Assalamualaikum,

Puding Karamel ni saya buat untuk Iftar hari kedua atas permintaan anak-anak. Malam tadi tidak sempat nak update blog sebab ada hal keluarga penting yang harus diselesaikan jadi saya masukkan untuk entry hari ini sahajalah. Simple je resipi puding karamel ni dan saya buat cukup-cukup untuk berbuka puasa sahaja menggunakan loyang bulat bersaiz 6 inci, tapi anak-anak memang puas makanlah. Seorang dapat 3 potong.

Ada banyak resipi puding karamel berlegar di internet dan semuanya sedap-sedap belaka. Jom try versi ini pula :) 
PUDING KARAMEL 
Saya guna loyang saiz : 6 inci
5 biji telur - Gred A
500ml susu segar 
80gm gula pasir
1 sudu teh esen vanilla
mentega secukupnya - untuk disapu pada loyang

Karamel 
90gm gula pasir
5 sudu besar air 

Cara membuatnya :

1. Masukkan gula kedalam periuk dan cairkan sambil dikacau hingga menjadi karamel menggunakan api sederhana. Masukkan air dan kacau segera dengan whisk hingga tiada gula yang berketul.

2. Sapu mentega pada loyang dan tuang karamel tersebut kedalam loyang. Ketepikan seketika.

3. Panaskan susu dengan 80gm gula pasir dan kacau hingga gula larut lalu matikan api dapur.

4. Pukul telur dengan esen vanilla sekadar telur bercampur sahaja (jangan sampai kembang). Tuang susu suam kedalam bekas berisi telur tadi dan pukul lagi dengan hand whisk.

5. Tuang adunan kedalam loyang berisi karamel dan kukus selama 45minit atau sehingga masak. Setelah masak dan sejukkan, bolehlah ditelangkup puding karamel kedalam pinggan leper dan hidangkan. 

Assalamualikum,

Salam satu ramadhan 1438Hijrah untuk semua pembaca blog yang sudi masuk ke sini. Juadah apa yang disediakan untuk keluarga awal ramadhan ini agaknya ye. Kebetulan kali ini 1 ramadhan jatuh pada hujung minggu dan ini memberi kesempatan untuk wanita bekerjaya membuat perancangan yang secukupnya untuk menyediakan juadah. Maklumlah bukan semua yang bernasib baik bekerja di Jabatan yang memperuntukkan cuti awal ramadan, contohnya saya yang bekerja di sektor swasta ni. Jadi hari ini kebetulan cuti mingguan dapatlah memperuntukkan masa untuk keluarga sebaik-baiknya.

Ramadhan kali ini juga memberi kegembiraan kepada saya sekeluarga kerana dua orang anak diasrama pulang menyambut puasa selama 2 minggu sempena cuti sekolah. Maka berbagai-bagai jenis masakanlah yang diminta dan hari ini anak dara sulung teringin nak makan kerabu mangga muda waktu berbuka tadi. Jadi saya masukkanlah entry kerabu mangga muda malam ini kepada yang ingin mencubanya. 

Untuk menghormati bulan ramadhan yang mulia ini, entry blog akan saya publish pada waktu malam dan niatnya hanya sekadar memberi idea kepada sesiapa yang ingin menyediakan sendiri hidangan untuk keluarga. Resipi yang akan dikongsikan pun yang mudah-mudah sahajalah dan tidak mengambil banyak masa untuk disediakan.

