Assalamualaikum,

Petang-petang dihujung minggu begini memang seronok bersantai dengan keluarga dirumah. Bila dah berkumpul ramai-ramai begini selalunya yang diminta adalah pizza panas-panas hasil tangan mama lah. Kalau makan diluar selalunya tak puas sebab sedikit benar jadi buat sendiri juga yang puas hati. Nak nak pula letak keju banyak-banyak...fuh sekejap je habis pizza seloyang besar.

Kalau ikut resipi ni dapatlah pizza jumbo saiz 10in x 13in. Kalau tak nak buat loyang besar boleh je jadikan mini pizza atau bahagikan kepada dua loyang saiz 8inci.

Jom lihat resipinya :) 
PIZZA JUMBO
Bahan-bahan
200ml air 
14gm gula 
3gm yis
300gm tepung protein tinggi
6gm susu tepung 
16gm shortening 
3gm garam 

Topping 
Cheese mozarella
sos spaghetti 
sosej secukupnya 
Cendawan butang - dihiris
Lada benggala

Cara membuatnya :

1. Campur air suam dan gula dengan yis. Tunggu kira-kira 15minit sehingga berbuih.

2. Masukkan tepung protein tinggi, susu tepung dan garam kedalam bekas adunan. Kemudian tuang campuran air dan yis yang telah berbuih sambil diuli.

3. Masukkan pula shortening dan uli lagi. Setelah adunan licin dan elastik, masukkan kedalam mangkuk besar dan tutup dengan plastik kira-kira 60minit atau sehingga mengembang.

4. Nipiskan adunan, masukkan kedalam loyang. Letak topping dan tabur parutan keju. 

5. Biarkan adunan mengembang lagi selama 15minit sebelum masukkan kedalam oven.

6. Bakar selama kira-kira 15 minit pada suhu 180'c. Keluarkan dari oven, sapu mentega atau minyak zaitun di tepi pizza dan bolehlah dihidangkan.


Assalamualaikum, 

Salam jumaat penghulu segala hari. Eggless chocolate kek lagi...tetapi resipi ini lain sedikit dari resipi Super moist eggless chocolate cake yang saya buat sebelum ini. Saya memang suka buat kek dan simpan didalam peti sejuk. Anak-anak akan ulang makan sedikit demi sedikit hinggalah habis. Sekurang-kurangnya ada juga bekalan untuk minum petang untuk mereka ketika saya masih dipejabat.

Ramai yang bertanya, saya tidak buat untuk berniaga ke kerana sekarang sedang rancak trend bisnes online produk makanan seperti kek dan pastri. Memang teringin nak buat tetapi buat masa sekarang belum ada ruang kerana terikat dengan kerja dan sibuk uruskan anak-anak. Takut nanti tak terkejar dengan komitmen yang ada.  Jadi, buat masa sekarang saya lebih selesa menulis dan berkongsi resipi di blog ini. Pada yang ingin mencuba dan berniaga dengan perkongsian resipi saya sebelum ini saya halalkan dan doakan semoga berjaya. InshaAllah suatu hari nanti bila semua ok dan ada kelapangan mungkin saya juga akan mulakan sesuatu yang mendatangkan penghasilan dari hobi ini. 

Dah panjang lebar pula bercerita petang ni, kan. Baiklah...jom ler kita langsung ke perkongsian hari iaitu Eggless Chocolate cake.

EGGLESS CHOCOLATE CAKE
Saiz loyang : 7inci / kalau guna loyang besar sila buat 2 adunan

Bahan-bahan
1 1/2 cawan tepung gandum
3 sudu besar serbuk koko (letak serbuk koko berkualiti, rasanya lebih sedap)
1 cawan gula kastor
1/4 cawan minyak jagung
1 sudu besar baking soda 
1 sudu besar jus lemon atau cuka makan
1 cawan susu cair
secubit garam
1 sudu teh esen vanilla

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven pada suhu 180'c. Ayak tepung gandum, serbuk koko dan bakingsoda. Ketepikan seketika.
2. Di dalam bekas lain, campur susu cair, gula kastor dan garam dan kacau dengan whisk. Pastikan gula larut lalu masukkan pula jus lemon atau cuka, minyak dan esen vanilla. Kacau hingga sebati.

