KETUPAT PULUT JAGUNG MANIS

Assalamualaikum,

Masih didalam mood raya, teringin nak makan ketupat dan rendang setelah seminggu Hari Raya berlalu. Semalam saya buat dan bawa untuk teman-teman di pejabat yang baru masuk bertugas sekembalinya dari bercuti dikampung. Waktu ini juga lah laris segala biskut-biskut yang kurang mendapat sambutan pada hari raya yang lalu kerana masing-masing sibuk menjamu selera dengan nasi tomato, briyani, lemang, lontong dan segala jenis lagi hidangan yang popular pada hari lebaran.

Susah ke nak buat Ketupat pulut ni? Ada yang tak berminat untuk buat dan lebih suka beli diluar kerana tak pandai nak buat kelongsong dari daun palas. Sebenarnya ia tidaklah sesulit mana asalkan mau belajar. Lagipun sekarang dah mudah. Ada video di youtube dan di FB pun ada ramai yang buat tutorial. Tak ada alasan dah kalau kata tak pandai.

Sebenarnya saya dah pernah kongsikan resepi ketupat jagung didalam blog sebelum ini tapi kali ini saya ingin kongsikan cara masak ketupat dalam kuali seperti yang dikongsikan oleh rakan FB Nanny Emma Emma. Tapi ketupat saya ni dimasak dalam periuk macam biasa, cuma nak kongsikan cara kak Emma dan moga bermanafaat pada sesiapa yang ingin mencuba.

KETUPAT PALAS JAGUNG MANIS
Bahan A
5 cawan santan pekat
2 helai daun pandan
1 1/2 sudu besar garam
2 sudu besar gula
2 sudu besar minyak masak
*Didih kan sekejap bahan-bahan ini untuk mengelakkan ketupat cepat basi

Bahan B
1 kilogram beras pulut - basuh dan toskan
1 tin jagung - whole kernel (sejatkan airnya)

Bahan C
Daun palas secukupnya - dibuat kelongsong ketupat

Cara membuatnya :

1. Masukkan beras pulut kedalam bahan A yang didihkan tadi, kacau hingga kering menggunakan api sederhana.Masukkan pula isi jagung sambil dikacau.

2. Setelah kering, kecilkan api dapur dan tutup kuali hingga naik wap. Untuk mengelakkan dari pulut berkerak, buat lubang ditengah kuali.

3. Bila pulut dah agak separuh masak, matikan api dapur.

4. Balut dengan daun palas dan bolehlah direbus seperti biasa.

5. Setelah itu toskan dan bolehlah dihidangkan dengan rendang atau kari ayam atau daging.