Jom lihat resipi 

KERABU MANGGA MUDA
2 biji mangga muda - disagat 
1/2 batang lobak merah - disagat
3 tangkai kacang panjang - di hiris 
7 tangkai cili padi 
2 sudu besar udang kering - rendam dalam air panas dan toskan
2 labu bawang besar - di mayang
1 sudu gula pasir - Boleh juga guna gula melaka
2 biji limau kasturi - ambil jusnya
sedikit sos ikan (jika letak sos ikan, jangan letak garam lagi, nanti terlebih masin)
kacang tanah goreng - ditumbuk kasar

Cara membuat:

1. Mangga dikupas dan dihiris halus-halus memanjang ataupun disagat.

2. Campurkan bawang besar, cili padi , gula, sos ikan, udang kering, air perahan limau kasturi dan pastikan secukup rasa dan gula larut. Kalau inginkan rasa lebih sebati bolehlah tumbuk kasar bahan-bahan ini (seperti membuat somtam)

3. Seterusnya masukkan mangga, lobak merah, kacang panjang dan kacang tanah. Gaul hingga sebati, dan bolehlah dihidangkan.
Assalamualaikum,

Semua orang mengimpikan percutian dengan bajet yang minimum dan tidak membebankan namun ada yang masih berkira-kira setiap sen yang akan di peruntukan untuk tujuan berlibur kerana terkesan dengan perkembangan ekonomi semasa. Sebenarnya masih banyak destinasi menarik di Malaysia yang boleh dilawati tidak kiralah di kawasan Bandar mahupun di pinggir desa dan yang pastinya tempat-tempat percutian ini muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan dan berbaloi untuk dilawati sesuai dengan budget rendah dan menjimatkan jika kita tahu caranya.
Salah satu negeri yang menjadi pilihan saya sekeluarga bercuti adalah Melaka kerana selain dapat merehatkan minda, anak-anak juga berpeluang menjelajah kesan peninggalan sejarah yang selama ini mereka belajar di sekolah dan yang penting sekali saya sekeluarga pencinta kuliner. Dah sampai ke Melaka makanan pertama yang dicari adalah Asam Pedas Melaka. Itu belum lagi menu-menu viral lain lagi seperti Mee Bodoh, Roti Canai Kayu Arang, Mee Besen dan berbagai-bagai menu lagi yang wajib dicuba satu persatu sebelum percutian berakhir.
Sebelum bercuti kenalah survey dulu hotel yang selesa dan harga berpatutan. Apalagi jika merancang untuk bercuti pada cuti umum, hujung minggu atau di musim cuti sekolah. Memang tak selamatlah rasanya kalau tidak membuat tempahan dan perancangan awal. Syukurlah dengan perkembangan teknologi terkini hanya di hujung jari sahaja tempahan awal dapat dilakukan. Selalunya saya survey menggunakan perkhidmatan traveloka. Dengan adanya hotel murah di traveloka ni menjadikan percutian saya sekeluarga lebih mudah.Saya juga menggunakan perkhidmatan traveloka untuk membuat tempahan tiket pesawat dan bilik hotel jika ada tugas diluar kawasan.
Sebagai destinasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar Negara, Melaka mempunyai banyak hotel yang menawarkan pelbagai kemudahan sama ada bagi pelancong perseorangan mahupun berkeluarga. Kita dapat membuat pilihan hotel yang bersesuaian dengan jumlah ahli keluarga yang turut serta dalam percutian nanti. 
Terdapat banyak hotel yang memberikan pelbagai perkhidmatan mesra pelanggan dan kita tidak perlu risau jika pakaian yang dibawa tidak mencukupi kerana turut tersedia pusat dobi atau cucian kering ataupun kita boleh beli pakaian baru di kedai-kedai cenderahati yang ada di sekitar pusat-pusat pelancongan ini. Bagi saya semua ini harus diambil kira kerana melancong dengan keluarga dan membawa anak-anak yang masih kecil.
Traveloka hotel ini juga dapat memudahkan kita untuk membuat perbandingan antara hotel-hotel yang kita mahukan di destinasi pelancongan yang menjadi pilihan kerana kita boleh menilai melalui harga, rating customers ataupun jarak disetiap pusat-pusat pelancongan. Dengan cara ini kita dapat menjimatkan masa, wang dan tenaga jika kita pandai merancang lebih awal. Salah satu hotel yang terdapat di Melaka yang boleh anda pilih melalui traveloka.com ialah Mahkota Hotel Melaka.
Mahkota Hotel Melaka adalah sebuah apartment servis yang sangat strategik kedudukannya iaitu di tengah Bandar Melaka yang dekat dengan tempat-tempat bersejarah dan kawasan tumpuan pelancong. Kami sekeluarga berjalan kaki sahaja untuk menjamu selera, membeli belah cenderahati dan bergambar di tempat-tempat bersejarah. Bagi anda yang menginginkan hotel yang bercirikan tradisi gabungan serta tempat yang menawarkan keselesaan dan perkhidmatan terbaik, maka Mahkota Hotel Melaka adalah tempat yang patut dipilih. Tempat ini memiliki lebih 350 buah bilik dan suite yang membolehkan pengunjung memilih untuk menginap sama ada mahukan 1, 2 atau 3 bilik tidur dengan harga berpatutan.
Mahkota Hotel Melaka turut menitikberatkan fasiliti untuk tetamu kurang upaya, kaunter pendaftaran 24 jam, lif, kawasan yang mesra kerusi roda serta pengawal keselamatn 24 jam. Jadi sebarang permasalahan boleh terus buat aduan tanpa berlengah staf hotel akan cuba selesaikan. Pengunjung tidak perlu risau andai tidak fasih berhasa melayu ataupun berbahasa Inggeris kerana terdapat 4 bahasa yang digunakan di sini iaitu bahasa melayu, bahasa Inggeris, Mandarin serta Tamil.
Dalam setiap bilik disediakan air botol percuma, pengering rambut, penyaman udara televisyen serta kemudahan seterika yang amat penting terutamanya bagi perempuan untuk tampil kemas dan cantik sewaktu bercuti. Selain itu, turut disediakan kelengkapan tandas serta pancuran untuk keselesaan pengunjung. Di bilik-bilik tersebut juga disediakan bar mini dan pembuat kopi atau teh bagi penggemar minuman panas.
Penginapan ini juga mempunyai salah satu skor lokasi terbaik di Melaka. Tetamu lebih puas hati dengannya berbanding penginapan lain di dalam kawasan ini. Penginapan ini juga dinilai baik di Melaka. Tetamu mendapat lebih nilai untuk wang mereka jika dibandingkan dengan penginapan lain di bandar ini.
Website atau apps Traveloka memberikan servis yang terbaik dari anda log in sehinggalah anda log out account. Terdapat banyak pilihan hotel di traveloka di seluruh Malaysia yang memberikan harga termurah yang dapat anda pilih.

