BROWNIES COKLAT SEDAP

Assalamualaikum, 

Selamat tahun baru masehi 2017 untuk semua pembaca yang sudi menjengah ke blog ini. Hari ni sudah masuk ke hari kedua di bulan januari dan ini adalah posting entri yang pertama bagi tahun ini. Moga-moga saya teruslah istiqamah untuk berblogging dan tidak tenggelam timbul lagi seperti penghujung tahun lepas. 

Sibuk bukan bermaksud tiap hari tak masak, cuma tak sempat setting untuk ambil gambar. Sudahnya bersawanglah blog ini tanpa entry terkini.

Hari ini saya masukkan resipi brownies coklat simple yang ada tersimpan dalam draft yang saya buat penghujung tahun 2016 sebelum anak-anak pulang kembali keasrama. Resipi brownies ini memang mudah dan hampir dengan resipi-resipi brownies sebelum ini juga. Rasanya memang sedap walaupun dimakan begitu sahaja tanpa sebarang topping. Jom kita tengok bahan-bahannya :)  

BROWNIES COKLAT SEDAP
Saiz loyang : 8inci
Bahan-bahan
2 biji telur - Gred A
110gm tepung gandum
120gm mentega
120gm gula perang 
230gm coklat masakan
1 sudu besar serbuk coklat
1/2 sudu teh nescafe
1/2 sudu teh - baking powder


Cara membuatnya : 

1. Campurkan baking powder dan serbuk koko kedalam tepung gandum. Kacau hingga bercampur dan ketepikan seketika.

2. Cairkan 1/2 sudu teh nescafe dengan 1/2 sudu teh air panas, ketepikan.

3. Dengan menggunakan kaedah double boiler, cairkan mentega bersama dengan coklat masakan. Kacau hingga cair dan tiada yang bergumpal, masukkan pula gula perang. Matikan api dapur dan kacau lagi hingga gula larut.
4. Masukkan larutan nescafe dan kacau lagi. 

5. Masukkan pula telur sebiji demi sebiji dan kacau tiap satunya hingga sebati dengan adunan.

6. Akhir sekali masukkan tepung sedikit demi sedikit dan kaup balik menggunakan spatula (Jangan terlebih kacau).

7. Tuang adunan kedalam loyang yang telah dilapik kertas dan bakar pada suhu 180'c selama lebih kurang 25 - 30minit. (Jika suka tabur coklat chips ataupun almond nibs keatas adunan sebelum dibakar). 

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)