Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu untuk semua. Dah dua hari blog ini tidak di update kerana sibuk dengan tugas dan kesihatan kurang mengizinkan. Maklum saja suhu di sini panas terik tiap hari.

Hari ni saya ingin berkongsi resepi kek oren yang sangat ringkas tapi rasanya di jamin sedap. Sesiapa saja boleh buat kek ini kerana caranya mudah, cuma menggunakan blender. Ceritanya berawal dari anak gadis saya yang beria-ia ingin cuba buat kek tapi mencari resepi yang mudah...dan bila saya fikirkan, resepi yang tepat adalah blended orange sunkist cake inilah. Saya tak tahu siapa pemilik asal resepi ini dan ia ada dalam simpanan   buku lama koleksi resepi yang saya salin dengan tulisan tangan. Resepi mudah begini memang sesuai bagi yang baru mencuba buat kek kerana hasilnya memang gebu dan sedap sekali. Jom kita lihat resepinya.
BLENDED ORANGE SUNKIST CAKE
Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum
1 sudu besar baking powder
1 biji orange sunkist 
1 cawan minyak masak
secubit garam 
1 cawan gula pasir
3 biji telur gred A
Cara membuatnya

1. Ayak tepung dan baking powder, ketepikan.

2. Cuci buah limau, potong dan buangkan biji dan urat putih pada tengah-tengah. Potong limau kecil-kecil tapi jangan buang kulitnya.

3. Masukkan buah limau yang di potong tadi kedalam blender dan kisar halus bersama minyak, gula dan telur.
4. Tuang bahan yang di kisar ke dalam mangkuk dan masukkan campuran tepung sedikit demi sedikit dan kacau hinga sebati.

4. Bakar selama 1 jam dengan suhu 180'c hingga masak (bergantung pada oven masing-masing)

Assalamualaikum & selamat pagi.

Pagi ni saya cuba bertukar selera dalam mempelbagaikan resepi muffin dan mencuba savoury muffins. Selalunya saya buatkan muffin yang manis-manis dan bahan asasnya dari buah-buahan tapi hari ni menggunakan sosej, cendawan dan lada benggala. Pasti ada sedikit kelainan..tapi apa pun rasanya saya tak risau kerana ramai yang akan habiskan muffin-muffin tersebut, maklum saja cuti sekolah di sini masih berbaki 3 hari lagi. Apa saja yang keluar dari oven kecil saya tu, pasti mendapat sambutan hangat dari anak-anak. :)

Jom kita lihat resepinya :)

SAVOURY MUFFINS
Sumber : cupcake_queen (BestRecipes.com.au)

(Bahan kering)
2 cawan tepung naik sendiri 
1/2 cawan sosej yang - di hiris nipis
1/2 cawan keju - di parut
1/4 cawan cendawan butang - di hiris nipis
1 biji lada benggala warna merah (saiz kecil) - di cincang halus
1 sudu besar daun parsley - di cincang halus

Bahan Basah 
125gm mentega di cairkan 
1 cawan susu segar
1 biji telur - di pukul ringan.


Cara membuat :

1. Panaskan oven 180'c dan lengserkan tin muffin.

2. Campurkan semua adunan kering di dalam mangkuk besar.


3. Buatkan lubang di tengah-tengah adunan kering tersebut, tuang mentega cair, susu dan telur dan kacau sehingga adunan sekata. Jangan over mix kerana muffin akan menjadi keras. 


 4. Masukkan kedalam acuan muffin dan bakar selama 20minit (bergantung pada oven) atau sehingga masak dan  warna keemasan.
Assalamualaikum, 

Dah makan tengahari? Sebagai pembuka selera, masakan kampung juga menjadi pilihan kebanyakan orang termasuk lah diri saya sendiri. Tengahari ni saya ingin berkongsi resepi kerabu jantung pisang. Bagi saya, jika ada kerabu ini dan ikan goreng pun dah cukup sebagai pembuka selera tengahari ni.

Kebetulan ada stok jantung pisang, jadi saya godek-godek resepi dari blog kak norlieharumaini dan bila dah siap..walla...sedapnya. Jom kita lihat resepinya, mana tau ada yang ingin mencuba :)

KERABU JANTUNG PISANG 
Sumber : norlieharumaini.blogspot 

Bahan-bahan (hidangan untuk 5 orang)
Bahan A
2 biji cili merah 
5 biji cili padi 
1cm belacan siap di bakar 
2 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih
5 biji lada hitam 
(Tumbuk bahan A hingga lumat)


Bahan B

1 biji jantung pisang (dalam resepi asal 1/2 biji) - buang kulit luarnya hingga tinggal bahagian dalam berwarna cerah.

