Assalamualaikum,


Pertama sekali, sama-samalah kita doakan agar banjir di negeri-negeri pantai timur reda dan mangsa yang di pindahkan mendapat bekalan makanan, pakaian dan ubatan yang secukupnya. Sedih bila tengok gambar banjir yang di kongsikan oleh teman-teman FB, apalagi mendengar berita ada mangsa yang terkorban. 

Tempias hujan lebat dan cuaca yang tidak menentu juga melanda di negeri-negeri lain. Sama-samalah kita berdoa agar keadaan segera pulih dan kembali seperti sediakala, apatah lagi menjelang tahun baru 2015 dan anak-anak akan kembali ke sekolah. 

Baiklah, sebenarnya serbasalah untuk berkongsi resepi di saat ada yang sedang berduka dengan musibah dan ujian. Tetapi, sebagai blogger masakan...ini adalah perkongsian ilmu yang saya harap bermanafaat bagi yang ingin mencuba dan bukan untuk tujuan menunjuk-nunjuk. 

LEMPENG CENDAWAN

Bahan-bahan
1 cawan tepung gandum
1 cawan susu segar 
1/4 sudu teh garam 
3 tangkai daun bawang - di hiris
5 tangkai cendawan tiram - di hiris nipis
1 biji telur 
1 sudu teh baking powder
Cara Membuatnya:

1. Ayak tepung gandum bersama baking powder ke dalam mangkuk besar. Masukkan garam, daun bawang dan cendawan tiram.

2. Di dalam bekas lain, pukul telur dengan garfu dan tuang ke dalam bekas tepung tadi.

3. Masukkan juga susu segar sambil di kacau.
4. Kacau hingga sebati dan biarkan seketika dalam 5 minit agar adunan bercampur.
5. Seterusnya tuang sedikit adunan menggunakan senduk kecil ke dalam kuali anti lekat. Lenggang adunan tersebut hingga rata dan bakar menggunakan api sederhana.
6. Bila lempeng sudah masak, bolehlah di hidangkan dengan kari mengikut citarasa anda. 

Assalamualaikum,


Alhamdulillah. Itu sahaja yang dapat di lafazkan setelah impian pada tahun 2014 ini tercapai seperti yang di harapkan. Sukar di percayai apabila saya di pelawa oleh editor resepi Karangkraf untuk menghasilkan buku resepi sendiri dan di ikuti oleh penolong penerbit rancangan Feminin TV 1 RTM yang sudi menjemput saya menjadi  tetamu untuk slot masakan iaitu segmen baru yang akan di perkenalkan dalam rancangan itu, mulai Januari 2015. 

Bagi saya yang baru dua tahun menjadi blogger masakan, pencapaian ini amat besar sekali dan menjadi pendorong untuk lebih produktif lagi di masa akan datang.

Penggambaran dengan Karangkraf berjalan lancar mulai 15hb hingga 19hb Disember 2014 iaitu memasak 38 jenis lauk pauk, langkah demi langkah dan InshaAllah jika tiada aral, buku masakan saya yang pertama ini akan di terbitkan pada bulan Februari 2015.



Penggambaran dengan RTM pula berlangsung pada 22hb Disember 2014, iaitu menyediakan 6 jenis menu ringkas untuk segmen memasak di dalam Rancangan Feminin. Slot itu akan keudara setiap hari Khamis mulai Januari 2015 dan ini bermakna saya akan muncul selama 6 minggu. Saya juga suka dengan Konsep slot masakan yang akan di perkenalkan dalam rancangan ini iaitu lebih mudah di fahami dan tidak berceloteh. 




Alhamdulillah, itulah rezeki penutup 2014. Saya amat bersyukur di beri peluang oleh pihak yang melihat potensi dalam diri saya. Ini satu kepuasan di atas segala usaha selama ini. 

Terimakasih yang tidak terhingga kepada cik Siti Mahfuzah dari Karangkraf dan puan Samirah Isa dari RTM di atas tawaran dan seronok bekerja dengan keduanya yang sangat 'sporting' :)



Semoga 2015 yang akan datang memberi lebih banyak kejayaan dan peluang serta segalanya berjalan lancar sesuai dengan harapan dan impian selama ini. Amiinn ya Rab :)

Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin berkongsi resepi kek pisang coklat. Ada sesetengah dari anak kita yang sukar makan buah-buahan walaupun pisang, tetapi jarang pula yang kita dengar anak-anak yang menolak dari menjamah coklat. Resepi kek hasil paduan antara pisang dan coklat ini sesuai sekali untuk di hidangkan kepada si kecil yang menolak untuk makan buah-buahan  tanpa dia menyedari ada pisang di dalam kek yang sedap ini. 

