat enak. Resepi ini saya ambil dari blog chef hanieliza iaitu resepi asalnya menggunakan daging. Enak juga jika daging di gantikan dengan udang. Sungguh membuka selera.

Jom kita lihat resepinya.
GULAI REBUNG & UDANG
Bahan-bahan
500 gm rebung madu
200 gm udang segar
3 cawan santan 
1 sudu besar kerisik [jika suka]
2 keping asam gelugur
3 sudu besar minyak masak
garam secukup rasa
Bahan Tumis
3 sudu besar rempah kari daging
1 cm kulit kayu manis
daun kari

Di tumbuk
3 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih 
2 cm halia 
Cara memasak

1. Rebung dipotong pendek dan basuh. Rebuskan sehingga agak lembut. Toskan.
2. Panaskan minyak dan tumiskan bahan tumis sehingga wangi.
3. Masukkan santan, udang dan rebung dan masakkan sebentar.
4. Masukkan pula garam dan asam keping.

5. Perlahan api. Masak sehingga agak pekat dan naik minyak.

6. Tutup api dan hidangkan dengan nasi putih.

Assalamualaikum,


Salam pagi isnin dan selamat menjalankan tugas kepada semua yang mengikuti blog ini. Isnin begitu sinonim sekali dengan 'Monday blues' di mana terasa malas untuk memulakan kerja setelah bercuti pada hari minggu. Walau bagaimana pun jangan terlalu di turutkan sangat perasaan itu kerana kerja juga adalah satu ibadah dan beruntung kita yang masih punya pekerjaan untuk menyara keluarga.

Sarapan apa agaknya ya hari ini? Sesekali apa kata mencuba kuih tradisi yang sedap dan mudah pula di sediakan iaitu kuih talam ubi kayu. Bagi yang belum pernah mencuba buat kuih talam pasti merasa sukar dan takut gagal, tapi percayalah kuih tradisi lebih mudah membuatnya berbanding dengan kuih moden yang lebih banyak menggunakan bahan-bahan yang sesetengahnya sukar di dapati.

Kebetulan ada stok ubi kayu, saya mencuba resepi kuih talam ubi kayu yang sungguh lazat ini. Jom kita lihat bahan-bahannya.

KUIH TALAM UBI KAYU
LAPISAN BAWAH
600 gram parutan ubi kayu
160 ml santan cair
200 gram gula pasir
50 gram gula melaka
Sedikit pewarna coklat
1 helai daun pandan

LAPISAN ATAS
600 ml santan
40 gram tepung gandum
70 gram tepung beras
Garam secukup rasa

UNTUK BAHAGIAN BAWAH 
1. Satukan santan, gula pasir, gula melaka dan daun pandan. Masak dengan api perlahan hingga gula larut. Tapis dan sejukkan. Sediakan loyang bulat berukuran 9 inci x 3 inci dengan plastik bersih (saya gunakan loyang 8in x 8in). 
2. Sapu sedikit minyak pada plastik tadi. Panaskan kukusan. Satukan air gula merah yang telah sejuk tadi bersama ubi parut, kacau rata-rata dan tuang dalam loyang tadi, ratakan dan kukus 20 minit dengan api sederhana. Tutup permukaan tin dengan aluminium foil atau plastik untuk mengelakkan daripada air menitik.


UNTUK LAPISAN ATAS
1. Bancuh semua bahan untuk lapisan atas kecuali garam, kacau rata dan tambah garam secukup rasa (jangan banyak, kasi rasa lemak saja). 
2. Tapis bancuhan tadi. Kemudian masak atas api ksederhana hingga bancuhan suam, kacau tanpa henti. Tuang perlahan-lahan atas ubi tadi. 

3. Kukus lagi dengan api sederhana selama 25 minit, tutup permukaan loyang dengan aluminium tadi. Biar kuih betul-betul sejuk sebelum dipotong (sebaiknya dengan pisau plastik untuk mendapatkan potongan yang cantik).
Assalamualaikum,


Wah lama benar menyepikan diri dari berblogging. Sedar tak sedar dah sebulan blog ini terbiar tanpa entry baru. Maaf juga kerana tidak sempat menjawab segala komen-komen dari pengunjung di blog ini dan InsyaAllah akan di jawab juga dalam waktu terdekat. Apa nak buat, kebelakangan ini memang sibuk benar.

Tetapi dalam sibuk-sibuk itu pun saya sedang membina satu lagi blog baru iaitu berbentuk wordpressblog yang akan di kongsikan pada bulan ramadhan yang akan datang memaparkan segala tips masakan dan petua ceruk dapur untuk surirumah, khususnya ibu yang bekerja yang sentiasa sibuk. Nanti setelah siap sepenuhnya pasti akan saya beri pautannya disini.

Hari ini pula saya ingin berkongsi resepi ringkas iaitu roti jala pandan. Harap-harap selepas ini sehingga bulan puasa saya akan kembali rajin kedapur dan dapatlah kita berkongsi ilmu masakan ringkas untuk sama-sama belajar ye. 

ROTI JALA PERISA PANDAN
Sumber : ummizaihadi-homesweethome
Bahan-bahan ( 3 - 4 orang )
3 cawan tepung gandum
2 1/2 sudu besar minyak masak
1 sudu teh garam
1 biji telur
2 cawan susu segar+1 1/2 cawan air
beberapa titis pandan paste + sedikit pewarna hijau (boleh juga kisar 3 helai daun pandan dengan air dan tapis)

Cara-cara :

1. Blendkan semua bahan di atas hingga sebati. 
2. Kalau nak tahu adunan dah boleh jala ke belum, cuba masukkan sesenduk ke dalam acuan. Kalau keluarnya tak putus-putus maknanya dah boleh di jala menggunakan kuali non stick. Kuali biasa pun boleh asal tak melekat. Saya menggunakan pemanggang newage cookware dan proses menjala sungguh mudah.
3. Lepas jala atas kuali biarkan dalam beberapa saat. Kalau dah masak tak perlu dibalik terus sahaja di angkat dan gulung.
4. Bila dah siap bolehlah dimakan dengan kuah durian atau kari ayam.

# Sesuai untuk open house sebab walaupun sampai ke petang roti jala tu tetap lembut seperti baru dimasak. Cubalah.