SIAKAP BAKAR MASAK LEMAK

Assalamualaikum, 

Siakap bakar masak lemak ini sedapnya memang buatkan nasi bertambah-tambah. Nak masak pun simple sahaja dan saya guna resipi masak lemak ala-ala nogori. Ikan siakap ni pula saya bakar dalam non stcick pan sambil-sambil sediakan bahan kisar. Sekejap je dah siap sebab saya bakar tidak terlalu garing.

Cadangan awal tu nak masukkan belimbing buluh dalam masakan ni sebab disini memang musim belimbing buluh galak berbuah. Sudah saya kutip belimbing secukupnya dan daun kunyit ketika berkunjung ke rumah ibu. Dah rancak berbual-bual tu, bila sampai rumah baru sedar semua tertinggal disana. Agaknya tak ada rezeki untuk masakan ni. Sudahnya saya masukkan asam gelugur dan walaupun tanpa daun kunyit siakap bakar masak lemak ni tetap sedap dan terangkat. Alhamdulillah anak-anak pun suka. 

Jom try masak :)  

SIAKAP BAKAR MASAK LEMAK
Bahan-bahannya
1 ekor ikan siakap saiz sederhana 
2 batang serai - diketuk
1 helai daun kunyit - disiat-siat (saya tak letak sebab tak ada stok)
500ml santan cair
100ml santan pekat
2 keping asam gelugur
Garam
Serbuk perasa - jika suka

Bahan Tumbuk
20 tangkai cili api
1 inci kunyit hidup

Cara membuatnya :

1. Bersihkan ikan dan gaul dengan garam. Bakar didalam nonstick pan sambil dialih-alihkan biar sekata dan angkat (Jangan bakar terlalu garing). Ketepikan seketika.


2 Masukkan bahan tumbuk, santan cair serta serai yang diketuk tadi dan asam gelugur kedalam ke dalam periuk. Masak hingga mendidih dan kecilkan api dapur.


3. Selepas itu masukkan pula santan pekat dan isi siakap yang dibakar tadi. Jika kuah terlalu pekat bolehlah ditambah sedikit air lagi.


4. Masak hingga mendidih dengan api sederhana dan dikacau selalu untuk mengelakkan santan pecah minyak. Perasakan juga dengan garam, gula dan serbuk perasa(jika suka). Bila ikan sudah masak, tutup api dan bolehlah hidangkan.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)