Ingin mencuba buat sendiri di rumah? Jom kita lihat resepi di bawah ini.

KEK PISANG COKLAT
Loyang : 8 inci 

Bahan A
3/4 cawan majerin 
1 cawan gula kastor
2 biji telur

Bahan B
1 1/4 cawan pisang - di lecek
1 sudu teh esen vanilla

Bahan C
2 cawan tepung gandum
3/4 cawan serbuk koko
1 1/2 sudu teh baking powder
1 sudu teh baking soda
secubit garam 

Bahan D
3/4 cawan butter milk (campurkan 1 sudu besar cuka atau jus lemon kedalam 3/4 cawan susu segar)

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven 180'C  

2. Pukul Marjerin, gula dan telur hingga kembang.

3. Masukkan pula bahan B iaitu pisang lecek dan esen vanilla.
4. Masukkan Bahan C secara 3 peringkat di selang seli dengan butter milk. 

5. Seterusnya tuang adunan kek kedalam loyang yang telah di sapu majerin dan bakar selama 40minit atau sehingga masak. 
6. Apabila kek sejuk, bolehlah di hias dengan coklat masakan atau sedap juga tanpa sebarang topping.

Untuk resepi topping coklat, boleh lihat di SINI 
Assalamualaikum, 

Jika mahukan variasi muffin untuk sarapan pagi atau minum petang, green tea muffins merupakan pilihan yang sesuai. Lebih sedap jika campurkan dengan kekacang seperti almond atau pistachios tetapi saya hanya menggunakan apa yang ada di dalam dapur saya sahaja. 

Bila belek-belek stok chocolate chips ternyata masih ada yang belum saya gunakan dan dah hampir tarikh luput. Cara terbaik, campurkan sahaja dengan adunan muffin dan hasilnya memang lazat sekali. 

Nampaknya minggu ni saya harus periksa stok barangan dapur kerana kebanyakan sudah hampir ke tarikh luput dan harap-harap saya ada masa untuk menghasilkan sesuatu. Masa membeli tu selalunya memang tak ingat...semuanya masuk ke trolli dan sedar tak sedar dah akhir tahun pun. Sedangkan barang-barang yang di beli tu masih tersimpan elok dalam kabinet dapur. Tak baik membazir, kan...jadi kalau tengok entry selepas ni resepi yang 'ala-ala' gitu, pastinya saya sedang menghabiskan stok barangan dapur :D   

GREEN TEA MUFFIN
2 cawan tepung gandum - di ayak
1 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh garam halus
1/2 cawan gula
1 biji telur - di pukul ringan 
1 cawan susu segar
1/4 cawan mentega - cairkan
2sudu teh serbuk green tea
50gm chocolate chips (saya guna white chocolate & strawberry chips)

Cara membuatnya :

1. Panaskan oven 170'c

2. Masukkan cawan kertas cupcakes kedalam acuan muffin, ketepikan seketika.

3. Di dalam sebuah mangkuk, masukkan tepung gandum, serbuk green tea, baking powder, garam dan gula.

4. Di dalam bekas lain pula masukkan telur, susu segar dan mentega cair. 

5. Tuang adunan basah kedalam tepung, kacau sehingga sebati dan JANGAN terlebih kacau atau muffin anda akan menjadi keras. Jangan risau jika adunan muffin anda kelihatan berketul asalkan tepung bercampur dengan bahan basah.

5. Seterusnya masukkan chocolate chips dan kaup balik agar bercampur dengan tepung.

6. Sudukan adunan ke dalam acuan muffin dan bakar adunan selama 20minit atau sehingga masak. 

Assalamualaikum, 

Selamat berhari minggu dan dah sarapan atau belum? Sedap juga kalau bersarapan dengan kuih atau hidangan yang kita sediakan sendiri di rumah ye. Resepi donut yang saya ingin kongsikan hari ni sesuai sekali di sediakan untuk keluarga bersarapan pagi atau minum petang sebab walaupun di biarkan hingga keesokkan harinya donut resepi ini tetap lagi lembut dan sedap.

Seperti biasa saya sediakan langkah demi langkah cara membuatnya dan di harap membantu kepada yang baru nak belajar buat donut khususnya anak-anak yang sedang cuti sekolah yang ingin mencuba.

