Assalamualaikum,

Saya ingin berkongsi resepi kek yang paling ringkas dan anak-anak suka iaitu kek batik biskut marie. Sedap kek ni dan cara membuatnya pun mudah sangat. cuma perlu lebur semuanya dalam periuk dan ratakan di dalam loyang, sejukkan di dalam peti ais dan sedia untuk di nikmati. Dengan pengawasan, anak-anak kita peringkat sekolah rendah pun boleh cuba membuatnya sendiri sebagai mengisi masa lapang dalam cuti sekolah ni.

Kali ini saya cuba sedikit kelainan selepas melihat resepi yang di kongsi oleh ahli group masakan di FB,  dengan melapis biskut dan mencurahkannya coklat keatasnya tanpa meleburkan semuanya di dalam periuk seperti yang biasa saya buat sebelum ini. Dan menariknya, pemilik asal resepi juga mencadangkan biskut marie boleh di gantikan dengan biskut cream cracker.

Jom kita lihat resepinya... :)

KEK BATIK BISKUT MARIE 
Bahan-bahan
200gm milo
250gm butter
3 sudu makan serbuk koko
1 tin kecil susu pekat manis
Biskut marie/cracker secukupnya

Cara membuatnya:

1.Alaskan loyang dengan plastik, biarkan plastik melebihi loyang supaya senang nak keluarkan kek bila dah sejuk.

2. Cairkan butter alam kuali dengan mengggunakan api kecil.

3. Setelah cair, masukkan susu, milo sedikit demi sediki gaul hingga sebati & masukkan juga serbuk koko.

4. Gaul hingga halus dan tak berketul lagi. (gunakan hand whisk)

5. Setelah pekat, susun biskut marie dalam loyang kemudian curahkan sebahagian adunan tadi dan ratakan, lapis lagi biskut marie, curahkan adunan ratakan. Ulang hingga habis adunan dan sejukkan dalam peti ais.

Assalamualaikum & selamat berhari minggu.

Sibuk benar sepanjang cuti sekolah ini hingga tak sempat langsung nak menjeling blog kesayangan ni. Beginilah jika kerja di bidang perkhidmatan yang berkaitan dengan pelancongan. Terpaksa korbankan keseronokan masa dengan keluarga dan anak-anak demi tugas tapi alhamdulillah juga mereka boleh memahami.

Ada sedikit masa senggang malam tadi sempatlah saya membakar bingka kentang untuk sarapan anak-anak pagi ni. Resepinya mudah dan bahan-bahannya juga semua ada di dalam dapur rumah saya.   

Jom kita lihat resepinya... :)



BINGKA KENTANG 
Sumber : Kak Fida - My Resepi

Bahan-bahan ( loyang 8 x 8 inc. )
14 auns(400g) kentang - rebus empuk dengan sedikit garam dan lecek halus
6 auns (3/4 cwn) gula halus
5 biji telur - besar
2 cawan santan 
8 auns (2 cwn) tepung gandum - ayak
1/2 sk garam
1 sk esen vanilla
sedikit pewarna kuning lemon

Cara-cara
1. Panaskan ketuhar 175C dan griskan loyang dengan minyak atau majerin.

2. Kacau telur,gula,garam dan esen hingga rata dan masukkan santan.
3. Masukkan tepung sedikit-sedikit sambil dikacau hingga adunan tidak berbintil.Masukkan pula kentang lecek dan pewarna kuning.Kacau hingga sebati (saya blender untuk tekstur yang lebih halus)
4. Tuang adunan ke dalam loyang yang disediakan dan bakar selama 40 min - 1 jam atau hingga kuih bingka garing.


 5. Biar kuih benar-benar sejuk,potong dan hidangkan.


Assalamualaikum,

Salah satu kuih tradisional yang menjadi popular ketika hari lebaran adalah wajik atau sebelah utara Semenanjung Malaysia di sebut pulut kacau. Selain dari hari raya, kuih ini juga mudah di dapati ketika ada kenduri kendara masyarakat melayu iaitu selalunya di buat buah tangan untuk majlis tahlil.