Mahkota Hotel Melaka bukan sekadar tempat penginapan tetapi juga lokasi pilihan yang tepat untuk sebarang majlis mahupun seminar atau mesyuarat dengan kemudahan kelas pertama yang serba lengkap, moden dan terbaik. Jadi, layari official website atau aplikasi traveloka dan cari Mahkota Hotel Melaka dan tempah Mahkota Hotel Melaka online sekarang. Jangan buang masa dan tenaga anda lagi untuk mencari tempat percutian menarik dan berpatutan jika anda boleh memilikinya semua di sini. Jom tempah hotel dengan harga murah di Traveloka sekarang, segalanya dihujung jari anda.
Assalamualaikum,

Lama rasanya tak update blog, hari ni saya masukkanlah resipi Donat Gebu dan Lembut ataupun donat maizena@yunda yun yang dah lama terperap dalam draft. Untuk entry kali ini tidak ada langkah demi langkah ye sebab dah selalu saya letak pada entry donat dalam blog ini dan stepnya pun sama sahaja.

Resipi ini memang menghasilkan donat yang gebu serta lembut. Jika rasa adunan lembik dan melekat-lekat di jari semasa proses menguli, bolehlah tambahkan lagi tepung gandum dan uli hingga elastik membentuk tekstur doh yang dikehendaki.    

Saya suka menikmati donat yang digolek kedalam gula kastor tapi si bongsu pula suka celup kedalam nutella. Memang serasi betul gandingan nutella dengan donat gebu dan lembut ni..sedap. Jom lihat resipi.