Jom kita lihat :)
DONUT - Step by Step
160gm tepung gandum (saya guna superfine)
2sudu besar mentega
1sudu teh baking powder
2sudu besar gula
1 1/2sudu teh yis
60ml susu segar
1biji telur
1/2 sudu teh vanilla

Cara membuatnya :

1. Di dalam sebuah bekas : Masukkan susu segar, yis dan gula. Biarkan hingga berbuih.

2. Di dalam bekas yang lain, masukkan tepung. Buat lubang di tengah-tengahnya dan pecahkan telur. Masukkan juga esen vanilla.
3. Seterusnya tuang campuran susu segar dan yis tadi kedalam tepung dan mulalah menguli . Masukkan juga mentega dan uli selama 15 minit atau sehingga doh menjadi licin dan tidak melekat pada bekas. Jika adunan lembik dan melekat pada tangan, tekapkan tangan anda pada tepung dan terus menguli.
4. Rehatkan doh selama 45minit dan tutup bekas adunan dengan tuala dapur. Setelah cukup masa, keluarkan doh dan tumbuk untuk keluarkan angin.
5. Canai doh jangan terlalu nipis atau tebal. Terap menggunakan penerap donut dan rehatkan lagi dalam 30minit.

6. Goreng dalam api sederhana hingga masak dan setelah sejuk, salutkan dengan gula kastor atau boleh juga salutkan dengan coklat masakan yang telah di cairkan.

Assalamualaikum,

Salam jumaat yang penuh dengan keberkatan. Hari ini kita berkongsi resepi Mee Kung Fu yang bagi sesetengah orang nampak macam susah...tapi sebenarnya mudah sangat nak menyediakannya. Entah kenapa di namakan Mee kung Fu agaknya ye, sedangkan nak masak ni tak memerlukan anda mahir dalam jurus-jurus kung Fu pun...hanya bahan-bahan yang ringkas sahaja  :D.

Kalau nak tahu apa bahan-bahannya jom kita di lihat di bawah ni, dan jangan lupa mencuba tau. Sedap...
MEE KUNG FU 
Bahan-bahan (untuk seorang makan - sila gandakan bahan jika ingin masak lebih)

50gm mee kuning 
1 biji telur ayam 
3 ekor udang di kopek - boleh gantikan dengan isi ayam
Sayuran : Bunga kobis, lobak merah, sawi dan putik jagung secukupnya
1  cawan air
1 sudu teh tepung jagung - bancuh dengan sedikit air 
1 sudu besar sos tiram 
1 sudu besar kicap cair 
3 tangkai cili padi - dibelah dua
1/4 sudu teh serbuk lada hitam dan serbuk lada sulah
1 ulas bawang putih - di cincang 
1cm halia di hiris nipis

Cara Memasak :

1. Basuh mee dan toskan. Ini untuk menghilangkan bau kapur pada mee kuning. Pecahkan sebiji telur di dalam mangkuk, pukul dengan sedikit lada sulah dan secubit garam. Jangan terlebih garam kerana mee kuning selalunya sudah masin. 

2. Masukkan mee, gaul rata dan goreng di dalam kuali (seperti menggoreng telur dadar). Jangan Kacau mee tersebut cuma alih-alihkan ia sehingga masak dan agak garing. Angkat dan masukkan kedalam pinggan.
3. Di dalam kuali, tumis bawang putih dan halia hingga wangi dan masukkan udang. Boleh juga gantikan udang dengan isi ayam atau lauk kegemaran anda.
4. Seterusnya masukkan air, sos tiram, kicap cair, serbuk lada hitam dan lada sulah. Biarkan agak mendidih.

5. Rasa kuah mee tersebut dan suaikan rasa dengan menambah sedikit garam jika kurang masin. Masukkan juga sayur-sayuran, cili padi dan air bancuhan tepung jagung tadi. Masak hingga kuah agak pekat dan sayur sekadar layu sedikit.
6. Matikan api dapur dan tuang kuah tersebut di atas mee tadi. Sedap di nikmati ketika panas-panas.

Assalamualaikum, 

Dengan hanya 3 bahan iaitu kepingan roti, nestum dan coklat masakan anda boleh menghasilkan kudapan yang di gemari oleh anak-anak. Chocolate Bread Fingers ni sangat mudah di hasilkan dan sesiapa juga boleh buat walaupun tidak ada kepakaran memasak. 

Boleh juga jadikan aktiviti menyeronokkan dengan anak-anak di dapur sempena cuti sekolah yang akan datang dengan membuat kudapan yang mudah ini. Resepinya saya ambil dari dapur puteri dan sesiapa yang ingin mencuba jom lihat langkah-langkah yang mudah di bawah ni.      

