SAMBAL IKAN PETAI - SUPER PEDAS

Assalamualaikum,


Sambal tumis petai memang membuka selera, tetapi penggemar pedas seperti saya lebih suka menggunakan cili padi dan cili besar yang di kisar kasar sedikit untuk menghasilkan sambal ini. Selalunya saya buat dalam kuantiti yang banyak dan ini akan menjadi penyelamat di saat tak sempat untuk memasak. Hanya tambahkan udang, sotong atau boleh juga goreng ikan dan tuangkan sambal ini di atasnya seperti yang saya buat hari ini.

Resepinya ringkas, seperti sambal tumis yang biasa kita buat tu, tapi bagi yang suka, boleh membuatkan nasi bertambah-tambah. Jom kita lihat cara membuatnya... :)

SAMBAL IKAN PETAI - SUPER PEDAS

Bahan A
4 Keping isi ikan - saya gunakan ikan gerut (gaul dengan garam, kunyit dan goreng)
1/2 cawan petai - yang telah di kopek
1 labu bawang besar - di hiris
1 sudu besar kerisik
2 sudu besar minyak - untuk menumis
garam dan gula secukup rasa

Bahan B - Kisar
5 tangkai cili besar 
20 tangkai cili padi - kurangkan kalau tak tahan pedas
1 cawan air asam jawa
1/2 inci belacan
5 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih 

Cara membuat :

1. Tuang minyak di dalam kuali dan tumis bahan-bahan kisar dan kacau hingga wangi.
2. Masukkan pula air asam jawa untuk seimbangkan rasa pedas dari cili padi.
3. Seterusnya masukkan petai sambil di kacau. Tambahkan gula dan garam secukup rasa.
4. Masukkan kerisik dan bawang besar sambil di kacau hingga sebati. 
5. Suaikan kepekatan sambal ini, jika ingin cair sedikit, boleh tambahkan air. Setelah sambal masak sepenuhnya bolehlah di masukkan isi ikan yang di goreng atau udang dan sotong mengikut pilihan anda.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)