Assalamualaikum,

Sarapan apa agaknya pagi ini? Hari ini saya buatkan maggi goreng mamak sebagai sarapan pagi. Anak yang bongsu suka sangat makan maggi atau mee goreng mamak tapi pagi ini dia di hidangkan dengan hasil air tangan 'mama' pula :D. Rasanya mungkin tak sama dengan maggi goreng mamak di restoran yang dia suka tu...tetapi tak kalah juga tau, InshaAllah lebih bersih dan jimat masak sendiri di rumah. 

Bagi yang ingin mencubanya, ada saya sertakan resipi di bawah ni. 

MAGGI GORENG MAMAK
Bahan-bahannya
2 bungkus maggi - di celur dan toskan 
2 ulas bawang putih di cincang
2 biji telur - di pukul ringan
1 biji kentang - di rebus dan potong kiub
3 ketul tofu pok - di belah dua 
1 ketul fish cake - di hiris
isi ayam secukupnya - di potong kiub
Minyak untuk menumis secukupnya
Sedikit sayuran : Sawi, kobis, lobak merah di potong seperti mancis dan taugeh. 

Bahan Sos
1 sudu besar kicap gelap pekat
1 sudu besar kicap cair cair
1 sudu teh serbuk kari - pilihan (tak letak pun tetap sedap)
1 sudu besar cili kisar
3 sudu besar sos tomato 
3 sudu besar sos cili 

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak di dalam kuali, masukkan bawang putih dan kacau hingga kekuningan dan berbau harum. Tuang telur dan kacau rata.

2. Masukkan, isi ayam, tofu pok dan fish cake. Kacau hingga isi ayam masak dan masukkan pula bahan-bahan sos. 

3. Seterusnya masukkan maggi dan kentang yang di potong dadu tadi. Kacau hingga semua sebati dan mesra.
4. Akhir sekali masukkan sayuran dan kacau lagi. Masukkan juga taugeh, kacau sebentar dan matikan api dapur. Bolehlah di hidangkan.
Assalamualaikum, 

Sarapan apa pagi ini. Dah lama saya tak buat bingka dan oleh kerana teringin sangat saya buatkan bingka labu lemak manis, malam tadi untuk sarapan pagi hari ini. Sedap sangat rasa bingka ini, secukup rasa dan manisnya pun sederhana memang sesuailah dengan citarasa saya sekeluarga.

Resipinya saya ambil dari blog yatiememories yang sering berkongsi resipi bingka dan kuih talam yang sedap-sedap. Terima kasih yatie dan Izinkan saya berkongsi resipinya sekali lagi disini bagi yang ingin mencubanya.

BINGKA LABU LEMAK MANIS

Bahan A
2 biji telur
2 cawan santan 
1/2 cawan susu cair
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula pasir halus
1/2 cawan susu pekat manis
1/2 sudu kecil garam
1 sudu kecil esen vanilla
2 sudu besar mentega 

Bahan B
2 cawan labu- yang telah direbus - toskan dan dilecek
sedikit bijan utk tabur di atas permukaan kuih
Cara membuatnya :

1. Panaskan oven pada suhu 200C, sapu loyang dengan mentega, panaskan sebentar .

2. Satukan bahan-bahan A dan blender hingga tepung tidak berketul.
3. Tuangkan dalam mangkuk besar dan masukkan labu yang telah di lecek, kacau hingga rata.
4. Seterusnya tuang dalam loyang yang telah di panaskan tadi.
5. Bakar selama 1 jam atau hingga masak. Kalau nak permukaannya berkerak, tambah masa membakar. Biarkan kuih betul-betul sejuk barulah di potong.

Assalamualaikum, 

Pernah makan kerabu buah gajus atau di sebelah utara semenanjung ni orang menyebutnya buah jangguih. Kalau saya masa zaman kanak-kanak dulu kurang menggemarinya tetapi di usia sekarang suka pula dengan rasa kerabu ni yang kelat-kelat manis, lemak dari isi ikan dan pedas dari sambalnya. Agaknya generasi baru ramai yang tidak tahu kewujudan kerabu ini yang menjadi kegemaran di suatu masa dahulu. 

Membuat kerabu ini sangatlah mudah. Pastikan buah gajus yang di hiris nipis di perah terlebih dahulu untuk membuang rasa kelat dan setelah itu bolehlah di rampai dengan sambal kerisik dan isi ikan.

