KUE TEOW GORENG SEAFOOD YANG SEDAP

Assalamualaikum,

Sedap petang-petang begini kalau dapat 'pekena' kue teow goreng. Kalau buat sendiri boleh letak berbagai jenis lauk citarasa kita sendiri. Sebenarnya saya lebih suka menikmati kue teow goreng dibandingkan dengan char kue teow yang agak berkuah tetapi dalam rumah ni ada yang suka sebaliknya. jadi resepi pes ini sesuai sangatlah. Boleh di goreng biasa atau buat char kue teow.

Kalau anda ingin mencuba, saya sarankan gandakan resepi ini dan lebihannya boleh di simpan di dalam peti sejuk. Kan mudah jika rasa nak menikmati kue teow goreng kuahnya telah tersedia. Nak buat char kue teow pun boleh...cuma tambah 1/2 cawan air ketika menggorengnya. 

KUE TEOW GORENG SEAFOOD
Sumber : norlieharumaini

Bahan A
1 ekor ketam -saya tambah
200 gm udang
250ml air 
4 ulas bawang putih di ketuk
6 sudu besar sos tiram 
3 sudu kecil kicap pekat 
3 sudu besar kicap manis
1 kiub pati ikan bilis
2 sudu kecil garam - saya tak letak 

Bahan B
300gm Kue Teow 
1 sudu besar cili kisar 
Sedikit kucai & taugeh
2 biji telur 


Untuk membuat pes : 

1. Rebus udang dan ketam dengan air. Bila hampir masak, angkat udang dan ketam dan ditoskan airnya. Air rebusan jangan buang. Kupas udang.
 

2. Asingkan isi dari kulit serta kepala. Ambil kulit dan kepala udang tu dan kisar bersama air rebusan tadi. Tapis dan ketepikan air pati udang ni. 
3. Campurkan semua bahan untuk pes dengan air pati udang tadi, reneh hingga menjadi pes yang agak pekat. Matikan api biarkan pes sejuk dan bolehlah simpan di dalam peti ais.

UNTUK KUE TEOW GORENG SEAFOOD :

1. Tuang sedikit minyak di dalam kuali, tumis cili kisar hingga agak garing.

2. Masukkan pula ketam dan udang yang di rebus tadi dan kacau seketika.
3. Setelah itu masukkan kue teow, kucai serta taugeh dan tuang 1/2 cawan pes yang di masak tadi. Kacau hingga semuanya sebati.
4. Ketepikan kue teow dengan sudip dan pecahkan telur di tengah-tengah kuali. kacau dengan pantas sekadar telur bercampur dengan kue teow tadi dan matikan api. 
5. Bolehlah di hidangkan segera. Sedap di nikmati dengan cili jeruk. 


UNTUK CHAR KUE TEOW - Tumis cili kisar hingga garing. Masukkan dalam 1/2 cawan pes tadi. Masukkan udang yg telah direbus tadi dan kerang. Biasanya char kuey teow agak berkuah jadi letak sikit air dalam 1/2 cawan. Bila air mendidih  masukkan kue teow, kucai, taugeh dan kacau rata. Pecahkan telur, kacau dan bolehlah diangkat. Proses memasak kue teow ni dalam 3 atau 4 minit sahaja, pastikan api kuat semasa memasak.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)