PUDING KARAMEL

Assalamualaikum,

Puding Karamel ni saya buat untuk Iftar hari kedua atas permintaan anak-anak. Malam tadi tidak sempat nak update blog sebab ada hal keluarga penting yang harus diselesaikan jadi saya masukkan untuk entry hari ini sahajalah. Simple je resipi puding karamel ni dan saya buat cukup-cukup untuk berbuka puasa sahaja menggunakan loyang bulat bersaiz 6 inci, tapi anak-anak memang puas makanlah. Seorang dapat 3 potong.

Ada banyak resipi puding karamel berlegar di internet dan semuanya sedap-sedap belaka. Jom try versi ini pula :) 
PUDING KARAMEL 
Saya guna loyang saiz : 6 inci
5 biji telur - Gred A
500ml susu segar 
80gm gula pasir
1 sudu teh esen vanilla
mentega secukupnya - untuk disapu pada loyang

Karamel 
90gm gula pasir
5 sudu besar air 

Cara membuatnya :

1. Masukkan gula kedalam periuk dan cairkan sambil dikacau hingga menjadi karamel menggunakan api sederhana. Masukkan air dan kacau segera dengan whisk hingga tiada gula yang berketul.

2. Sapu mentega pada loyang dan tuang karamel tersebut kedalam loyang. Ketepikan seketika.

3. Panaskan susu dengan 80gm gula pasir dan kacau hingga gula larut lalu matikan api dapur.

4. Pukul telur dengan esen vanilla sekadar telur bercampur sahaja (jangan sampai kembang). Tuang susu suam kedalam bekas berisi telur tadi dan pukul lagi dengan hand whisk.

5. Tuang adunan kedalam loyang berisi karamel dan kukus selama 45minit atau sehingga masak. Setelah masak dan sejukkan, bolehlah ditelangkup puding karamel kedalam pinggan leper dan hidangkan.