SAMBAL TELUR REBUS SIMPLE

Assalamualaikum,

Baru masuk 10 Ramadhan tapi kadang-kadang sebagai ibu kita bagaikan dah buntu nak masak lauk apa untuk bersahur. Selera anak-anak ni kadangkala susah nak diramal. Maklumlah bila bangun bersahur tu mata pun susah nak celik apalagi nak mengunyah hidangan yang disediakan. Lucu juga melayan kerenah anak-anak ni kan. Ini masih dalam suasana cuti sekolah, bila sekolah dah dibuka nanti agaknya lagilah kelam-kabut nak siap-siap ke sekolah pula selepas solat subuh. 

Untuk hidangan bersahur selalunya saya masak yang simple-simple saja,contohnya macam malam ini saya sediakan sambal telur rebus simple. Anak-anak suka makan dengan kicap manis dan gaulkan dengan nasi. Harap-harap dinihari nanti berseleralah anak-anak makan. Kalau asyik makan bijirin coco crunch dengan susu pun tak tahan perut sampai waktu berbuka.

Jom tengok resipi sambal telur rebus simple. Memang mudah dan ramai yang tau masak hidangan ni,kan.

SAMBAL TELUR REBUS SIMPLE
Bahan A
4 biji telur - direbus dan kupas kulitnya
Minyak untuk menggoreng 
garam dan gula secukup rasa
1/2 cawan air asam jawa
1 labu bawang besar - dihiris bulat

Bahan Kisar 
6 ulas bawang merah 
1 ulas bawang putih 
1cm belacan 
8 tangkai cilikering - di rebus dan toskan
2 tangkai cili merah

Cara membuatnya:

1.Rebus telur hingga masak sempurna dan kupas kulitnya. Goreng hingga berubah kepada warna agak keperangan, angkat dan toskan.

2. Panaskan minyak dalam kuali dengan api yang sederhana panas dan masukkan bahan kisar. Tumiskan sehingga pecah minyak kemudian kecilkan api.  Renihkan perlahan-lahan selama 10 minit. 

3.Seterusnya masukkan air asam jawa dan bawang besar.Teruskan memasak sehingga kuah sambal menjadi pekat. Perasakan dengan garam dan gula.

4. Masukkan telur rebus yang telah di goreng tadi kedalam sambal tumis dan gaul hingga sambal bersalut dengan telur.

5. Hidangkan dengan nasi panas dan lauk-pauk yang lain.