Assalamualaikum,
Selamat berhari minggu dan hari ini pasti ada yang merancang ingin membawa anak-anak bersantai, kebetulan cuti persekolahan sudah bermula sehingga 21hb September 2014 nanti. Tentu seronok dapat menghabiskan masa dengan anak-anak melakukan aktiviti bersama terutama sekali bagi anak yang pulang bercuti dan tinggal di asrama sebelum ini. Ada sahaja 'special request' masakan kegemaran yang di minta dan sebagai ibu pastilah kita akan cuba sedaya upaya untuk penuhi. Lagipun menu yang di minta selalunya yang mudah-mudah sahaja.
Baiklah, hari ini saya ingin berkongsi satu lagi resepi mudah iaitu nasi goreng nanas dan walaupun ringkas jika makan di restoran boleh tahan juga harganya. Kebetulan cuti hari ini, bolehlah sediakan untuk anak-anak di rumah.
NASI GORENG NANAS
Bahan-bahan
1/2 cawan udang segar
2 sudu besar minyak masak
2 ulas bawang putih - di cincang
1 labu bawang besar - di mayang
2 butir telur - di pukul ringan
4 cawan nasi sejuk
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos ikan/sotong - Thai
1 cawan isi nanas di cincang
Cili padi secukupnya - potong dan masukkan kedalam mangkuk bersama kicap cair.
Cara Memasak:
1. Kopek kulit udang tetapi tinggal bahagian ekornya.
2. Panaskan kuali, masukkan minyak masak dan tumis bawang putih. Kacau hingga berbau wangi. Masukkan pula udang, bawang besar dan kacau lagi dalam 1 minit. Masukkan pula telur dan kacau dalam 30 saat.
3. Perlahankan sedikit api dapur dan masukkan nasi sejuk. Kacau dalam 2 minit dan langsung masukkan sos tiram, sos ikan/sotong dan nanas yang di cincang tadi. Kacau hingga sebati.
4. Setelah masak, matikan api dan hidangkan dengan cili padi potong.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)