3. Seterusnya tuang campuran tersebut kedalam bahan kering (tepung yang diayak tadi) dan kacau lagi hingga sebati.

4. Tuang adunan kedalam loyang yang telah disapu mentega dan tabur dengan sedikit tepung terlebih dahulu dan bakar selama 40 minit atau sehingga masak (bergantung kepada oven masing-masing)

5. Selepas masak, biarkan kek sejuk terlebih dahulu bolehlah hias dengan ganache.

RESIPI GANACHE
Bahan-Bahan
100 gm coklat masakan 
3 sudu besar air panas
1 sudu besar susu pekat manis

Cara membuatnya :

Double boiler semua bahan diatas hingga sebati dan cair, bolehlah dituang diatas kek yang telah sejuk. Kalau suka bolehlah parut keju diatas topping untuk rasa yang lebih mewah

Assalamualaikum, 

Perkongsian resipi yang sangat ringkas dan semudah ABC hari ini adalah Basic cupcakes. Serius mudah nak buat cup cakes ni kerana menggunakan kaedah all in one. Hanya masukkan semua bahan kedalam mangkuk adunan, putar selama 2 hingga 5 minit dan sudukan adunan kedalam cawan kertas. Jangan terlebih putar kerana cupcakes tidak naik dengan cantik ketika dibakar. Kalau saya, cukup 2 minit sahaja putar semua adunan.

Cubalah buat sendiri dirumah dan boleh pelbagaikan perasa mengikut selera dan kreativiti anda.

Jom kita lihat resipi basic cupcakes yang mudah dan step by step yang saya sediakan dibawah ni :) 
BASIC CUPCAKES 
Bahan-bahan
150gm mentega
150gm gula kastor
175gm tepung gandum
1sudu teh baking powder
3 biji telur - Gred A
1sudu teh esen vanilla

Cara membuatnya :

1. Campur semua bahan kedalam mangkuk besar.

2. Putar selama 2 atau 5 minit sahaja.

3. Tuang adunan kedalam cawan kertas. Saya buat satu adunan ini mendapat 16biji cupcakes tetapi ia juga bergantung kepada saiz cawan kertas yang digunakan.

4. Bakar selama 20minit pada suhu 180'c atau sehingga cupcakes masak.

5. Setelah cupcakes sejuk bolehlah dihiasi dengan butter cream.

RESIPI BUTTERCREAM
70gm mentega
140gm gula icing
1 sudu besar susu segar
beberapa titis pewarna kegemaran

Cara membuatnya :

1. Pukul mentega dan gula didalam mangkuk besar hingga sebati.

2. Jika adunan pekat masukkan susu cair sedikit demi sedikit hingga mendapat tekstur yang lembut dan berkrim.

3. Warnakan dengan pewarna kegemaran dan sudukan kedalam piping bag. Bolehlah digunakan untuk menghias cupcakes.

Assalamualaikum, 


Sebenarnya kek buttermilk ni saya buat tanpa dirancang. Cadangan asalnya nak buat kek yogurt kerana dah lama juga saya beli yogurt dan tersimpan didalam peti sejuk.  Jadi ceritanya prepare lah semua bahan-bahan dah siap pukul telur semua dan sampai masa nak masukkan yogurt dalam adunan, buka-buka bekas yogurt...alamak, kenapa cair dan berketul-ketul  lain macam je ni? Rupanya yogurt tu dah expired pun, patutlah...

Jadi terfikir-fikirlah apa nak buat dengan adunan yang dah terlajak buat separuh jalan ni? Dah susu segar je yang ada dalam peti sejuk pun. Saya gunakanlah susu segar tu + 1 sudu makan cuka, jadikan 1 cawan. Biarkan selama 10minit, maka terhasil lah buttermilk untuk digantikan dengan yogurt. Dan lepas siap kek dibakar...wallah, gebunya! Kejadian kek ni memang tidak mengecewakan dan sedap bagi selera saya. 

