Hari ini saya ingin berkongsi maklumat tentang ilmu masakan pula. Selalu tu lebih kepada resipi sahaja, kan. Bila saya masuk ke blog saya dapati banyak tips yang saya tulis di website lama saya yang sudah tidak aktif lagi iaitu dapurlangkawi.com tetapi belum pernah saya kongsikan dengan pembaca blog ini dan artikel yang saya tulis, tentang kelebihan acuan silikon berbanding loyang biasa ini pernah disiarkan di SIRAP LIMAU.COM suatu masa dulu.
Semoga perkongsian dibawah ini memberi manafaat kepada yang sedang mencari maklumat tentang acuan silikon.
6 KELEBIHAN ACUAN SILIKON BERBANDING LOYANG BIASA
Penggunaan acuan silikon menjadi trend baru di dalam dunia masakan sejak kebelakangan ini. Ramai telah beralih kepada acuan jenis ini didalam proses pembuatan kek, muffin, puding dan kuih muih.
Terdapat beraneka jenis acuan silikon di pasaran dan didatangkan dengan warna yang menarik, agak terang serta beraneka bentuk yang memukau.
Walaupun harga acuan jenis silikon ini agak mahal sedikit dari acuan biasa tetapi masih berbaloi dimiliki memandangkan banyak kelebihannya. Ianya mudah didapati di kedai peralatan dapur dan kedai bahan kek serta banyak dipasarkan melalui jualan diatas talian.
Kelebihan acuan jenis ini adalah selain boleh digunakan di dalam oven sehingga suhu 200'celcius ia juga boleh disejukkan di dalam freezer. Fungsinya yang istimewa ini membolehkan anda menggunakannya untuk membakar kek dan untuk membuat puding.
Jika anda ingin membakar kek atau kuih di dalam oven, pastikan lapik oven dengan dulang pembakar terlebih dahulu untuk memudahkan anda mengangkat loyang ini kerana loyang silikon ini sangat lembut.
Ingin tahu apa kelebihan loyang silikon? Berikut ada 6 sebab kenapa anda berbaloi memiliki loyang jenis ini sebagai teman di dapur:
• Acuan silikon tidak memerlukan anda menyapu sebarang minyak atau margerin sebelum di tuang adunan kerana ia tidak akan melekat dan mudah di tanggalkan dari acuan setelah kek/kuih masak.
• Acuan jenis ini lebih cepat panas dan rata di seluruh bahagian.
• Kek atau kuih mudah dikeluarkan dari loyang, hanya dengan di putar perlahan.
• Boleh digunakan di dalam freezer, peti sejuk, microwave , oven, pengukus dan mudah dibersihkan.
• Ianya tidak berkarat dan mudah dibersihkan.
• Acuan silikon sangat ringan dan mudah pula disimpan tanpa bimbang acuan berubah bentuk.
Walaupun acuan silikon mempunyai banyak kelebihan, tetapi penjagaan sempurna juga perlu dilakukan bagi memastikan kualiti acuan jenis ini tidak terjejas dan tahan lama. Jangan sesekali memotong terus kek ataupun puding yang masih berada didalam acuan silikon kerana anda boleh dengan tidak sengaja terpotong acuan tersebut.
Selepas digunakan, pastikan acuan dibersihkan dengan span lembut. Jangan guna pad penyental yang kasar kerana ianya akan merosakkan permukaan silikon.
Jangan letakkan acuan silikon terus diatas api dapur kerana ia akan merosakkan silikon. Walau bagaimanapun ianya selamat dimasukkan kedalam oven dan mikrowave.
Sentiasa rujuk arahan penggunaan atau label dari pengilang yang menetapkan suhu tertinggi yang boleh digunakan untuk acuan silikon. Setiap pengeluar mungkin menetapkan suhu yang berbeza terhadap produk mereka.
Secara keseluruhan, trend penggunaan acuan silikon boleh memberi pengalaman baru terutamanya jika anda seorang yang gemar memasak. Mungkin anda boleh mula merancang untuk mencari koleksi acuan silikon pertama selepas ini dan mencubanya sendiri.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)