CHOCOLATE BREAD FINGERS
Sumber : Puteri Manja

Bahan-bahannya
1 peket roti Hi -5 
Nestum Cereal secukupnya
500gm coklat masakan (Boleh lebih atau kurangkan mengikut jumlah roti)

Cara Membuatnya:

1. Ambil sekeping roti, potong dua dan hiris memanjang (Anggaran dalam 18 potongan bagi sekeping roti).


2. Susun roti dalam loyang dan bakar pada suhu 160'c selama 20 - 25 minit, bergantung kepada oven masing-masing.


3. Untuk kesempurnaan dan keranggupan pada roti, terbalikkan roti yang telah dibakar dan bakar lagi dalam 5-7 minit tetapi jangan pula sampai rentung. Bila dah masak, keluarkan dan di sejukkan sebentar.

4. Sementara itu cairkan coklat secara double boiler (macam kita nak salut biskut Almond London, tu)


5. Celupkan roti yang telah dibakar dan di sejukkan tadi ke dalam coklat cair dan golekkan dalam nestum. Chocolate Bread Fingers ni ranggup dan boleh bertahan lama sekurang-kurangnya 2 - 3 minggu jika di simpan dalam bekas kedap udara.


Assalamualaikum,

Bingka ubi kayu memang kegemaran saya sekeluarga. Memang tak jemu dengan bingka yang satu ini kerana rasanya yang lemak-lemak manis dan mudah pula di hasilkan. Ada berbagai versi bingka ubi kayu telah saya buat dan kali ini saya mencuba resepi ubi kayu cheese dan tak sangka sedap sungguh kuih tradisi ini bila di campurkan dengan cream cheese. Anak-anak semua sukakannya dan sekejap sahaja laris.

Terima kasih kepada pemilik resepi asal, along Roz dan bagi yang ingin mencuba resepinya ada di bawah ini.


BINGKA UBIKAYU CHEESE

Saiz loyang : 8" 

Bahan-Bahan
250gm Cream Cheese
250gm Gula
2 biji Telur
800gm Ubikayu Sagat - tapis airnya
400ml Santan
Pewarna kuning

Cara Membuatnya:

1.Pukul cream cheese dan gula sehingga rata dan sebati.
2. Masukkan telur satu persatu sambil dipukul lagi.
3. Masukkan pula ubikayu yang di sagat tadi dan santan sambil di kacau hingga sebati.
4. Tuang adunan kedalam loyang yang di panaskan sebentar di dalam oven (masukkan sedikit mentega di dalam loyang sebelum di panaskan).

2. Bakar suhu 170'C selama 1 jam 30min sehingga masak. Sejukkan sebelum di potong.

Assalamualaikum, 

Sesuai untuk minum petang. Kek mangga hasil paduan antara isi buah mangga segar yang di kisar dengan yogurt perasa mangga memang sedap sekali dan rasanya yang masam-masam manis itu sungguh menggoda selera. 

Sesekali mencuba kelainan untuk keluarga tercinta tak ada salahnya, malah mereka pasti suka kerana berkesempatan merasa kek yang tidak ada di jual di luar sana, di dalam dapur sendiri dan masih panas-panas lagi.

Bagi yang ingin mencubanya, resepi ada di bawah ini...jom tengok, bahan-bahannya pun tak banyak.

KEK MANGGA - Rasanya menggoda selera

Bahan-bahan
1 1/2 cawan tepung gandum 
2 sudu teh baking powder
¼ sudu teh garam halus 
3 biji telur gred A
1 cawan gula kastor
½ cawan mangga segar - di cincang
½ cawan yogurt perasa mangga
1 sudu teh esen vanilla
½ cawan minyak masak
Kepingan almond untuk hiasan

Cara Membuat:

1. Panaskan oven 175'c dan sapu mentega pada loyang bersaiz 8x4x2 inci. 
2. Masukkan tepung, baking powder, gula dan garam kedalam mangkuk. Gaul semuanya agar bercampur dengan menggunakan spatula.
3. Kisar mangga yang di cincang tadi dengan yogurt hingga menjadi pes.

4. Pukul telur, gula, pes yogurt + mangga dan esen vanilla hingga gula hancur dan adunan mengembang.
5. Masukkan bahan kering tadi dan kacau hingga bercampur. Akhir sekali masukkan minyak masak dan kacau lagi dengan spatula hingga adunan sebati.
6. Masukkan kedalam loyang, tabur kepingan almond di atasnya  dan bakar dalam 45 minit atau sehingga masak (Bila di cucuk di tengah kek dengan lidi tiada adunan melekat)