Moral dalam cerita ni, kena check semua bahan-bahan terlebih dahulu sebelum start buat kek atau memasak. Kalau tak memang kelam kabut dibuatnya bila sedar-sedar tak cukup bahan. Nak nak pula dah malam dan kedai pun dah tutup. Nak diapakan adunan yang separuh jalan tu? :D 

Ok..nak try buat tak kek buttermilk macam saya? Jom tengok resipi dibawah ni..kalau nak tukar dengan yogurt pun boleh.

KEK BUTTERMILK
Saiz loyang : 8 inci (saya guna 7inci)

Bahan-bahan
1 cawan buttermilk 
3 biji telur 
1/2 cawan minyak (saya guna minyak jagung)
1 sudu kecil esen vanilla
3/4 cawan gula kastor
1 1/2 cawan tepung gandum 
1 sudu besar baking powder

Cara membuatnya :

1. Sediakan loyang dengan menyapu mentega dan tabur tepung. Ketepikan seketika. 

2. Sediakan buttermilk : Iaitu campurkan susu segar dengan 1 sudu besar cuka ataupun jus lemon (jadikan 1 cawan), biarkan selama 10minit.

3. Sementara itu ayak tepung bersama baking powder dan ketepikan seketika.

4. Pukul telur selama 30 saat hingga kembang dan masukkan gula kastor. Pukul lagi hingga gula hancur dan masukkan minyak jagung serta esen vanilla.



5. Seterusnya masukkan buttermilk dan pukul lagi selama 1 minit sehingga adunan bercampur. Akhir sekali masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil di kaup balik menggunakan spatula.


6. Tuang kedalam loyang dan bakar pada suhu 160'c selama 1 jam (bergantung pada oven masing-masing). Setelah kek masak dan sejuk, bolehlah diayak gula icing keatasnya dan hidangkan.

Assalamualaikum, 

Sepanjang cuti persekolahan minggu lepas berkali-kali juga saya buatkan pizza atas permintaan anak-anak. Antaranya ialah Pizza udang, pizza mini dan bun pizza. Untuk hari ini saya ingin kongsikan resipi bun pizza yang paling laris sekali. Sekejap sahaja dah habis. Lagipun saya hanya buat satu adunan seperti resipi dibawah ini, jadi dapatlah 8 biji bun. Cukuplah untuk minum petang.

Untuk intinya, bolehlah dipelbagaikan bahan-bahan mengikut selera masing-masing. Saya letak banyak inti kedalam setiap bun, jadi memang puas hati bila makan. Tapi..bagi yang belum pernah mencuba dan takut inti terkeluar dari roti, bolehlah kurangkan sedikit inti tu :D  

Baiklah bagi yang ingin mencubanya jom kita lihat resipi dibawah ni :) 

BUN PIZZA
Bahan-bahan
1 1/2 cawan tepung gandum 
1/2 cawan susu segar 
2 sudu besar minyak masak/zaitun
1 sudu teh garam
1 1/2 sudu teh gula
1 sudu besar yis

Bahan Inti
1 biji Lada benggala - dicincang 
1 labu bawang besar - dicincang
cendawan secukupnya (pilihan, jika suka)
1/4 cawan keju mozzarella diparut 
1/4 cawan sos tomato/spaghetti
secubit garam
4 batang sosej - dicincang
minyak untuk menumis

Cara membuatnya :

1. Panaskan susu hingga suam-suam kuku. Larutkan gula dan yis kedalam susu tersebut dan biarkan selama 10minit hingga yis kembang. 

2. Masukkan pula tepung kedalam mangkuk besar dan buat lubang ditengahnya. Masukkan minyak masak, garam dan yis yang telah kembang tadi dan uli perlahan-lahan. Jika adunan agak melekat, taburkan sedikit tepung ketika menguli dan jika adunan agak kering, percik sedikit air. 


3. Rehatkan adunan selama 1 jam didalam mangkuk yang ditutup dengan plastik. Selepas sejam, adunan seharusnya telah naik dan kembang. Tumbuk adunan untuk keluarkan angin dan uli lagi dan bahagikan kepada 8 bahagian.
4. Sementara itu sediakan inti. Tumis lada benggala, sosej dan bawang besar hingga wangi. Masukkan sos tomato/spaghetti, keju dan sedikit garam. Kacau hingga sebati dan matikan api dapur.

