Assalamualaikum, 

Apa khabar pembaca blog fizalgk dan rakan-rakan sekelian. Suka tak makan gorengan cucur...tak kiralah cucur sayur, cucur udang ataupun cucur yang manis seperti cekodok pisang. Pasti ramai yang suka..betul tak? Kecualilah yang tengah diet tu...ada yang elak dari makan benda bergoreng. Tapi tak salah nak makan sesekali dan kalau buat cucur dirumah kita boleh control penggunaan minyak dengan menggunakan minyak jagung untuk menggoreng. 

Ada tips sederhana sebenarnya untuk mengelakkan cucur daripada berminyak iaitu jangan goreng cucur dengan api yang kecil kerana cucur akan menyerap minyak dan jika api dapur terlalu kuat, cucur cepat hangit diluar dan tidak masak didalam. Yang bagusnya goreng cucur menggunakan api sederhana panas dan ketika diangkat masukkan kedalam penapis yang di lapik tisu dapur supaya lebihan minyak diserap.

Baiklah...jom kita lihat resipi cucur siput yang saya sediakan dibawah ini. Boleh je tukarkan dengan makanan laut lain untuk resipi ni. 
CUCUR SIPUT RANGUP
200gm isi siput - (saya guna isi siput kabung)
½ kilogram tepung gandum
2 cawan air
1 biji telur
1 paket (11gm) yis mauripan - dilarutkan dalam ½ cawan air suam 
1 sudu kecil garam
sedikit serbuk kunyit
200gm taugeh
1 pokok daun bawang
2 biji cili merah - dihiris nipis
Minyak secukupnya untuk menggoreng

Cara membuatnya:

1. Larutkan yis kedalam air suam, biarkan seketika hingga agak berbuih.

2. Potong daun bawang, cili merah dan cili padi. Masukkan kedalam mangkuk bersama taugeh yang telah dibersihkan dan isi siput.


3. Masukkan tepung gandum.


4. Masukkan pula serbuk kunyit, garam dan kacau rata. 

5. Pecahkan telur kedalam campuran tersebut dan masukkan larutan yis tadi bersama dua cawan air.

6. Gaul hingga sebati dan masukkan sayur-sayuran. Perapkan sebentar hingga adunan nampak berbuih.

7. Panaskan minyak masak dan gunakan api sederhana untuk menggoreng cucur didalam minyak yang banyak. 

8. Goreng hingga kuning keemasan dan angkat untuk toskan minyak.
Assalamualaikum, 

Apa khabar pembaca blog fizalgk dan rakan-rakan sekalian? Moga sihat-sihat selalu ye dan hari ini cuti umum sempena Chinese New Year, jadi jika tidak kemana-mana tu bolehlah masak untuk keluarga dirumah. Walaupun sesibuk mana sekalipun air tangan isteri tu pengikat kasih-sayang keluarga ye tak? Itulah pesanan mak-mak kita zaman anak dara dulu...tak kiralah masakan simple pun janji dapur tu berasap. Tetapi kalau nak makan kat luar pun tak ada salahnya sesekali...ye tak? Pandai-pandailah kita imbangi masa dan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.

Hari ini saya ingin berkongsi resipi sup ikan sedap yang sangat simple dan bagi yang ingin mencuba dialu-alukan. Boleh je tukar dengan apa-apa jenis ikan yang anda suka. Jom kita lihat resipi dibawah ni ❤

SUP IKAN SEDAP
Bahan-bahan
4 potong ikan siakap - Boleh juga guna ikan lain 
4 cawan air

Bahan ditumbuk
1 biji Bawang besar ditumbuk
2 ulas Bawang putih ditumbuk
½ inci Halia 

2 sudu besar minyak masak
1 batang Kulit kayu manis | 1 kuntum Bunga lawang
2 biji buah pelaga
2 biji kentang dipotong baji
½ batang lobak merah
1 biji tomato dibelah 4
3 biji cilipadi diketuk
1 bunjut sup bunjut
Garam dan lada sulah secukup rasa

Hiasan
Daun sup sedikit
Bawang Goreng sedikit

Cara membuat

1. Mula-mula tumbuk halia bersama bawang putih dan bawang besar sehingga lumat

2. Kemudian panaskan minyak di dalam periuk dan tumis bersama kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga sehingga naik bau.

