DONAT GEBU DAN LEMBUT

Assalamualaikum,

Lama rasanya tak update blog, hari ni saya masukkanlah resipi Donat Gebu dan Lembut ataupun donat maizena@yunda yun yang dah lama terperap dalam draft. Untuk entry kali ini tidak ada langkah demi langkah ye sebab dah selalu saya letak pada entry donat dalam blog ini dan stepnya pun sama sahaja.

Resipi ini memang menghasilkan donat yang gebu serta lembut. Jika rasa adunan lembik dan melekat-lekat di jari semasa proses menguli, bolehlah tambahkan lagi tepung gandum dan uli hingga elastik membentuk tekstur doh yang dikehendaki.    

Saya suka menikmati donat yang digolek kedalam gula kastor tapi si bongsu pula suka celup kedalam nutella. Memang serasi betul gandingan nutella dengan donat gebu dan lembut ni..sedap. Jom lihat resipi.

DONAT GEBU DAN LEMBUT
500 gram tepung gandum
200 ml air suam       
75 gram margerin        
5 sudu makan gula pasir       
5 sudu makan susu tepung     
5 sudu makan tepung jagung     
2 biji telur
1 bungkus yis (11 gram)

Cara membuatnya:

1. Campurkan air dan yis di dalam gelas dan biarkan selama kira-kira 5 minit hingga berbuih.

2. Masukkan semua bahan kecuali kecuali margerin kedalam mangkuk besar. Masukkan juga larutan yis tadi dan kacau rata, kemudian baru masukkan margerin.

3. Uli hingga doh elastik dan tambahkan tepung gandum sedikit jika rasa masih terlalu lembik dan melekat di tangan.

4. Tutup doh menggunakan kain dan biarkan selama 30 menit hingga naik. 
Seterusnya bahagikan doh mengikut ukuran yang dikehendaki, bentuk dan bulatkan doh dan biarkan lagi doh naik selama 20 menit.

5. Tekan doh menjadi agak tipis, kemudian lubangkan bahagian tengahnya dengan telunjuk.Goreng donat menggunakan api kecil.

6. Angkat dan toskan donat dan setelah sejuk bolehlah digolek kedalam gula kastor ataupun boleh juga letakkan topping yang sesuai mengikut selera.