DONAT GEBU DAN LEMBUT
500 gram tepung gandum
200 ml air suam       
75 gram margerin        
5 sudu makan gula pasir       
5 sudu makan susu tepung     
5 sudu makan tepung jagung     
2 biji telur
1 bungkus yis (11 gram)

Cara membuatnya:

1. Campurkan air dan yis di dalam gelas dan biarkan selama kira-kira 5 minit hingga berbuih.

2. Masukkan semua bahan kecuali kecuali margerin kedalam mangkuk besar. Masukkan juga larutan yis tadi dan kacau rata, kemudian baru masukkan margerin.

3. Uli hingga doh elastik dan tambahkan tepung gandum sedikit jika rasa masih terlalu lembik dan melekat di tangan.

4. Tutup doh menggunakan kain dan biarkan selama 30 menit hingga naik. 
Seterusnya bahagikan doh mengikut ukuran yang dikehendaki, bentuk dan bulatkan doh dan biarkan lagi doh naik selama 20 menit.

5. Tekan doh menjadi agak tipis, kemudian lubangkan bahagian tengahnya dengan telunjuk.Goreng donat menggunakan api kecil.

6. Angkat dan toskan donat dan setelah sejuk bolehlah digolek kedalam gula kastor ataupun boleh juga letakkan topping yang sesuai mengikut selera.

Assalamualaikum, 

Salam pagi jumaat penuh barokah untuk semua pembaca blog yang sudi masuk kesini. Hari ini saya ingin berkongsi resipi nasi minyak yang dah lama juga saya masak ni dan berbelah bahagi nak update dalam blog ke tidak sebab yang pertama gambar yang diambil tu bagi saya tak cukup piawaian untuk tepek di blog ni sebab kurang lawa dan yang kedua pula nasi minyak ni tak cukup bahan hiasan pun, ibarat muka tanpa make-up. Yang cantiknya kalau dihias dengan biji gajus ke, kacang pis ke ataupun sekurang-kurangnya cucuk daun pudina ataupun daun ketumbar ke kat atas nasi tu kan. Ini bawang goreng pun tak ada.

Sebenarnya nasi minyak ni pun saya masak tanpa dirancang dan snap gambar gitu-gitu sahaja untuk whatsapp kat group sekolah sebab ada kawan-kawan yang minta resipi, jadinya gambar nasi yang dah siap dimasak dan tabur dengan kismis terlupa pulak saya nak snap. Kira oklah ye...yang penting nasi minyak ni sedap. Saya buat hari tu gandingkan dengan KARI AYAM NYONYA dan SAMBAL UDANG AROMA WANGI yang saya update resipinya dalam blog sebelum ini.

Resipi asal nasi minyak ni saya tengok dalam blog Kak Wan resipicitarasawan tapi saya ubah sedikit jumlah bahan-bahannya ikut apa yang ada didapur masa tu. Jom lihat resipinya.

NASI MINYAK
Bahan-bahannya
4 cawan beras 
2 sudu besar mentega + 2 sudu besar minyak masak
2 helai daun pandan - disimpul
5 cawan air
1/2 cawan susu cair
1 ketul kiub ayam 
Garam secukup rasa

Bahan tumisan
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
2 biji  buah pelaga

Bahan dikisar
6 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1 inci halia 

Cara-Cara:-

1. Panaskan mentega dan minyak masak, masukkan bahan penumis dan bahan kisar. Kacau hingga terbit bau.

2. Masukkan beras, kacau dalam 2 hingga 3 minit hingga bercampur dengan bahan tumisan.

3. Tuang air kedalam periuk, masukkan daun pandan, garam, kiub ayam dan susu cair. Kacau sesekali hingga air menggelegak.

4. Bila air kering, perlahankan api dapur kepada nyalaan yang paling kecil dan tutup periuk. Biarkan nasi masak barulah digembur (Masak seperti nasi biasa)
5. Hiaskan dengan bawang goreng ataupun kismis.

