KARI HIJAU AYAM

Assalamualaikum,

Antara menu kegemaran saya adalah Kari Hijau Ayam ala Thai. Kalau buat untuk berbuka saya akan simpan untuk bersahur. Semakin di panaskan makin sedap rasanya kerana menyatu dengan rempah.

Dalam entry ini juga saya masukkan resipi pes kari hijau yang memang mudah disediakan. Kalau buat banyak pes ini boleh disimpan lama didalam peti sejuk dengan syarat bekas simpanan hendaklah benar-benar kering. Kalau nak tumis dahulu sebelum simpan pun boleh juga. Selain dari di rampai menjadi kari hijau bersama ayam, saya juga masak bersama udang dan ketam. 

Jom tengok resipi dibawah ni...maaflah ye bulan ramadhan ni tak sempat saya nak shoot step by step seperti entry hari biasa.

KARI HIJAU AYAM
500gm ayam - di potong kecil 
1 cawan santan kelapa
2 sudu besar pes kari hijau 
2 sudu besar sos ikan 
4 helai daun limau purut - dibuang uratnya
1/2 cawan terung pipit
1 sudu besar gula
3 tangkai daun kemangi 
1 cawan air

Cara memasak :

1. Panaskan minyak, tuang separuh dari santan dan pes kari hijau kedalam periuk dan masak sambil dikacau selalu menggunakan api sederhana.

2. Masukkan ayam dan kacau perlahan agar bersalut dengan rempah kari hijau yang ditumis tadi. Bila ayam separuh masak, masukkan pula baki santan dan 1 cawan air.

3. Renihkan selama 10minit sehingga ayam masak sepenuhnya dan masukkan terung pipit. Masukkan juga sos ikan dan gula pasir. Kari hijau sepatutnya mempunyai kombinasi rasa pedas,masin dan manis. 


4. Akhir sekali masukkan hirisan cili merah(saya tak letak sebab dah habis stok) dan daun limaupurut. Biarkan mendidih seketika dan masukkan pula daun kemangi. Matikan api dapur dan bolehlah dihidangkan.


PES KARI HIJAU
100gm cili besar hijau
16 tangkai cili padi hijau
50gm daun ketumbar
3 batang serai - dipotong pendek
1/2 inci lengkuas - dihiris nipis
1 biji limau purut  - diambil kulitnya sahaja
2 helai daun limau purut - dibuang tulang tengahnya 
10 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
2 sudu teh belacan
2 sudu teh garam

Bahan B - Kisar Halus
1 1/2 sudu teh biji jintan putih
1 sudu besar ketumbar
1 sudu besar lada hitam

Cara membuatnya :

1. Kisar kering bahan B hingga hancur dan halus. Ketepikan seketika.

2. Kisar bahan keras iaitu serai dan lengkuas terlebih dahulu hingga hancur. Masukkan pula daun ketumbar, cilipadi hijau, cili hijau dan serbuk rempah (bahan B) yang telah dikisar tadi bersama garam dan kisar lagi hingga hancur.

3. Seterusnya masukkan daun limau purut, kulit buah limau purut, bawang merah, bawang putih dan juga belacan kedalam blender dan kisar hingga halus.

4. Maka siaplah pes kari hijau dan boleh digunakan untuk menumis.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)