KARI UDANG DENGAN TOFU POK

Assalamualaikum,

Selamat Berhari minggu untuk semua. Kalau sebut tentang menu kari, memang menjadi pilihan dan kegemaran orang sebelah utara semenanjung Malaysia. tak kiralah apa jenis kari pun, memang membuka selera jika di gandingkan dengan nasi panas. 

Hari ini saya ingin berkongsi resepi kari udang dengan tofu pok tumis darat. Bagi adik-adik yang kurang tahu, Istilah tumis darat adalah menumis dalam bekas berasingan dan di tuang kedalam kuah kari yang telah masak.Kelebihan tumis darat ini adalah kari akan berbau lebih harum dan ini pastinya membangkitkan lagi selera makan.

Baiklah, bagi yang inginkan resepinya ada di bawah ini. Resepi biasa yang ringkas sahaja, cuma di tambah tofu pok kedalam kari udang ini.
KARI UDANG DENGAN TOFU POK
Bahan-bahan

300gm udang saiz sederhana
6 ketul tofu pok - di belah dua
1 tangkai cili hijau 
1 biji tomato - di potong empat
1 sudu besar air asam jawa
1 bungkus kecil serbuk kari - 25gm
1 sudu besar cili kisar
3 cawan air
1 cawan santan 
garam secukup rasa

Bahan Tumis Darat (Bahan B)
1 sudu besar halba campur
2 tangkai daun kari
1 labu bawang besar - di hiris halus 
3 ulas bawang putih - di cincang
Cara membuatnya:

1. Masukkan serbuk kari yang di bancuh dengan air dan 1 sudu besar cili kisar.

2. Masukkan 3 cawan air dan nyalakan api dapur. Masukkan pula tofu pok dan masak sebentar.

3. Seterusnya masukkan udang, tomato, air asam jawa dan cili hijau. Masak hingga mendidih.

4. Masukkan pula santan dan perlahankan api dapur agar santan tidak pecah. Renihkan hingga masak dan perasakan dengan garam dan sedikit gula. Bila telah masak sepenuhnya matikan api dapur.

5. Di dalam kuali lain panaskan 2 sudu besar minyak masak, tumis bahan B hingga berbau wangi dan bertukar warna keperangan. Seterusnya tuang bahan tumis kedalam kari udang tadi, kacau dan tutup bekasnya seketika.