Waktu kecil dulu saya kurang suka makan pulut kacau yang pulutnya keras dan melekit-lekit di gigi ketika mengunyahnya, tapi jika kena cara masak pulutnya iaitu rendam semalaman dan tanak hingga masak sebelum di kacau dengan gula dan santan, pulut ini menjadi lembut dan enak di makan. Seperti juga manisan yang lain, kuih manis begini tak boleh di makan dalam kuantiti yang banyak kerana takut kadar gula dalam darah pula meningkat.

Saya ada buat pulut kacau baru-baru ini sekadar teringin merasai keenakan kuih tradisi lama ini. Lagipun proses membuatnya tidaklah sesukar yang di bayangkan dan bahan-bahannya pun semua ada di dapur rumah saya. Pulut kacau ini boleh juga di pelbagaikan dengan memasukkan isi durian untuk rasa yang lebih enak. 

PULUT KACAU / WAJIK 
Sumber : Rozzan.blogspot (resepi asal : wajik durian)

500gm beras pulut

100gm gula pasir
750gm gula melaka/merah
2 helai daun pandan 
375gm santan pekat (saya timbang santan yg di beli dalam plastik) 
sedikit garam 
200ml air 

Penyediaan 

1. Cuci beras pulut dan rendam semalaman dan keesokkannya kukus hingga masak.

2. Sementara itu masak gula merah, gula pasir, daun pandan dan garam dengan air hingga larut, kemudian tapis.

3.  Masukkan santan kedalam gula tadi dan masaklah hingga pekat dan bertali.Setelah itu masukkan pulut dan kacau lagi sehingga adunan tidak melekat kepada senduk.


4. Setelah itu masukkan kedalam dulang atau loyang dan ratakan. Setelah sejuk bolehlah di potong dan di hidangkan.
Assalamualaikum,

Dah 3 hari tidak update blog dan menjenguk kesini kerana kesibukan tugas dan kesihatan yang tidak mengizinkan. Rasa dah lama sangat menyepi. Hari ni saya ingin berkongsi resepi masakan dari Thailand iaitu ayam phat phet. Masakan ini agak pedas dan jika anda bukan penggemar pedas, sila kurangkan jumlah pes dalam masakan.

Selalunya di Langkawi ada di jual pes phat phet yang sedia di gunakan di pasar basah tetapi kita juga boleh buat pes sendiri di rumah, menggunakan resepi pes kari merah dari Thailand dalam jumlah yang banyak, simpan di dalam peti sejuk. Jika kena cara membuatnya pes ini boleh bertahan hingga sebulan di dalam bekas tertutup di dalam peti  sejuk dan Ianya juga boleh di gunakan sebagai dasar di dalam pelbagai masakan Thai termasuk masakan phat phet.

Jom langsung kita lihat resepi ayam phat phet dan pes kari merah.
AYAM PHAT PHET
Bahan-bahan

500gm ayam di potong kecil
4 sudu besar minyak masak
8 sudu makan pes kari merah Thai (resepinya di sertakan di bawah)
1 cawan santan
Beberapa biji  terung kecil Thailand - di belah dua
Beberapa biji kacang panjang - patah-patahkan
1 biji tomato – di potong empat
3 sudu makan kicap ikan/sotong thai
1 sudu teh gula
1/2 sudu teh serbuk kunyit atau kunyit hidup di tumbuk halus
1 kiub ayam 
6 helai daun limau purut – keluarkan urat tengahnya dan koyak-koyakkan


Penyediaan

1. Tuang minyak ke dalam kuali dan apabila panas masukkan pes kari merah dan goreng  hingga wangi. Masukkan separuh santan dan daging ayam tumis hingga ayam kelihatan masak sedikit (kira-kira 2 minit).

2. Kemudian masukkan  terung kecil, kacang panjang dan daun limau purut. Masak lagi hingga sebati.

3. Masukkan kicap ikan, gula dan kiub ayam serta masak lagi selama 1 minit. Tambah baki santan tadi dan masaklah hingga pekat. Jika inginkan sedikit masam perah sedikit limau nipis. Rasakan masin dan manisnya dan matikan api dapur. Hidangkan dengan nasi panas.  