1 biji tomato di hiris nipis
1 labu bawang besar di hiris nipis
2 ekor ikan kembung saiz sedang di rebus dan dan ambil isinya
2 sudu besar santan pekat
1 biji limau nipis - di perah jusnya
garam dan gula secukup rasa


Cara membuatnya:-

1. Didihkan air di dalam periuk, jantung pisang di belah dua dan cuci dengan air. Rebus jantung pisang tersebut selama 15minit, angkat dan toskan.

2. Hiris nipis dan masukkan ke dalam mangkuk. (saya perah sedikit jantung pisang tersebut).



3. Masukkan bahan A yang telah di tumbuk di ikuti dengan bahan B. Gaul rata dan rasa masin dan manisnya. Jika cukup bolehlah di hidangkan.



Assalamualaikum,

Burger Malaysia adalah salah satu makanan kegemaran anak-anak. Selalunya saya beli saja di gerai..tapi tak puas makan kerana intinya sedikit dan kadang-kadang cuma sambal tanpa ikan bilis. Kebetulan baki ikan bilis lebihan makan malam masih ada, jadi pagi ni saya buatkan burger Malaysia untuk mereka.

Tak susah resepinya, sekejap saja sudah siap. Rasanya juga lebih sedap dan ranggup dari yang di beli di luar. Jom cuba buat di rumah...anak-anak pasti sukakannya. :)

BURGER MALAYSIA
Sumber : yani - My resepi

Bahan-bahan (8 biji)
*200gm tepung gandum
*140ml susu/air
*2 1/2 sudu besar gula halus 
*1/2 sudu kecil garam 
*2 sudu kecil dry yeast
minyak untuk menggoreng
sambal ikan bilis
timun

Cara membuat:-

1. Masukkan ke dalam mangkuk bahan-bahan (*). Uli sehingga tak melekat di tangan. Buat bulat besar dan biarkan kembang dua kali ganda.

2. Tumbuk-tumbuk doh roti tadi untuk keluarkan angin, kemudian bahagikan kepada 8 bahagian. Buat bentuk bulat.


3. Biarkan naik dua kali ganda lagi, kemudian goreng dalam minyak yang sederhana panas hingga kekuningan.



4. Belah roti yang sudah masak tapi jangan sampai terputus. Isi dengan sambal ikan bilis dan juga timun yang di hiris nipis-nipis.


Sedapnya...tak cukup 8biji, ni...anak-anak minta di buatkan lagi esok :D


Assalamualaikum,

Salam pagi isnin. Suka makan bengkang/bingka ubi kayu? Ini kuih yang saya suka waktu kecil dulu dan selalunya ibu tanam sendiri pokok ubi kayu di belakang rumah. Ketika ibu masih sihat, memang ruang belakang rumah kami penuh dengan pokok ubi kayu. Bila ubi dah matang, sedap di rebus hingga empuk dan cicah dengan kelapa parut yang di gaul dengan sedikit garam, makan pula waktu sejuk-sejuk ketika musim hujan...memang asyik.

Sekarang ni susah pula nak jumpa ubi kayu kecuali di pasar basah, dan bila saya jumpa semalam tanpa membuang masa terus saya beli untuk di buat bengkang. Dah lama teringin nak buat tapi tak ada bekalan ubi kayu. Pada yang baru belajar memasak dan tak tahu, bengkang ubi kayu ni tidak menggunakan tepung dalam adunan nya...benarkah begitu? Jom kita lihat resepinya... :)

BENGKANG UBI KAYU 
sumber : zaza_97 mforum.cari

Bahan-bahan
4 cawan ubi kayu yang telah di parut (tak perlu perah airnya)
2 cawan santan 
2 biji telur
1 cawan gula pasir 
4 sudu makan minyak jagung untuk di campurkan dalam adunan 
Secubit garam 
Sedikit pewarna kuning 
2 sudu makan minyak jagung untuk di sapukan pada loyang 
loyang berlubang di tengah 


Caranya :

1. Panaskan oven 150'c selama 10minit.

2. Dalam sebuah mangkuk besar, campurkan semua bahan hingga sebati.


3. Tuangkan kedalam loyang yang telah disapukan dengan minyak jagung tadi.

4. Bakar adunan ini selama 1 jam atau hingga masak pada suhu 150'c. Saya ubah kepada api atas sahaja 10 minit terakhir untuk lebih kerak di atas bengkang.