Assalamualaikum, 

Sekarang musim mangga muda disini dan sejak masuk kerja selepas habis tempoh cuti dua hari lepas, ada sekotak besar mangga muda yang dihantar oleh teman saya tergeletak di penjuru 'pantry' pejabat. Alhamdulillah, rezeki tak perlu nak susah payah cari kat pasar dah. Tapi staff kat pejabat ni dah puas menyicah mangga tu dengan kuah rojak, masih banyak berbaki. 

Sudahnya saya bawa balik kerumah beberapa biji dan malam tadi terhasil lah dalca mangga muda. Sedap sangat cicah dengan capati untuk sarapan pagi ni. Nak buat dalca mangga muda ni pun simple sahaja. Tak banyak bahan yang digunakan. Selain daripada digandingkan dengan roti ataupun capati, dalca mangga muda ini juga sesuai dimakan dengan nasi. 

Nak cuba masak dalca mangga muda ni dirumah? Jom kita lihat resipinya.
DALCA MANGGA MUDA
Bahan-bahan
250gm kacang dal
1 biji mangga muda - dikupas dan potong dadu 
2 labu bawang besar - dimayang 
2 tangkai cili hijau - di belah 
1 biji tomato - di dadu 
1 sudu besar serbuk kunyit 
1 sudu besar serbuk cili 
garam secukup rasa

Bahan Tumisan (B)
1 sudu teh biji sawi 
1 sudu teh jintan putih 
8 tangkai cili kering 
2 ulas bawang putih - di ketuk
2 tangkai daun kari 
5 sudu besar minyak masak

Cara membuatnya :

1. Rebus kacang dal hingga lembut, tambahkan lagi air jika kering.

2. Masukkan mangga muda, bawang besar, cili hijau dan tomato kedalam rebusan kacang dal sambil dikacau sesekali. 

3. Setelah itu masukkan serbuk cili dan serbuk kunyit. Masak lagi hingga kacang dal benar-benar lembut sambil dilenyek dengan senduk agar mangga muda  dan kacang dal hancur. Perasakan dengan garam.

4. Didalam kuali lain panaskan minyak masak dan tumis semua bahan-bahan B dan setelah berbau wangi, garing dan kekuningan, tuang bahan tumisan termasuk minyak kedalam periuk berisi kacang dal tadi. 


5. Kacau hingga bercampur dan bolehlah dihidangkan.

Assalamualaikum, 

Hari ini kita berkongsi resipi Kari Ayam Nyonya pula. Resipi asalnya saya ambil di SINI dan jujurnya saya belum pernah merasa kari ayam nyonya sebelum ini. Apa yang boleh saya katakan bau harum masakan ni memenuhi ruang dapur terutama sekali ketika menumis rempah yang dikisar dan rasanya sungguh lazat sekali. Saya gandingkan dengan nasi minyak serta sambal udang aroma wangi iaitu entry saya sebelum ini.

Untuk resipi nasi minyak tu inshaAllah kalau tak ada aral esok saya masukkan. Hari ni kita layan resipi Kari ayam nyonya dahulu...jom. 

KARI AYAM NYONYA
Bahan-bahan :
1 ekor ayam - (saya hanya gunakan 1/2 ekor ayam) 
3 biji kentang -  dipotong baji 
200ml santan pekat (lebihkan santan jika suka rasa lemak)
1 tangkai daun kari 
garam dan gula secukup rasa

Bahan tumis
1 bunga lawang 
1 bunga cengkih
1 inci kulit kayu manis
5 sudu besar minyak masak
1 ½ cawan air

Rempah / dikisar 
3 ulas bawang putih
18 ulas bawang merah
12 tangkai cili kering (rendam dalam air panas dan tapis bijinya)
1 inci kunyit hidup
1 sudu besar biji ketumbar 
1 sudu teh jintan manis 
1 sudu teh jintan putih
1/2 inci belacan - dibakar sebentar 
1 batang serai


Cara membuatnya : 

1. Panaskan kuali, masukkan minyak masak dan tumis kulit kayu manis, bunga lawang  dan bunga cengkih. Masukkan pula rempah kisar dan kacau hingga pecah minyak.