PES KARI MERAH (THAI RED CURRY)
Bahan-bahan:
20 tangkai cili kering - di rendam dengan air panas hingga lembut
Air Panas - 1/3 cawan
Jika suka lebih pedas masukkan 5 biji cili padi (pilihan)
4 hingga 5 helai daun limau purut
1 sudu teh lada putih
1 sudu teh garam
3 sudu besar minyak masak

DI KISAR HALUS
1 sudu besar lengkuas yang di racik halus
1/2 cawan bawang besar di cincang halus
2 sudu besar serai di cincang halus
2 sudu besar batang daun ketumbar di cincang
1/4 cawan bawang putih

Kaedah:

1. Rendam  kering cili merah di dalam air 1/3 cawan air panas selama lebih kurang 1/2 jam.

2. Sejatkan cili kering tadi, masukkan kedalam blender bersama-sama semua bahan lain (kecuali minyak masak). Masukkan bersama air rendaman cili tadi, kisar hingga halus.

4. Panaskan minyak dalam kuali.

5. Masukkan pes dan masak sehingga agak kering (3 hingga 5 minit).

6. Biarkan pes tersebut sejuk sebelum menyimpannya kedalam balang kedap udara yang bersih. Simpan di dalam peti sejuk selama 1 bulan atau jika bekukan boleh tahan sehingga 6 bulan.
Assalamualaikum, 

Malam tadi saya ada mencuba resepi kuih lapis tembikai kuning hasil adaptasi dari perkongsian resepi teman FB iaitu Amihan Danaya. Dah lama saya tertarik dengan kuih ini tapi baru semalam berkesempatan membuatnya. Untuk biji, saya gunakan coklat chips seperti resepi asal tetapi jika takut coklatnya cair dan comot, boleh juga rasanya gantikan dengan potongan kecil cincau atau kismis hitam. Ini sekadar saranan :). apapun kuih ini memang menarik dan sedap sekali. Terimakasih tuan punya resepi dan saya ingin pula berkongsi resepi di sini untuk rujukan di masa depan dan bagi sesiapa yang ingin mencubanya.

KUIH LAPIS TEMBIKAI KUNING 
Sumber : Amihan Danaya (facebook)

250gm tepung beras
50gm tepung ubi
900ml santan
200g gula pasir
1/2 sudu teh garam
1 helai daun pandan di simpul
pewarna kuning 
pewarna hijau
chip coklat/coklat rice secukupnya

Cara membuatnya:
1. Masak santan bersama gula pasir,garam daun daun pandan hingga mendidih. Angkat dan sejukkan seketika.

2. Di dalam bekas lain campurkan tepung beras dan tepung ubi lalu tuangkan santan sedikit demi sedikit. Kacau dengan whisk hingga sebati dan tapis untuk mengelak tepung bergumpal.

3. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian,setiap satu di tambah dengan warna kuning,hijau dan warna asal.

4. Sapu loyang dengan minyak masak dan lapik bahagian dalam loyang dengan plastik dan panaskan atas kukusan,lalu tuang sedikit adunan warna hijau ,kukus selama 5 minit(agak mengeras) kemudian tuang warna asal dan kukus kembali 5minit,
seterusnya tuang adunan warna kuning dn taburkan chip coklat dan kukus 5minit.

 5. Ulang proses melapis adunan warna kuning sampai habis dn setelah itu kukus 30 minit untuk kuih masak sempurna.

6.Sejukkan dulu sebelum di potong dan seeloknya potong dgn pisau plastik.



Assalamualaikum,

Sedang merancang untuk masak? Untuk makan tengahari ni, apa kata cuba resepi butter crab with salted egg yang bagi saya sungguh lazat sekali. Sebelum ini saya ada masak udang dengan telur masin dan resepinya ada dalam blog ini, tapi hari ini tukar kepada ketam dan tambah sedikit bahan lain iaitu santan untuk rasa yang lebih lazat dan ini menjadikan ketam tersebut lebih bersalut dengan telur masin tersebut.

Aih..kecur air liur bila bercerita kelazatan ketam dan telur masin ni ye. Jomlah langsung kita lihat resepinya :D.

