Assalamualaikum,
Pernah makan tak kuih tradisional pulut dakap? Agak sukar kalau nak cari kuih lama seperti ini dipasaran dan kalau teringin memang kena rajinkan diri buat sendiri dirumah lah. Kalau di Kedah atau sebelah utara Semenanjung Malaysia ni, perkataan 'dakap' tu memberi erti peluk sesuai dengan pulut ini yang diikat berpasang-pasangan dengan tali rafia sebelum dikukus. Mungkin dari sinilah pulut ini mendapat nama.
Proses membuat pulut ini tidaklah sesukar mana asalkan rajin, pasti menjadi. Kalau yang belum pernah rasa, pulut dakap ni memanglah sedap, kombinasi rasa lemak pulut dan manis pisang. Pisang yang sesuai digunakan adalah pisang raja.
Bagi yang ingin mencubanya, resipi ada dibawah ini, tetapi saya tidak sediakan langkah demi langkah kerana ini adalah gambar shoot final untuk Majalah Saji keluaran Disember 2016. Masa buat tu agak terkejar-kejar dan tak terfikir untuk jadikan entry blog.
Jom kita lihat resipinya :)
PULUT DAKAP
Bahan-bahannya:
3 cawan beras pulut
1 sikat pisang raja atau pisang awak yang masak ranum
3 cawan santan pekat + ½ sudu teh garam
daun pisang secukupnya ( dilayur sehingga layu)
tali untuk mengikat secukupnya
Cara-cara menyediakannya:
1. Rendam beras pulut selama 1 jam dan kukus hingga masak. Gaul rata dengan santan ketika pulut masih panas dan ketepikan seketika.
2. Ambil pisang dan belah dua. Sendukkan pulut dan letakkan ditengah-tengah daun pisang. Ratakan pulut dan letakkan pisang ditengah-tengahnya.
3. Lipatkan daun pisang seperti membalut lepat. Pastikan pulut membalut keseluruhan pisang. Buat sehingga pulut dan pisang habis.
4. Ambil dua bungkus pulut dan kembarkan keduanya secara bersemuka iaitu lipatan bertemu lipatan.Ikat dengan tali di bahagian atas dan bawahnya sehingga habis semua berpasangan.
5. Setelah selesai bolehlah dikukus selama lebih kurang 25 minit atau 30minit. Angkat dan hidangkan.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)