5. Leperkan adunan dan masukkan inti kedalamnya.
6. Atur bun kedalam loyang dan biarkan naik seketika (dalam 10minit).
7. Panaskan oven pada suhu 190'c dan sapu sedikit susu segar di permukaan roti sebelum dibakar selama lebih kurang 20minit atau sehingga bahagian atas bun bertukar keperangan. Setelah masak, keluarkan dari oven dan sapu dengan mentega sebelum sejukkan roti diatas redai.

Assalamualaikum, 

Lama rasanya tidak update blog...dari sebelum Hari raya Aidil Adha hinggalah habis cuti sekolah pertengahan penggal kedua saya jarang-jarang muncul di facebook ataupun media sosial lainnya. Selain dari kesibukan ditempat kerja, seronok sebenarnya melayan anak-anak yang pulang bercuti dari asrama. 

Macam-macamlah request nak makan itu dan ini. Dalam kesibukan tu, ada yang sempat shoot gambar makanan yang dihidangkan dan ada juga yang tidak sempat. InshaAllah nanti saya update satu persatu selepas ini jika ada kelapangan. Tetapi gambarnya kurang kualiti sedikitlah kerana ambil gambar pun ala kadar dan resipi yang dimasak pun biasa-biasa sahaja. Maklumlah masak ikut selera anak-anak.

Untuk hari ni saya kongsikan resipi brownies coklat yang saya buat sebagai bekal untuk dibawa pulang oleh anak sulung keasrama. Saya buat dua adunan dari resipi dibawah ini. Tekstur brownies ini garing diluar dan lembut didalam. Oleh kerana nak bawa jauh, saya tak letak sebarang hiasan pada brownies ni tetapi rasanya tetap lazat.  

BROWNIES COKLAT
Saiz loyang : Saya guna 7in x 7in 

Bahan-bahan
125 gm gula 
2 biji telur
chocholate chips untuk taburan (jika suka)

Campur dan ayak bahan kering :
100gm tepung gandum 
1 sudu makan tepung jagung
30 gm serbuk koko

Cairkan 
200 gm coklat masakan (Dark cooking chocolate)
150 mentega/margerin

Cara  membuatnya :

1. Cairkan mentega/margerin dengan coklat masakan dengan kaedah double boiler ataupun dengan microwave. Ketepikan seketika.
2. Pukul telur dengan gula pasir sampai gula larut saja (Tidak perlu pukul hingga kembang).
3. Masukkan pula bahan kering yang telah diayak dan kacau hingga sebati. Seterusnya masukkan coklat yang telah dicairkan tadi dan kacau lagi.


4.Sediakan loyang, lapik kertas minyak dan lebihkan dibahagian tepi agar mudah keluarkan brownies nanti.  Tuang adunan dan bakar pada suhu 160'c selama lebih kurang 20 - 25minit. 

6. Setelah masak keluarkan brownies dari loyang (jangan diterbalikkan, tapi angkat kertas minyak di tepi loyang)

Assalamualaikum, 

Di Langkawi sekarang ni musim hujan dan cenderung lebat beserta angin kuat bertiup pada petang hari. Hujan-hujan begini lapar je rasa terutama sekali anak-anak kat rumah.Cicah biskut kering dengan air milo pun dah heaven sangat dah rasa. Kalau ibu-ibu yang rajin tu, boleh buatkan muffin sebagai stok waktu petang sementara anak menunggu kita pulang dari kerja dan menyediakan makan malam. Lagipun muffin ni tahan berhari-hari dan tak rosak. 

Sedap gandingkan dengan minum petang dan mengenyangkan. Ada berbagai jenis resipi muffin didalam blog ini dan hari ini saya kongsikan resipi muffin labu kuning. Saya hanya guna 200gm labu kuning lebihan dari buat sayur labu masak lemak untuk makan tengahari ahad lepas. Daripada biarkan kecut dalam petisejuk saya gunakan untuk hasilkan muffin untuk minum petang anak-anak.