BUTTER CRAB WITH SALTED EGG

Bahan A
2 ekor Ketam
1 sudu tepung jagung
1/2 sudu teh lada sulah
garam secukup rasa
Bahan B
Mentega untuk menumis
2 biji telur masin - ambil kuningnya dan lecek dengan garfu
2 ulas bawang putih - cincang 
2 pelepah daun kari - leraikan dari pelepah
1/2 cawan santan
1 biji cili merah - di potong 
1/2 kiub ikan bilis 
Cara membuatnya:-

1. Bersihkan ketam, buang kulit dan potong dua. Gaul dengan tepung jagung, lada sulah dan garam dan perap seketika.


2. Goreng ketam tersebut di dalam minyak yang banyak dan ketepikan.

3. Cairkan mentega di dalam kuali, tumis bawang putih, cili dan daun kari hingga wangi.

4. Masukkan santan dan kiub ikan bilis.

5. Masukkan telur masin dan ketam goreng tadi, kacau hingga pekat dan keduanya bersalut.

6. Hidangkan dengan nasi panas.





Assalamualaikum,

Suka atau tidak makan rebung? Kalau saya suka makan rebung segar yang di rebus terlebih dahulu untuk di rampai dengan masak lemak ataupun gulai ala utara. Kalau rebung jeruk kurang suka kerana baunya yang kuat dan menyegat. Ada yang beri petua, cara nak hilangkan bau rebung jeruk...adalah dengan mencucinya  dengan air basuhan beras. Saya belum pernah mencuba kerana lebih suka masak rebung segar yang di beli dari pasar atau yang di rebus terlebih dahulu dari penjual. Rasanya pun lebih manis dan 'original'. :)

Hari ni saya ingin berkongsi resepi gulai udang dan rebung ala utara. Ada yang masak resepi ni dengan mencampurkan daging tetel, daging segar tanpa lemak atau tulang lembu. Hari ni saya campurkan dengan udang. Seperti biasa, walaupun cara masakannya sama saja...saya merujuk jumlah bahan-bahannya kepada yang lebih pakar iaitu chef hanieliza dari resepinya gulai rebung dan daging, untuk panduan adik-adik yang baru belajar mencuba resepi ini.

Jom kita lihat resepi :)

GULAI UDANG DAN REBUNG

Bahan-bahan
500 gm rebung hutan kecil - di rebus dan buang rebusan
200 gm udang segar
3 cawan santan 
1 s/b kerisik 
2 keping asam gelugur
3 sudu minyak masak 
garam
1 kiub ikan bilis (saya tambah)

Bahan Tumis
3 sudu besar rempah kari daging 
3 ulas bawang merah  - di tumbuk 
2 ulas bawang putih -di tumbuk
2 cm halia -di tumbuk
1 cm kulit kayu manis
daun kari

Cara
1. Rebung dipotong pendek dan basuh. Rebuskan sehingga agak lembut. Toskan.

2. Panaskan minyak dan tumiskan bahan tumis sehingga wangi.

3. Masukkan santan dan rebung dan masak sehingga mendidih.

4. Masukkan garam, kiub pati ikan bilis, asam keping dan udang.

5. Perlahan api. Masak sehingga agak pekat dan naik minyak.

5. Tutup api dan hidangkan dengan nasi putih.




Assalamualaikum,


Malam tadi saya mencuba resepi kuih lapis keledek unggu setelah menggodek-godek resepi dari blog kak Wan (citarasawan). Sedap kuih ni, cukup lemak manisnya dan warnanya juga cantik..mungkin kerana ungu ni warna kegemaran, ton warnanya cukup memikat sekali pada pandangan saya.

Membuatnya juga tidaklah sesukar yang di bayangkan, cuma memerlukan sedikit kesabaran mengukus selapis demi selapis.

KUIH LAPIS KELEDEK UNGGU 
Sumber : citarasawan.blogspot.com

Bahan-bahan (saiz loyang 8' x 8' - gris dengan minyak masak terlebih dahulu)
250g tepung beras
70g tepung ubi kayu
250g gula pasir
200gm keledek yang telah direbus (dan lecek ketika masih panas)
450ml santan pekat 
450ml air
1/2 sudu teh garam
2 helai daun pandan 
beberapa titis pewarna unggu

Cara membuat:

1. Satukan tepung beras dan tepung ubi dalam mangkuk besar. Ketepikan.

2. Masak santan, daun pandan, air, garam dan gula hingga mendidih. Keluarkan daun pandan. Tuang ke dalam mangkuk berisi tepung, kacau dengan cepat hingga sebati. Ambil 300ml adunan, masukkan keledek lecek dan kisar di dalam blender hingga halus.


