Pertama sekali, sama-samalah kita doakan agar banjir di negeri-negeri pantai timur reda dan mangsa yang di pindahkan mendapat bekalan makanan, pakaian dan ubatan yang secukupnya. Sedih bila tengok gambar banjir yang di kongsikan oleh teman-teman FB, apalagi mendengar berita ada mangsa yang terkorban.
Tempias hujan lebat dan cuaca yang tidak menentu juga melanda di negeri-negeri lain. Sama-samalah kita berdoa agar keadaan segera pulih dan kembali seperti sediakala, apatah lagi menjelang tahun baru 2015 dan anak-anak akan kembali ke sekolah.
Baiklah, sebenarnya serbasalah untuk berkongsi resepi di saat ada yang sedang berduka dengan musibah dan ujian. Tetapi, sebagai blogger masakan...ini adalah perkongsian ilmu yang saya harap bermanafaat bagi yang ingin mencuba dan bukan untuk tujuan menunjuk-nunjuk.
LEMPENG CENDAWAN
Bahan-bahan
1 cawan tepung gandum
1 cawan susu segar
1/4 sudu teh garam
3 tangkai daun bawang - di hiris
5 tangkai cendawan tiram - di hiris nipis
1 biji telur
1 sudu teh baking powder
Cara Membuatnya:
1. Ayak tepung gandum bersama baking powder ke dalam mangkuk besar. Masukkan garam, daun bawang dan cendawan tiram.
2. Di dalam bekas lain, pukul telur dengan garfu dan tuang ke dalam bekas tepung tadi.
3. Masukkan juga susu segar sambil di kacau.
4. Kacau hingga sebati dan biarkan seketika dalam 5 minit agar adunan bercampur.
5. Seterusnya tuang sedikit adunan menggunakan senduk kecil ke dalam kuali anti lekat. Lenggang adunan tersebut hingga rata dan bakar menggunakan api sederhana.
6. Bila lempeng sudah masak, bolehlah di hidangkan dengan kari mengikut citarasa anda.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)