Nak tahu resipinya, jom kita lihat. 

KERABU BUAH GAJUS
Bahan A 
Bahan-bahan 6 biji buah gajus yang telah masak - Jangan pilih yang terlalu lembik
1 tangkai pucuk gajus - di hiris 
1/2 labu bawang besar - di hiris nipis
1 ekor ikan kembung di rebus - ambil isinya
1 sudu besar kerisik

Bahan B - Tumbuk lumat
2 tangkai cili besar 
3 biji cili padi 
1/2 inci belacan - di bakar sebentar 
sedikit asam jawa
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Bersihkan buah gajus, asingkan dari bijinya dan hiris nipis. Setelah itu perah buah yang telah di hiris untuk menghilangkan rasa kelat.


2. Masukkan isi buah gajus kedalam mangkuk besar dan gaulkan dengan bahan yang telah di tumbuk dan kerisik.


3. Setelah itu masukkan bawang besar yang telah di hiris dan gaul lagi. 


4. Akhir sekali masukkan isi ikan dan gaul lagi hingga sebati dan hidangkan bersama nasi putih.


Assalamualaikum,

Ayam kampung memang enak di masak apapun jenis resipi. Bagi saya jika ada stok ayam kampung menu wajibnya adalah di buat kari sahaja, maklumlah orang utara memang gemar makan kari. Lebih enak lagi jika di rampai dengan rebung madu. Memang sedap dan membuka selera.

Kari ayam kampung ini seperti juga kari yang biasa kita masak selalu tu. Manakala untuk rebung, pastikan di racik halus-halus tetapi tidak putus, agar mudah menikmatinya dan sebati dengan rempah ratus kari.

Untuk resipi, jom kita lihat bahan-bahannya di bawah ini :)
KARI AYAM KAMPUNG DENGAN REBUNG MADU 
Bahan A (Untuk menumis) 
1 kuntum bunga lawang 
2 kuntum bunga cengkih 
1 inci kulit kayu manis 
5 ulas bawang merah - di mayang  
2 ulas bawang putih - di mayang 
1/2 inci halia - di mayang 
2 pelepah daun kari 

Bahan B
Ayam kampung - di potong - (saya guna kira-kira 700gm)
100gm rebung madu - rebus hingga lembut
5 sudu besar serbuk kari daging/ayam
1 sudu besar kerisik
1 cawan santan 
3 cawan air
Garam dan secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Masukkan minyak ke dalam kuali dan tumis semua bahan A sehingga wangi dan agak garing.
2. Masukkan pula serbuk kari yang di bancuh dengan sedikit air dan kacau hingga pecah minyak.

3. Masukkan pula air dan renihkan hingga isi ayam masak. Seterusnya masukkan santan dan tambahkan lagi sedikit air jika ingin lebihkan kuah. 

4. Masukkan rebung madu yang telah siap di rebus kedalam periuk sambil di kacau lagi. Perasakan dengan garam dan serbuk perasa (jika suka)


5. Akhir sekali masukkan kerisik dan renihkan hingga sebati dan ayam serta rebung benar-benar masak. Matikan api dan bolehlah di hidangkan dengan nasi panas.


Assalamualaikum,

Dah makan tengahari hari ni? Menu apa agaknya ye. Kalau saya lebih suka menu 'style' kampung, macam mak selalu masak dulu-dulu waktu kecil, Siapa yang membesar di kampung mesti kenal ulam-ulaman kampung macam terung pipit ini. Selain di buat sambal campur dengan udang atau ikan bilis, terung ini juga sedap di rebus dan cicah dengan sambal picit.

Anak-anak sekarang agak kurang mengenali ulam-ulaman kampung. Contohnya anak saya sendiri...dia cakap terung pipit ini kacang peas.  

Bagi yang tak pernah masak terung pipit ni dan ingin mencubanya, sila masak hingga terung ini agak lembut kerana jika masih keras di luar itu tandanya belum masak. Ada sesetengah orang yang merebusnya terlebih dahulu sebelum masukkannya ke dalam sambal. 

