TUMIS KACANG PANJANG TELUR MASIN

Assalamualaikum,

Bagaikan tak lengkap hidangan nasi tanpa sayuran, walaupun ada yang tak suka makan sayur tetapi jika kita kreatif sedikit di dalam penyediannya, ia boleh menjadi hidangan yang di gemari.  

Hari ini saya ingin berkongsi resepi mudah iaitu tumis kacang panjang telur masin. Seperti juga hidangan sayuran lain, masa penyediannya juga singkat sahaja dan sedap di nikmati dengan nasi panas. 

TUMIS KACANG PANJANG TELUR MASIN
Bahan-bahan
300gm kacang panjang - di potong sepanjang 1 inci
1 sudu besar sambal belacan - atau tumbuk 1 tangkai cili merah dengan 1 sudu teh belacan
1 sudu teh gula
1/2 sudu teh lada sulah
1/4 cawan air 
5 ekor udang saiz sederhana - di kopek kulitnya
1 biji telur masin - di rebus dan belah dua (1 bahagian di cincang dan satu bahagian lagi di potong baji)

Bahan Tumis
2 sudu besar minyak masak
2 ulas bawang putih - di hiris
3 ulas bawang merah - di hiris
1/2 tangkai cili besar - di hiris

Bahan Sos
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
1/2 sudu besar sos sotong

Cara membuat :

1. Tumis Bawang merah, bawang putih dan cili besar hingga harum dan keperangan.
2. Masukkan pula kacang panjang dan dan udang sambil di kacau.

3. Masukkan air dan masak sehingga kacang lembut sedikit.
4. Seterusnya masukkan bahan sos, lada sulah dan gula sambil di kacau. Jika kuah agak pekat, bolehlah di masukkan sedikit air lagi. Masukkan juga satu sudu besar sambal belacan.
5. Masukkan pula sebahagian telur masin yang di hancurkan dan kacau rata serta matikan api dapur. 
6. Hidangkan sayur yang telah masak dengan menabur sebahagian lagi telur masin yang di potong.