MURTABAK AYAM

Assalamualaikum, 

Selamat berhari minggu untuk semua pembaca yang sudi singgah disini. Entry hari ini masih berkisar tentang resipi yang saya shoot untuk Majalah Saji keluaran Disember 2016, jadi tiada langkah demi langkah yang disediakan. Resipi kali ini adalah Murtabak ayam. 

Seperti yang kita tahu murtabak memang salah satu makanan yang digemari oleh rakyat Malaysia dan selalunya menu yang satu ini paling laris dan dicari ketika bulan Ramadhan tiba, namun hari-hari biasa pun ramai penggemar murtabak ni.

Tak susah sebenarnya nak buat murtabak kerana adunan untuk kulitnya sama seperti kita membuat roti canai. kalau buat sendiri dirumah boleh letak banyak inti serta bawang jeruk yang dihasilkan juga boleh di kurangkan pewarna agar tidak terlalu terang dan menyerlah seperti yang dijual. 

Jom kita lihat resipi dibawah ini :) 

MURTABAK AYAM
3 cawan tepung gandum.
1 hingga 1 ½ cawan air (Masuk 1 cawan air dan jika adunan keras tambahkan lagi air sedikit demi sedikit)
1 sudu besar shortening ataupun boleh gantikan dengan mentega
2 sudu besar susu pekat manis.
garam secukup rasa.
1 sudu besar minyak

Cara membuatnya :

1. Larutkan susu pekat manis, minyak masak dan garam  kedalam 1 cawan air. Seterusnya masukkan tepung,shortening  dan bancuhan air tadi  kedalam mangkuk pengadun.

2. Uli hingga sebati dan Jika nampak dohnya agak keras tambahkan sedikit air dari 1/2 cawan air tadi.

3. Terus lagi menguli hingga doh menjadi a elastik dan rehatkan selama 30 minit.Tutup dengan kain lembab.Bentukkan menjadi bebola kecil seberat 75 gm-90 gm  setiap satu.Sapukan dengan minyak masak.

4. Perap selama  2 jam dan setelah itu tebar seperti membuat roti canai atau tarik nipis-nipis. Masukkan inti, lipat dan tutup balik. Goreng dengan api perlahan diatas kuali leper hingga masak.

BAHAN UNTUK INTI
300gm daging ayam cincang
2 labu bawang besar- dipotong dadu
3 ulas bawang putih- di cincang
4 sudu besar rempah kari
garam dan gula secukup
6 biji telur

1. Tumis bawang besar dan  bawang putih hingga berbau wangi, masukkan daging ayam cincang dan rempah kari. Perasakan dengan garam dan gula, masak hingga kering. Setelah siap, matikan api dan sejukkan. Bila inti telah suam, campurkan dengan telur dan kacau hingga sebati.

JERUK BAWANG
1 labu bawang besar - dihiris halus
2 sudu besar cuka
1 sudu besar air
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh gula pasir
beberapa titis pewarna merah

Gaul semua bahan dan perap seketika. Apabila dah menjadi iaitu bawang menjadi lembut, bolehlah dihidangkan dengan murtabak.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)