KARI AYAM HIJAU ALA THAI

Assalamualaikum,

Sekejap sahaja dah 11 ramadhan kita lalui hari ini. Ramadhan tahun ini saya agak kurang rancak update blog kerana masa dan kesihatan kurang mengizinkan. Terimakasihlah kepada yang prihatin dan pm di facebook bertanya khabar kenapa saya jarang update blog dan tidak muncul di facebook. Memang hari-hari masak juadah untuk berbuka dan bersahur tetapi tak sempat nak ambil gambar dan update kedalam blog. Hari ini ada sedikit ruang, bolehlah masukkan gambar dan resipi kari ayam hijau ala Thai bagi yang ingin mencubanya. Maaflah gambar langkah demi langkah yang disediakan ala kadar sahaja dan tidak 'detail'.

Di rumah ni kalau masak menu Thai memang ramai yang suka dan mendapat sambutan, tak kiralah apa je masakannya. Tambahan pula Kari ayam hijau ala Thai ini rasanya sedap kombinasi rasa aneka rempah. Memang membuka selera. Nak cuba masak sendiri dirumah? Langkah pertama mestilah sediakan dulu pesnya. Kalau sediakan dalam kuantiti yang banyak pun boleh dan masukkan kedalam peti sejuk. Jika nak guna hanya campurkan dengan santan dan terus masak sahaja. Jom kita lihat resipinya :) 

KARI AYAM HIJAU ALA THAI
Bahan-bahan
400gm isi ayam bahagian dada - dipotong saiz sederhana 
1 cawan santan pekat
2 1/2 cawan santan cair
4 helai daun limau purut - dicarik dan buang tulang tengahnya 
8 biji terung thai - belah empat dan rendam dalam air seketika
1/2 cawan daun kemangi 
1 1/2 sudu besar sos ikan Thai 
2 sudu teh gula melaka 
1 sudu teh garam 
Bahan Pes 
1/2 sudu teh biji ketumbar
1/2 sudu teh jintan putih
1 sudu teh lada putih 
5 tangkai cili hijau 
15 tangkai cili padi hijau 
1 sudu teh garam 
1 sudu besar lengkuas yang telah dicincang 
2 batang serai - dicincang 
1 sudu besar kulit buah limau purut - hiris nipis
5 sudu besar daun ketumbar dicincang
10 ulas bawang putih 
3 ulas bawang merah 
1 sudu teh belacan 

Cara memasak : 

1. Goreng tanpa minyak biji ketumbar, jintan putih dan lada sulah. Setelah itu masukkan kedalam lesung batu dan tumbuk hingga lumat. Masukkan pula cili padi , garam dan cili hijau, sambil ditumbuk lagi.

2. Seterusnya masukkan semua bahan-bahan B dan tumbuk hingga menjadi pes. Ketepikan seketika.
3. Panaskan minyak, masukkan santan pekat dan pes kari hijau. Masak hingga pecah minyak sambil dikacau.

4. Masukkan isi ayam dan daun limau purut sambil dikacau. Masukkan pula gula melaka dan sos ikan dan masaklah dalam 4minit.
5. Setelah itu masukkan santan cair, tomato, daun kemangi dan terung thai. Renih sehingga mendidih dan masak sepenuhnya. Suaikan rasa dan bolehlah dihidangkan bersama nasi.