DONUT - Step by step

Assalamualaikum, 

Selamat berhari minggu dan dah sarapan atau belum? Sedap juga kalau bersarapan dengan kuih atau hidangan yang kita sediakan sendiri di rumah ye. Resepi donut yang saya ingin kongsikan hari ni sesuai sekali di sediakan untuk keluarga bersarapan pagi atau minum petang sebab walaupun di biarkan hingga keesokkan harinya donut resepi ini tetap lagi lembut dan sedap.

Seperti biasa saya sediakan langkah demi langkah cara membuatnya dan di harap membantu kepada yang baru nak belajar buat donut khususnya anak-anak yang sedang cuti sekolah yang ingin mencuba.

Jom kita lihat :)
DONUT - Step by Step
160gm tepung gandum (saya guna superfine)
2sudu besar mentega
1sudu teh baking powder
2sudu besar gula
1 1/2sudu teh yis
60ml susu segar
1biji telur
1/2 sudu teh vanilla

Cara membuatnya :

1. Di dalam sebuah bekas : Masukkan susu segar, yis dan gula. Biarkan hingga berbuih.

2. Di dalam bekas yang lain, masukkan tepung. Buat lubang di tengah-tengahnya dan pecahkan telur. Masukkan juga esen vanilla.
3. Seterusnya tuang campuran susu segar dan yis tadi kedalam tepung dan mulalah menguli . Masukkan juga mentega dan uli selama 15 minit atau sehingga doh menjadi licin dan tidak melekat pada bekas. Jika adunan lembik dan melekat pada tangan, tekapkan tangan anda pada tepung dan terus menguli.
4. Rehatkan doh selama 45minit dan tutup bekas adunan dengan tuala dapur. Setelah cukup masa, keluarkan doh dan tumbuk untuk keluarkan angin.
5. Canai doh jangan terlalu nipis atau tebal. Terap menggunakan penerap donut dan rehatkan lagi dalam 30minit.

6. Goreng dalam api sederhana hingga masak dan setelah sejuk, salutkan dengan gula kastor atau boleh juga salutkan dengan coklat masakan yang telah di cairkan.