KEK MENTEGA COKLAT KEJU

Assalamualaikum, 

Kek mentega coklat keju ni entry tertunggak terakhir yang tersimpan dalam laptop saya. Seminggu ni memang kalau ada yang perasan, saya asyik publish entry kek sahaja kan dalam blog ini. Jadi hari ini berakhir sudah entry tertunggak dan lepas ni kenalah fikir nak masak apa pula untuk update blog. Harap-harap tetap bersemangat lepas ni dan jangan sampai blog ini bersawang lagi hendaknya. 

Kalau kita lihat sepintas lalu kek mentega coklat keju ni sama seperti kek lapis cheese yang ramai teman-teman blogger dah buat sebelum ini. Memang kalau dilihat bahan-bahan yang digunakan untuk membuat adunan cheese pun sama. Yang lainnya hanya bahan-bahan untuk kek mentega coklat dan kaedah yang saya gunakan adalah bakar bukan kukus. Kalau kukus mesti cantik lapisan cheese dan taklah berombak-ombak macam gambar kat bawah tu. 

Kek ini saya buat untuk dibawa 'piknik' di pantai. Waktu itu anak saya yang sulung baru pulang dari asrama dan dia memang penggemar cheese. Jadi malam sebelum pergi bersantai dipantai tu saya ajarlah dia buat kek ni. Nak mudah lapis-lapiskan semua dalam loyang dan bakar sahajalah, senang kerja dan cepat. Bagi yang nak try, bolehlah lihat resipi dibawah ni.

KEK MENTEGA COKLAT KEJU
Saiz loyang : 8 inci

Bahan A
250gm mentega
100gm gula pasir
4 biji telur - Gred A
1sudu teh esen vanilla
170gm tepung gandum
30gm serbuk koko
5 sudu besar susu cair

Bahan B 
250gm cream cheese 
60gm gula halus
1 biji telur - gred A
1sudu makan susu cair
1 sudu makan tepung jagung

Cara Membuatnya:

1. Kacau bahan B dengan menggunakan whisk sampai rata dan mengembang.
2. Ayak tepung gandum dan serbuk koko. Ketepikan seketika.

3. Pukul mentega dan gula hingga pucat dan mengembang lalu masukkan telur satu per satu. Masukkan esen vanilla dan susu cair dan pukul lagi hingga rata.
4. Masukkan tepung yang sudah diayak sedikit demi sedikit dan kacau rata dengan spatula. 

5. Tuang setengah bahagian adunan coklat kedalam loyang yg sudah disapu mentega dan alas kertas.
6.  Tuang pula adunan creamcheese dan baki adunan coklat. Bakar pada suhu 160'c selama 50 hingga -60minit.

 
7. Keluarkan dari loyang dan sejukkan sebelum dipotong.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)