5. Sejukkan baru di potong. Sedap untuk sarapan pagi atau minum petang. 


Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu. Sarapan apa hari ini? Cuti sekolah di Malaysia telah bermula, jadi mengambil kesempatan sempena anak-anak di rumah, hari ni saya buatkan sarapan ringkas iaitu sardin roll.

Resepi asalnya di ambil dari blog Tiffin Biru, iaitu Tuna roll. Di dapur saya cuma ada sardin saja pagi ni, maka saya gantikannya dengan sardin, tapi rasanya tetap enak dan rangup sekali selepas di goreng. Sekejap je habis dan laris. Memang sedaplah resepi dari CMG ni, anak-anak saya suka sangat. 

Saya kongsikan sekali lagi resepinya di sini... ;)
SARDIN ROLL
Bahan Inti 
1 tin ikan tuna, toskan - saya gunakan ikan sardin
1 biji bawang besar saiz sederhana, di dadu kecil
3 helai daun bawang, hiris halus
1 1/2 sudu besar mayonnaise
serbuk lada sulah secukupnya
sedikit jus lemon

Satukan semua bahan-bahan untuk inti, kecuali jus lemon, gaul rata dan perah sedikit jus lemon dan kacau rata, rasa dan jika OK, ketepikan.

Bahan-bahan lain
2 biji telur, di pukul sedikit dengan 1 camca besar susu, air dan secubit garam.
7-8 keping roti sandwich
serbuk roti secukupnya
sos cili dan mayonaise, di kacau rata.

1. Untuk tuna roll ranggup : Canaikan sedikit roti sandwich tadi hingga leper. Ambil 1 camca penuh inti dan ratakan pada 2/3 bahagian roti, sapu telur pada bahagian depannya.


2. Gulung kemas dan ketepikan. Gamkan dengan telur tadi dan buat kaedah yang sama pada baki-baki hingga siap. Kemudian celup dalam telur tadi dan golek atas serbuk roti hingga semua bahagian bersalut rata. Ketepikan dan buat hingga siap.


3. Goreng dalam minyak sederhana panas hingga kuning keemasan, angkat, tos dan letak atas beberapa keping paper towel. Kemudian potong dan hidangkan.


Assalamualaikum, 

Nyaman rasanya petang yang panas dan kering begini minum papaya & orange smoothie. Sejuk dan segarnya sampai ke tekak, dan yang penting minuman ini menyihatkan.

Sekadar berkongsi info, betik kaya dengan vitamin A, C dan juga kalium. Selain itu terdapat kalsium, besi, tiamin, riboflavin dan niasin dalam betik. Jumlah kalorinya sangat rendah. Kesemua nutrien yang terdapat di dalam sebiji buah betik dapat mengurangkan risiko kanser, penyakit jantung dan strok. Buah oren dan yogurt juga tak kurang hebatnya dan berkhasiat untuk kesihatan tubuh.

Banyak betul khasiat papaya & orange smoothie ni kan. Bagaimana pula dengan rasanya? Apa yang boleh saya katakan...rasanya memang lazat sekali dan ada umphh. 


PAPAYA & ORANGE SMOOTHIE
2 cawan betik di kupas, buang bijinya dan potong kiub.
1 cawan jus oren 
1/2 biji buah oren sunkist 
1 cawan yoghurt
2 sudu gula
6-8 ketul ais kiub


Cara membuat:-

1. Campurkan semuanya di dalam blender, dan kisar halus.


2. Jika smoothie terlalu pekat, masukkan sedikit air sejuk dari peti ais atau beberapa ketul ais kiub...hidangkan segera.


Slurpppp, ahhh...segarnya. Jangan tenung lama-lama, cubalah buat sendiri di rumah ya. ;)



Assalamualaikum,

Pernah dengar kek bunga rampai? Sebenarnya kek ini menggunakan kelapa kering yang di warnakan hijau dan merah seakan-akan bunga rampai. Cara mewarnakan kelapa kering  adalah dengan memasukan nya ke dalam plastik dan titiskan pewarna serta goncangkan plastik hingga warna melekat dan sebati dengan kelapa kering tersebut.