Jom kita lihat resipinya :)
  
Muffin Labu Kuning 
Bahan A
200gm isi labu kuning 
1 biji telur - Gred A
110gm gula kastor
40gm minyak jagung
45gr mentega - dicairkan
1sudu teh esen vanilla

Bahan B 
190gm Tepung gandum 
1sudu teh baking powder
1/2sudu teh baking soda
Kismis + almond nibs secukup rasa
secubit garam
1/2sudu teh serbuk kayu manis jika suka - boleh skip

Cara membuatnya : 

1. Kupas dan rebus labu kuning hingga lembut. Toskan, lenyek hingga halus dan ketepikan. 

2) Bahan A:  kacau dengan whisk semua bahan agar semuanya bercampur rata. Ketepikan seketika.

3) Bahan B : Ayak semua bahan hingga rata dan masukkan kismis.

4) Buat lubang di tengah bahan B,masukkan bahan A dan kacau dengan whisk hingga bercampur bahan basah dan kering. Jangan terlebih kacau kerana muffin akan menjadi keras.

5) Tuang ke dalam cawan muffin dan tabur lebihan kismis dan almond nibs secukupnya. Bakar pada suhu 180'c kira-kira 30 minit atau sehinga masak.


Assalamualaikum, 

Anak-anak saya sangat suka makan Crab stick. Selalunya saya campurkan kedalam sayuran ataupun masak bersama telur dadar. Walaupun masak dengan apa cara sekalipun, memang sedap Crab stick ini.

Hari ini saya ingin berkongsi resipi yang mudah dan sedap sebagai pembuka selera. Boleh diratah begitu sahaja bagi yang sedang diet ataupun makan dengan nasi putih panas-panas pun sedap. Bukan saya sahaja yang menggemarinya...anak-anak pun suka. Kerabu Crab Stick ini lengkap dengan kombinasi rasa lemak, manis, masin dan pedas. Cubalah buat...pasti tertawan dengan rasanya.

Resipi ada di bawah ini :)  
KERABU CRAB STICK 
Bahan-bahan
16 batang crabstick (pek mini) 
2 sudu besar mayonis
2 sudu besar jus limau kasturi
1 ½ sudu besar sos ikan 
1 sudu besar gula
6 tangkai cili padi 
2 tangkai daun ketumbar 
2 tangkai daun bawang 
4 ulas bawang merah 
2 batang serai - ambil bahagian putih dan mayang halus
8 biji tomato Cherry - dibelah dua
kacang goreng secukupnya untuk hiasan

Cara membuatnya :

1. Celur Crabstick kedalam air mendidih, dan potong nipis. Jika nak carik-carikkan crabstick sebelum celur pun boleh. Kalau saya celur dahulu, kupas crabstick dan gunting.  

2. Hiris Cili padi, daun ketumbar, daun bawang dan bawang merah. Ketepikan seketika.

3. Masukkan gula, jus limau kasturi, sos ikan dan mayonis kedalam mangkuk berisi Crab stik dan gaul sebati. Masukkan juga hirisan cilipadi, daun ketumbar, daun bawang dan bawang merah dan tomato.

4. Setelah digaul sebati dan secukup rasa, bolehlah dipindahkan kedalam pinggan dan hidangkan. Tabur dengan kacang goreng.


Assalamualaikum,

Selamat berhujung minggu untuk semua yang sudi masuk ke blog ini. Puding Roti Durian ini sesuai dihidangkan untuk minum petang dan bagi saya rasanya amat lazat sekali kerana selain daripada ditabur dengan isi durian pada setiap lapisan roti, saya juga hidangkan puding ini dengan sos kastad durian.

Memang tak boleh berhenti makan..hihihi, sedap sangat tau, tiap gigitan puding ni. Bagi pencinta durian saya rekomen, cubalah resipi yang simple ini, lagipun kita masih dimusim durian sekarang. Dalam resipi ini hanya 6 ulas durian sahaja saya gunakan. Jom lihat resipi dibawah ni :) 

PUDING ROTI DURIAN
Bahan-bahan
4 - 5 ulas isi durian - dicarik kasar
8-10 keping roti putih 
2 cawan susu segar
½ cawan gula kastor
4 biji telur Gred A (ambil 2 kuning telur campur dengan dua biji telur lagi) 
1 sudu teh esen vanilla
Ceri merah + hijau secukupnya

Cara membuatnya :

1. Panaskan oven pada suhu 180'c.

2. Masukkan susu cair, gula kastor dan esen vanilla kedalam periuk. Panaskan dengan api sedang hingga mendidih dan matikan api dapur. Biarkan suam seketika.

