KEK PISANG BERKACANG

Assalamualaikum,

Sekejap sahaja masa berlalu, sudah 13 Syawal hari ini dan ada yang masih mengadakan majlis rumah terbuka serta tercari-cari menu untuk disediakan. Selain dari hidangan utama, menu dessert juga tak kurang pentingnya. 

Hari ini saya nak kongsikan resipi kek yang menjadi kegemaran anak-anak saya kerana selain daripada krim perasa pisang sebagai topping kek ini, kombinasi antara pisang, coklat chips dan kacang walnut didalam kek juga sangat lazat. Teksturnya seperti kek lobak merah tetapi secara peribadi saya lebih sukakan kek pisang ini kerana rasa manis semulajadi dari pisang memberikan kelazatan yang lebih memikat dibandingkan dengan kek lobak merah. Atau..mungkinkah kerana saya peminat pisang? Hihihi...kalau dilihat dalam blog ini memang banyak resipi berasaskan pisang.

Cara membuat kek ini pula sangatlah mudah. Kalau malas keluarkan 'mixer' cukup gunakan hand whisk sahaja untuk mengacau adunan. Nak tahu cara membuatnya? Jom kita lihat ;) 

KEK PISANG BERKACANG 
Loyang : 8 x 8inci (saya guna loyang 7inci)

Bahan-bahan
7 biji pisang emas -  saiz kecil 
2 cawan tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat 
1/2 cawan mentega 
1 cawan gula kastor
2 telur - Gred A
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu besar susu cair/segar 
1/2 cawan kacang walnut - di cincang 
1/2 cawan coklat chips 

Cara membuatnya:

1. Didalam mangkuk adunan, pukul mentega bersama gula kastor. 

2. Setelah sebati dan gula larut, masukkan pula pisang yang telah dilecek sambil di kacau lagi. Masukkan pula telur sebiji demi sebiji dan kacau rata.



3.Masukkan juga esen vanilla dengan susu cair/segar.



4. Seterusnya masukkan walnut cincang dan coklat chips. Tuang pula tepung sedikit demi sedikit dan kaup balik dengan spatula.



5. Setelah adunan bercampur, tuang kedalam loyang dan bakar pada suhu 160'c selama 1 jam 10minit. (Guna api atas dan bawah). Tiap oven berbeza, suaikan dengan oven anda.



RESIPI KRIM
Bahan-bahan
125gram mentega 
125 gram gula ising
1 sudu teh esen pisang 

Cara membuatnya 

1. Ayak dulu gula ising.

2. Pukul mentega, gula ising dalam mangkuk - dengan kelajuan yang tinggi hingga ringan dan gebu.

3. Masukkan esen pisang, putar lagi dengan kelajuan sederhana selama beberapa minit dan bolehlah digunakan.