3. Selepas itu masukkan air dan kentang.

4. Setelah mendidih, masukkan ikan, lobak merah, cilipadi, tomato, sup bunjut dan perasakan dengan garam serta lada sulah. kacau rata dan didihkan lagi sehingga ikan masak sepenuhnya. 

5. Taburkan bawang goreng dan sedikit daun sup sebelum dihidang.
Assalamualaikum, 

Apa khabar pembaca setia blog fizalgk dan rakan-rakan sekalian. Wah ini entri pertama bulan Februari 2018. Dah tidak berminat untuk berblogging ke fizalgk ni? Hihihi..ada tau follower yang bertanya begitu kat saya. Eh siapa kata saya tidak berminat? Masih lagi  bersemangat membara walaupun pentas berblogging ini kurang bahangnya seperti Instagram, facebook dan media sosial yang lain, menulis di blog tetap mendatangkan kepuasan tersendiri. Cuma...itulah kadang-kadang kekangan masa agak terbatas. 

Untuk hari ini saya ingin kongsikan resipi ayam goreng Hat-Yai ataupun kalau di terjemahkan kedalam bahasa Thailand di panggil Gai Tod Hat-Yai. Ayam goreng ini di gandingkan dengan pulut dan bawang goreng dan rasanya yang berempah serta rangup benar-benar menggoda selera. Jom kita try resipi yang saya sediakan dibawah ini dan jangan lupa untuk mencuba tau.
AYAM GORENG HAT-YAI @ GAI TOD HAT-YAI
Bahan Tumbuk - A
1 kilogram ayam 
8 ulas bawang putih 
4 tangkai akar beserta batang pokok ketumbar  
1 sudu teh lada hitam 
2 sudu teh serbuk ketumbar 
1 sudu teh serbuk jintan putih
1 sudu teh serbuk cili Baba's 

Bahan B
2 sudu teh gula 
1 sudu teh garam
1 sudu teh baking soda 
3 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap cair 

Cara membuatnya : 

1. Tumbuk lada hitam, akar ketumbar serta bawang putih hingga hancur dan masukkan rempah-rempah lain seperti serbuk ketumbar, serbuk jintan putih dan serbuk cili baba's. Tumbuk lagi hingga benar-benar halus.

2. Pindahkan bahan yang ditumbuk tadi kedalam mangkuk besar dan masukkan kesemua bahan-bahan B iaitu gula, garam, baking soda, sos tiram dan kicap cair. Kacau hingga sebati dan masukkan ayam kedalam bahan tersebut sambil digaul rata.

3. Tutup mangkuk tersebut dengan plastik cling dan perap iaitu simpan semalaman didalam peti sejuk untuk digoreng keesokkan harinya.

BAHAN UNTUK MENGGORENG 
2 cawan minyak masak 
½ cawan bawang merah yang telah siap dimayang 
½ cawan tepung serbaguna@gandum
½ cawan air (larutkan dengan secubit kapur makan)
beberapa titis pewarna makanan merah - jika suka 

1. Gaul bawang merah yang dimayang dengan sedikit garam dan biarkan selama satu jam diatas tisu dapur. Tujuannya agar tiada sisa-sisa air pada bawang tersebut.

2.   Keluarkan ayam yang diperap dari peti sejuk dan masukkan ½ cawan tepung serbaguna@gandum dan ½ cawan air (yang telah larutkan dengan secubit kapur makan). Gaul hingga semua bercampur dan biarkan selama 30minit.

3. Panaskan minyak (api sederhana) dan goreng bawang merah yang telah dimayang tadi. Setelah kekuningan angkat dan toskan.

4. Besarkan sedikit api dapur dan goreng pula ayam yang telah diperap hingga masak dan kuning keemasan. Angkat ayam goreng tadi dan toskan didalam penapis yang telah dilapik tisu dapur. Hidangkan dengan pulut dan sos cili Thai.