MEE KUAH KETAM

Assalamualaikum, 

Sehari dua ini memang mudah nak dapatkan bekalan ketam segar di pasar basah Langkawi. Alhamdulillah, didalam cuaca hujan tak menentu pun bekalan makanan laut masih boleh didapati. Cadangan asalnya saya nak masak mee kuah udang, tetapi tiada pula udang segar jadi gantikanlah dengan ketam.

Ketamnya pun boleh tahan juga dan banyak isi. Memang sedap meratah sambil hirup kuah mee yang pedas-pedas manis bercampur air rebusan ketam dan udang kering kisar.

Nak membuatnya pun taklah sesukar mana dan sekejap sahaja dah siap. Jom lihat resipi yang saya sediakan. 

MEE KUAH KETAM
Bahan-bahan
½  kilogram ketam 
3 sudu besar sos cili 
3 sudu besar sos tomato 
1 sudu besar sos tiram 
2 sudu besar kicap cair 
1 kiub ikan bilis 
½  sudu teh gula

Bahan Kisar 
10 tangkai cili kering 
2 labu bawang besar 
2 ulas bawang putih 
3 sudu makan udang kering 

Bahan celur
3 batang sawi 
secekak taugeh 
1 bungkus mee kuning 

Bahan Hiasan
Daun sup, daun bawang, tauhu goreng, bawang goreng, limau kasturi & cili merah

Cara membuatnya : 

1. Cuci bersih ketam dan masukkan kedalam periuk. Rebus hingga mendidih dan toskan. Tapis dan simpan air rebusan untuk dimasukkan kedalam kuah.
2. Panaskan minyak masak dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak.
3. Setelah itu masukkan air rebusan ketam yang telah disimpan tadi.
4. Masukkan pula sos cili, tomato, sos tiram, kicap cair, gula dan kiub ikan bilis. suaikan rasa kuah. Jika kurang masin bolehlah ditambah sedikit garam. Renih kuah hingga mendidih dan benar-benar masak serta secukup rasa.
5. Masukkan mee kuning(siap celur) kedalam mangkuk, hidangkan bersama sawi & taugeh celur, bawang goreng, daun bawang, hirisan tahu goreng serta daun sup. Masukkan juga kuah mee bersama ketam dan perahkan limau kasturi.