Baiklah, resipi sambal tumis ini sama seperti sambal yang kita buat selalu tu, cuma kali ini saya gantikan air asam jawa dengan tomato. Jom kita lihat resipinya :)

SAMBAL TUMIS UDANG TERUNG PIPIT
Bahan-bahannya
300gm udang segar 
Beberapa tangkai terung pipit - Anggaran 1/2 cawan
2 sudu besar minyak masak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa

Bahan Kisar 
5 tangkai cili merah 
2 tangkai cili padi 
1/2 inci belacan 
5 ulas bawang merah 
1 biji tomato 
1 sudu besar sos tomato
1 cawan air 

Cara membuatnya:

1. Asingkan terung pipit dari tangkainya dan cuci bersih. Tuang minyak ke dalam kuali dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak dan naik bau.
2. Masukkan udang dan kacau hingga separuh masak.
3. Masukkan pula garam dan gula secukup rasa.

4. Setelah itu masukkan  terung pipit dan masaklah hingga terung lembut. Boleh juga rebuskan dahulu terung tersebut dan masukkan kedalam sambal, untuk mempercepatkan proses memasak.


 5. Setelah masak sepenuhnya hidangkan dengan dengan nasi panas dan lauk-lauk yang lain.

Assalamualaikum,

Semalam cuti hari minggu sempat juga buatkan laksam, permintaan dari anak sulung yang teringin sangat nak makan. Buat sedikit sahaja sekadar memenuhi permintaan.

Sebenarnya tidaklah terlalu rumit nak menghasilkan laksam asalkan tahu caranya dan rajin mencuba. Hari ini saya ingin berkongsi resipi yang rasanya sama dengan teman-teman blogger yang lain pernah kongsikan.

Jom kita lihat resipinya.
LAKSAM - BAHAN UNTUK KUAH
250gm isi ikan yang telah di rebus - di kisar 
Air rebusan ikan 
100ml santan 
3 keping asam keping
1/2  sudu teh serbuk lada hitam 

Bahan Kisar (B)
5 ulas bawang merah 
5cm halia 
1 batang serai 

1. Rebus ikan dan asingkan isinya dari tulang.


2. Kisar halus semua bahan B bersama isi ikan hingga halus.


3. Rebus semua bahan kisar dan masukkan air rebusan ikan serta santan. Masukkan juga asam keping beserta serbuk lada hitam. Renih hingga mendidih dan perasakan dengan garam secukup rasa.


3 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
1/2 sudu teh garam
5 cawan air suam
sedikit minyak untuk di sapu di atas tudung periuk (boleh juga gunakan loyang leper)

Cara membuatnya:

1. Panaskan kukusan bersama tudung periuk yang disapu minyak secukupnya. Tujuannya adalah untuk memudahkan laksam di gulung dan tak melekat di tudung periuk/loyang nanti. Pastikan setiap kali mengukus, loyang di sapu dengan sedikit minyak. 

2. Di dalam mangkuk yang besar, campurkan tepung gandum, tepung beras, garam dan air suam, Kacau hingga sebati dan tidak berketul.

 3. Masukkan adunan ke dalam jag sambil di kacau supaya adunan tepung tidak mendap. Tuang ke atas tudung periuk dan kukuslah sehingga gelembung baru angkat. laksam akan patah ketika menggulungnya. Api ketika mengukus perlu kuat supaya tepung cepat masak.

Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin kongsikan resipi siakap masam manis. Boleh di gantikan dengan ikan lain juga mengikut selera anda. 

Teknik memotong ikan ini membuatkan anak-anak lebih mudah menikmati ketulan isi ikan yang di masak. Saya mula dengan menyiang seperti biasa tetapi menghiris isi ikan di kedua-kedua belah sisi dan seterusnya di potong dadu. Tulang ikan yang tinggal bersama-sama kepala dan ekornya juga di goreng ranggup dan taburkan isi ikan ke atasnya sebelum di tuang kuah.

Nak cuba resipi yang ringkas ini? Jom kita lihat bahan-bahannya.
SIAKAP MASAM MANIS 
Bahan-bahannya 
1 ekor ikan siakap - berat kira-kira 700gm
1 sudu besar tepung jagung dan sedikit garam
4 ulas bawang putih - di cincang 
1 labu bawang holand - di hiris kasar 
1/2 batang lobak merah - di potong seperti mancis
4 sudu besar sos tomato 
2 sudu besar sos cili 
1/2 cawan air (tambahkan sedikit jika ingin kuah lebih)
garam, gula dan lada sulah secukup rasa
1/2 tangkai cili merah 
30gm nanas - di potong dadu 
20gm lada benggala hijau
minyak untuk menumis 

Cara membuatnya:

1. Bersihkan ikan siakap. saya siat dagingnya dan potong dadu lalu di goreng hingga separuh garing. Ketepikan seketika.

2. Masukkan minyak kedalam kuali. Tumis bawang putih sehingga agak garing dan masukkan lobak merah dan bawang holland.


3. Setelah bawang dan lobak merah agak layu sedikit, masukkan semua sos dan air lalu di kacau.


4. Perasakan dengan garam, gula dan serbuk lada sulah secukup rasa.


5. Seterusnya masukkan cili merah, nanas dan lada benggala. Kacau sebentar dan matikan api dapur. Tuang kuah ke atas ikan goreng tadi dan bolehlah di hidangkan.

Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu dan menghabiskan cuti panjang dengan keluarga. Cuti begini kalau tak kemana-mana bolehlah mencuba resipi-resipi ringkas yang di kongsikan.  Ini adalah menu sarapan hari ini. Anak-anak saya suka makan muffin dan ianya mengenyangkan. Kali ini saya masukkan mangga kedalam adunan dan rasanya memang sedap.

Bagi yang ingin mencuba, jom kita lihat resipinya :)
MUFFIN MANGGA
Bahan-bahan
2 ½ cawan tepung naik sendiri
1/3 cawan gula kastor
1 1/3 cawan susu segar + 1 sudu besar cuka -jadikan buttermilk
1 sudu besar jus mangga sunquick
¼ cawan minyak sayuran -boleh juga guna minyak masak
1 biji telur
1 cawan isi mangga – di potong dadu

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven pada suhu 180’c.

2. Di dalam sebuah mangkuk besar, campurkan gula dan tepung. Ketepikan seketika.
3. Masukkan buttermilk kedalam sebuah mangkuk lain dan kacau bersama minyak sayuran, jus mangga dan telur dengan menggunakan spatula.
4. Tuang adunan buttermilk tadi kedalam tepung dan gula lalu dikacau sekadar adunan bercampur. Jangan terlebih kacau kerana muffin akan menjadi keras. Adunan sepatutnya tidak cair dan agak berketul. Masukkan pula mangga yang telah di potong.
5. Seterusnya masukkan adunan kedalam cawan muffin dan bakar ke dalam oven pada selama 25minit atau sehingga masak.


Assalamualaikum,

Selamat hari pekerja untuk semua pembaca blog dan teman-teman FB. Hari ini memang sibuknya luar biasa kerana terlalu ramai pelancong yang masuk ke Pulau Langkawi sempena cuti yang agak panjang iaitu sempena hari pekerja, cuti hujung minggu dan di sambung pula cuti hari wesak bagi negeri-negeri yang mendapat cuti pada hari tersebut.

Bila terpaksa bekerja pada hari ini dan sampai di rumah sudah keletihan. Anak-anak memilih untuk makan nasi tetapi tekak ni terasa nak makan yang berkuah dan pedas-pedas sahaja. Jadi saya buatkan maggi kari ketam untuk diri sendiri. Memang sedap sangat menghirup, di tambah pula dengan cuaca mendung di luar sana. Sedar tak sedar dah habis semangkuk maggi kari ketam masuk ke perut. 

Bagi adik-adik bujang yang nak cuba resipi yang ringkas ini, jom kita lihat cara membuatnya.   
MAGGI KARI KETAM 
Bahan Tumis - A
2 ulas bawang merah - di cincang 
1 ulas bawang putih - di cincang 
1 sudu besar cili kisar 

Bahan B
1 bungkus maggi kari 
1 ekor ketam - saiz sederhana
Sedikit lobak merah di potong seperti mancis dan hirisan kobis
2 ketul taufu pok  - di potong dua
1/2 cawan taugeh 
Air secukupnya 
garam secukup rasa - jika perlu
minyak untuk menumis 

Cara membuatnya:

1. Tumis bawang putih, bawang merah dan cili kisar sehingga garing dan naik bau.

2. Masukkan air secukupnya untuk kuah dan ketam. Renihkan hingga mendidih dan balik-balikkan ketam agar masak sekata.

3. Masukkan pula tofu pok, lobak merah, kobis dan mee maggi sambil di kacau.

4. Seterusnya masukkan serbuk maggi kari dan renihkan sehingga mee maggi lembut dan masak. Masukkan juga taugeh dan, jika kurang masin, perasakan dengan garam secukup rasa.
 
5. Hidangkan ketika masih panas dengan menabur hirisan daun bawang dan bawang goreng.