2. Masukkan ayam, kentang, daun kari dan kacau seketika. Seterusnya masukkan air, tutup kuali dan renihkan dengan menggunakan api dapur yang kecil hingga ayam dan kentang lembut.


3. Masukkan santan pekat dan renih lagi sehingga isi ayam lembut dan sebati dengan kuah. Jika kurang kuah bolehlah tambahkan sedikit lagi air.


4. Setelah benar-benar masak, matikan api dapur dan hidangkan dengan nasi. Sedap juga jika gandingkan dengan roti jala ataupun nasi minyak.

Assalamualaikum,

Amboi...sejak balik dari shooting dengan TV3 untuk rancangan tajaan Baba's sepi sahaja blog ni kan. Jadi hari ini saya masukkanlah resipi simple kari udang pisang muda, sejenis masakan kampung. Sebenarnya saya masak dan shoot dah lama cuma nak mengarang resipinya dan edit masuk ke blog punyalah bertangguh-tangguh.

Masa saya beli pisang muda ni dipasar ada seorang adik ni dalam usia pertengahan 20an macam tu tegur saya. Dia tanya apa rasanya pisang muda ni, macamana nak masak dan berbagai lagi pertanyaan. Saya bagi link dan pesan nanti tengok resipi di blog. Ada disediakan langkah demi langkah yang mudah. Dan....itu dah hampir sebulan dulu tau. Baru hari ni saya update resipi ni dalam blog dan harap dia membaca. Untuk yang tak pernah merasa isi pisang muda yang dimasak lemak ataupun masak kari, sebenarnya rasa isinya lemak-lemak dan tekstur seperti biji cempedak rebus ataupun ubi keledek macam tu lah. Kalau gandingkan dengan udang lagilah sedap.

Baiklah jom kita layan resipi Kari Udang Pisang Muda dibawah ni.

KARI UDANG PISANG MUDA
Bahan-bahan
300gm udang - saiz sederhana
3 biji pisang muda (saya guna pisang abu)  – di kupas kulitnya dan potong
2 labu bawang besar – dimayang
1 sudu teh halba campur
1 biji tomato - dicincang
3 tangkai cili hijau – dibelah dan potong dua
1/2  inci halia – ditumbuk
2 ulas bawang putih - ditumbuk
2 tangkai daun kari
1 cawan air asam jawa
3 sudu besar serbuk cili
2 sudu besar serbuk kunyit
air secukupnya - ikut kepekatan kuah yang diingini
Garam dan gula secukup rassa

Cara membuatnya :

1.       Panaskan minyak didalam kuali, tumis halba campur, daun kari, cili hijau, bawang besar dan kacau hingga wangi. Masukkan pula tomato dan kacau lagi.

2.       Setelah itu masukkan halia dan bawang putih. Jangan lupa masukkan juga  pisang muda kedalam bahan tumisan. Kacau lagi hingga semua bercampur.

3.       Masukkan serbuk kunyit, serbuk cili, air asam jawa serta  air secukupnya untuk kuah.

4.       Renihkan hingga pisang agak empuk barulah masukkan udang. Perasakan dengan garam dan dan setelah masak sepenuhnya bolehlah matikan api dapur dan hidangkan bersama nasi putih dan lauk-lauk yang lain.
Assalamualaikum,

Hari ini saya buatkan Apam Eno Beras untuk sarapan pagi. Sayang, bila ada lebihan nasi lepas makan malam tadi masih berbaki. Nak goreng untuk anak-anak pun sikit sangat, tak lepas sepinggan jadi saya perapkan untuk buat Apam Beras Eno je. Resipi saya ambil dari blog yatiememories. Terima kasih yatie...saya kongsikan di blog ini pula ye. 

Oleh kerana aktiviti memerap adunan apam ini dilakukan seawal 4.30pagi maka tak adalah gambar step by step pada entry kali ini. Selepas perap saya terus tidur dan bangun semula kejutkan anak-anak ke sekolah. Dah memang tak sempatlah nak ambil gambar lepas tu. Hanya gambar akhir dah tersusun diatas daun pisang dan ditaburi kelapa parut sahaja yang ada dibawah ini.