3. Satukan semula adunan tadi, kacau rata dan tapis.


4. Bahagikan kepada 3 bahagian (+-450ml), satu bahagian warna asal, unggu muda dan unggu tua.

5. Panaskan pengukus, masukkan loyang dan tuang 150ml setiap satu adunan warna asal dan kukus selama 4minit. Buat Hingga habis.

6. Ulangi langkah 5 untuk lapisan unggu muda hingga habis dan seterusnya dengan lapisan unggu tua.

7. Untuk lapisan terakhir, tutup loyang dengan aluminium foil dan kukus selama 25minit. Potong Kuih setelah betul-betul sejuk.






  
Assalamualaikum,

Dalam perjalanan pulang dari pejabat tadi saya singgah di pasar basah. Aduh...tak tahan melihat isi petai yang munggil-munggil siap kopek di jual oleh seorang makcik. Dalam fikiran teringin nak buat sambal tumis udang petai, tapi setibanya di rumah dah bertukar pula rencana bila melihat nasi lebihan tengahari tadi masih berbaki dan berkejar untuk menjemput anak dari pusat tuisyen yang pulang lewat hari ni kerana kereta cikgu yang menghantarnya ke rumah mengalami kerosakan.

Walaupun bertukar menu, alhamdulillah makan malam ni tetap enak dengan hidangan nasi goreng petai. Jom kita lihat resepi...walaupun simple, sedap tau. :)

NASI GORENG PETAI
4 cawan nasi sejuk - peroikan 
8 ekor udang hidup 
4 ekor sotong - di potong bulat 

2 sudu besar kicap sotong 
2 sudu besar sos tiram 
kacang panjang - di racik halus
1/2 cawan petai (telah di kopek)
minyak untuk menumis
PES SAMBAL (kisar halus)
5 biji cili merah 
3 biji cili padi
4 cm belacan  
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah 

Cara membuat:

1. Tuang minyak ke dalam kuali, tumis pes sambal yang di kisar dan kacau hingga wangi.

2. Masukkan pula udang dan sotong, kacau sebentar dan masukkan nasi. Besarkan api dapur dan tuang kicap sotong dan sos tiram, kacau dengan cepat dan ubah kepada api sedang.

3. Masukkan kacang panjang dan petai, kacau lagi hingga sebati dan rasa nasi tersebut. Jika sudah secukup rasa, matikan api dapur dan hidangkan.

Assalamualaikum, 

Antara kuih talam yang menjadi kegemaran saya adalah talam kacang hijau. Suka sangat dengan rasanya yang lemak manis paduan antara kacang hijau yang direbus empuk dengan santan. Resepi ini saya ambil dari resepi asal Chef Hanieliza. Memang saya penggemar resepi-resepi beliau kerana setakat ini memang menjadi apa yang saya masak dan resepinya juga mudah di fahami serta sedap-sedap belaka.

Saya kongsikan sekali lagi resepinya di sini.


KUIH TALAM KACANG HIJAU 

Lapisan bawah - (kacang hijau ) 
1 cawan kacang hijau (yang telah di rebus lembut dan mesin halus sikit) 
2 cawan tepung beras 
1/2 cawan tepung ubi
1 cawan gula 
3 cawan santan cair + secubit garam 
beberapa titis pewarna hijau

Cara-cara :-

1. Panaskan kukusan, lapik loyang dengan plastik atau boleh juga sapukan minyak terus pada loyang.

2. Masukkan semua bahan kecuali kacang hijau kedalam periuk dan kacau rata. Tapiskan dan  masak sebentar sahaja di atas api sehingga pekat sedikit. Masukkan kacang hijau yg dimesin dan kacau rata. 


4. Tuang adunan kedalam loyang dan kukuskan sehingga masak dalam 30 minit. 

Lapisan Atas - (santan) 
1 cawan tepung beras 
3 cawan santan pekat 
1 sudu teh garam 

Cara-cara:- 
1. Gaulkan semua bahan dan tapiskan. Masak adunan diatas api yg perlahan. Sentiasa kacau supaya adunan tidak berketul-ketul.


2. Bila adunan lapisan bawah telah masak, cakarkan sikit dgn garfu dan tuangkan adunan santan atas permukaan kacang hijau tadi. 

3. Kukus lagi selama 25 minit dan sejukkan sebelum di potong dan hidangkan.