3. Asingkan dua biji kuning dan putih telur. Kita hanya gunakan 2 kuning telur dan dua biji telur. Pukul hingga berbuih menggunakan whisk.


4. Sapu loyang dengan mentega. Atur roti yang dipotong tadi dan tabur ceri dan isi durian yang dicarik kasar.

5. Tuang telur yang telah dipukul kedalam susu suam dan kacau dengan cepat agar sebati dan telur tidak berketul. Seterusnya tuang keatas roti yang telah diatur didalam loyang.

6. Atur lagi roti dan lapis dengan ceri serta isi durian. Bakar didalam oven selama 45minit atau sehingga puding masak. Setelah sejuk bolehlah dipotong dan hidangkan dengan sos kastad durian.
SOS KASTAD DURIAN
1 tin susu cair
1 ulas isi durian - dihaluskan 
2 sudu besar tepung kastad
2 sudu besar gula pasir

Cara membuat sos :

Tuang susu cair kedalam periuk, panaskan dengan api yang sederhana sambil dikacau. Masukkan pula isi durian, gula pasir dan tepung kastad. Kacau tanpa berhenti sehingga sos menjadi pekat dan matikan api dapur.
Assalamualaikum, 

Kek mentega coklat keju ni entry tertunggak terakhir yang tersimpan dalam laptop saya. Seminggu ni memang kalau ada yang perasan, saya asyik publish entry kek sahaja kan dalam blog ini. Jadi hari ini berakhir sudah entry tertunggak dan lepas ni kenalah fikir nak masak apa pula untuk update blog. Harap-harap tetap bersemangat lepas ni dan jangan sampai blog ini bersawang lagi hendaknya. 

Kalau kita lihat sepintas lalu kek mentega coklat keju ni sama seperti kek lapis cheese yang ramai teman-teman blogger dah buat sebelum ini. Memang kalau dilihat bahan-bahan yang digunakan untuk membuat adunan cheese pun sama. Yang lainnya hanya bahan-bahan untuk kek mentega coklat dan kaedah yang saya gunakan adalah bakar bukan kukus. Kalau kukus mesti cantik lapisan cheese dan taklah berombak-ombak macam gambar kat bawah tu. 

Kek ini saya buat untuk dibawa 'piknik' di pantai. Waktu itu anak saya yang sulung baru pulang dari asrama dan dia memang penggemar cheese. Jadi malam sebelum pergi bersantai dipantai tu saya ajarlah dia buat kek ni. Nak mudah lapis-lapiskan semua dalam loyang dan bakar sahajalah, senang kerja dan cepat. Bagi yang nak try, bolehlah lihat resipi dibawah ni.

KEK MENTEGA COKLAT KEJU
Saiz loyang : 8 inci

Bahan A
250gm mentega
100gm gula pasir
4 biji telur - Gred A
1sudu teh esen vanilla
170gm tepung gandum
30gm serbuk koko
5 sudu besar susu cair

Bahan B 
250gm cream cheese 
60gm gula halus
1 biji telur - gred A
1sudu makan susu cair
1 sudu makan tepung jagung

Cara Membuatnya:

1. Kacau bahan B dengan menggunakan whisk sampai rata dan mengembang.
2. Ayak tepung gandum dan serbuk koko. Ketepikan seketika.

3. Pukul mentega dan gula hingga pucat dan mengembang lalu masukkan telur satu per satu. Masukkan esen vanilla dan susu cair dan pukul lagi hingga rata.
4. Masukkan tepung yang sudah diayak sedikit demi sedikit dan kacau rata dengan spatula. 

5. Tuang setengah bahagian adunan coklat kedalam loyang yg sudah disapu mentega dan alas kertas.
6.  Tuang pula adunan creamcheese dan baki adunan coklat. Bakar pada suhu 160'c selama 50 hingga -60minit.

 
7. Keluarkan dari loyang dan sejukkan sebelum dipotong.