Jom try buat apam eno beras...makin sedap lepas gaul dengan kelapa.

APAM ENO BERAS
Bahan-bahannya:
1 cawan nasi
1 ¼  cawan air
1 cawan gula pasir
2 cawan tepung beras
1 sudu kecil yis kering
1 paket kecil eno - (saya guna yang peket biru)

Cara-caranya:

1. Blender nasi dan air hingga hancur. Tambahkan gula, tepung beras dan yis. Blend sekali lagi hingga sebati.

2. Perapkan adunan tadi 4-5 jam.

3. Tambahkan pewarna jika suka, kacau perlahan. (saya tidak letak pewarna)

4. Tambahkan eno dan gaul sebati secara perlahan-lahan.

5. Masukkan dalam acuan kuih lompang yg telah di sapu sedikit minyak dan kukus selama lebih kurang 15 minit dengan api kuat. Setelah masak bolehlah dihidangkan dengan kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam.
Assalamualaikum, 

Selamat Hari buruh untuk semua yang bekerja di sektor perkhidmatan awam, swasta ataupun yang bekerja sendiri. Agaknya surirumah masuk dalam kategori mana ye? Walaupun tidak mendapat gaji setiap bulan dan tidak menuntut bayaran kerja lebih masa, profesion surirumah begitu mulia sekali dan berhak mendapat pengiktirafan dan sokongan dari suami dan anak-anak.  

Saya sendiri dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan pengertian oleh ibu yang ber profesion sebagai surirumah sepenuh masa.  Saya sebutkan sebagai 'profesion' kerana itulah yang diisi didalam column pekerjaan ibu pada borang sekolah saya ketika itu. Ibu menguruskan semua keperluan, makan minum dan memastikan zaman kanak-kanak saya sentiasa ceria serta mendapat pendidikan agama dan duniawi yang sepatutnya walaupun ayah meninggal dunia ketika saya berusia 7 tahun. Jujurnya saya tidak dapat menandingi perhatian yang ibu berikan dulu dengan yang saya berikan kepada anak-anak kerana hambatan dan komitmen kepada pekerjaan di pejabat dan rumah kadang-kadang hilang titik keseimbangannya.

Sedih pulak bila bercerita tentang masa lalu dan pengorbanan ibu membesarkan kita kan. Hmmm...baiklah berbalik kepada resipi hari ini pula saya ada sediakan Classic Chewy Brownies untuk digandingkan dengan minum petang hari ni. Brownies ini saya buat malam tadi tetapi nampaknya bila dah biarkan semalaman makin sedap rasanya. Jom try buat...resipinya saya ambil di SINI. Saya sediakan juga langkah demi langkah mudah untuk diikuti. 
CLASSIC CHEWY BROWNIES
Bahan-bahan
125g mentega 
125g coklat masakan - dipatah-patahkan
3 biji telur gred A - dipukul ringan
335gm (1 1/2 cawan) gula kastor
115gm (3/4 cawan) tepung gandum
30gm (1/4 cawan) serbuk coklat
1 sudu teh esen vanilla
secubit garam

Cara membuatnya :

1. Panaskan oven pada suhu 180'c. Griskan loyang empat segi bersaiz 8 x 8inci dan lapik dengan kertas.

2. Masukkan mentega dan coklat masakan kedalam periuk dan cairkan dengan menggunakan kaedah double boiler.
3. Kacau coklat dan mentega hingga sebati dan matikan api dapur.

4. Terus masukkan gula, serbuk coklat, tepung, esen vanilla, garam dan telur dan kacau dengan cepat hingga sebati (Jangan terlebih kacau).
5. Tuang kedalam loyang dan bakar kira-kira 30minit. 

6. Sejukkan sebelum dipotong, dan kalau suka bolehlah diletak topping. Bagi saya brownies ini sangat sedap walaupun tanpa topping.