Ketika zaman sekolah dahulu, kek ini selalunya di hidangkan pada hari raya tapi saya tidak pernah ambil pusing bagaimana cara membuatnya, kerana ketika itu kurang minat dengan kerja masak memasak…yang saya ingat, saya suka makan dengan air teh sambil melihat corak seakan bunga rampai pada kek ni.

Hari ni saya ingin berkongsi resepi kek ini dan sumber resepi ini juga saya dapat dari internet., cuma saya ubah sedikit dengan membakar di dalam acuan cupcakes bagi menarik perhatian anak-anak.

Jom lihat resepinya.

KEK BUNGA RAMPAI
Sumber resepi : Jasmeen Fotopages
Bahan-Bahan
1 ½ Cawan margerin
1 ½ cawan gula kastor
5 biji telur – gred A
2 sudu the esen vanilla
1 ½ cawan tepung naik sendiri
1 cawan kelapa kering
Pewarna merah dan hijau

Cara membuat

 1. Warnakan kelapa kering – ½ warna merah dan separuh lagi warna hijau.

 2. Pukul mentega dan gula sampai gebu, masukkan telur satu persatu, putar lagi.


3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil di putar.


4. Masukkan kelapa kering, kaup balik hingga rata dengan menggunakan spatula.


5. Tuang ke dalam Loyang dan bakar dalam oven yang telah di panaskan terlebih dahulu.

Dah sejuk, bolehlah di hidangkan. Lihat corak kek ni...memang seiras bunga rampai, kan?





Assalamualaikum.

Jom kita buat puding bandung cincau untuk sejukkan tekak pada musim panas ni. Minggu ni kerap juga saya buat puding, maklum saja cuaca panas betul di sini dan susah pula nak cari orang yang berjualan puding sekarang ni, kecuali pada bulan ramadhan.

Sedap puding ni, rasanya seakan-akan air sirap bandung cincau tapi lebih sedap lagi bila menjadi puding kerana lebih terasa kenyal cincau ketika mengunyah. Pada yang belum pernah merasa tu..bolehlah cuba resepi yang mudah ni.  


PUDING BANDUNG CINCAU
Bahan-bahan
10gm serbuk agar-agar
1 1/2 cawan gula 
6 cawan air
1 tin susu cair (400ml)
300gm cincau - di potong halus atau di sagat

pewarna makanan - warna merah jambu 
sedikit esen ros - jika suka

Cara membuat:

1.  Campurkan semua bahan kecuali cincau dan perwarna kedalam periuk, masak hingga mendidih.


2. Masukkan pewarna makanan dan esen ros jika suka.


3. Tuang kedalam acuan puding, dan masukkan perlahan-lahan cincau yang telah di cincang tadi. 

Saya taburkan cincau dua peringkat, mulanya ketika puding masih cair dan kali kedua selepas puding mula pekat dan hampir beku.

Nyaman....cubalah ye.





Assalamualaikum,

Menu makan malam saya hari ni ringkas tapi sedap bila di gandingkan dengan nasi panas. Apa lagi jika ada ikan masin goreng. Sedar tak sedar, mau bertambah nasi dan hilang diet di buatnya. Sebaik saja pulang dari pejabat petang tadi, saya singgah di pasar basah dan tertarik dengan sayur petola yang masih baru dan segar jadi datang idea untuk buat masak lemak bersama udang dan suun. 

Memang sedap makan masakan kampung begini kan? Masakannya ringkas dan kebanyakan orang memang tahu masak sayur ni. Bagi yang baru belajar memasak seperti anak saya tu, bolehlah rujuk resepi di sini.

SAYUR PETOLA MASAK LEMAK 
Bahan-bahan
2 biji petola - di buang kulitnya dan di potong
1 kiub pati ikan bilis
2 cawan santan pekat
1 cawan air
4 biji bawang merah - di mayang
1 ulas bawang putih - di mayang 
sebungkus kecil suun - di rendam sebentar
1 biji telur
1 biji cili merah
beberapa ekor udang yang di kupas kulit 


Cara membuat:

1. Didihkan air di dalam periuk.

2. Masukkan bawang merah, bawang putih dan kiub pati ikan bilis. Pecahkan telur kedalam kuah sayur dan  biarkan mendidih seketika.

3. Masukkan sayur petola, udang, cili merah, santan, suun dan garam. Masak sehingga mendidih dan suaikan rasa.