KEK MUDAH DAN GEBU - TANPA TELUR

Assalamualaikum,

Kek mudah, lembut dan gebu ini di hasilkan tanpa telur. Sesuai untuk sesiapa yang alahan pada telur atau berpantang dari memakan telur di atas sebab-sebab kesihatan. Ia juga sesuai bagi sesiapa yang teringin nak makan kek tengah-tengah malam tetapi pasaraya dah tutup dan bekalan telur di rumah dah kehabisan :D

Baiklah, hari ni tak dapat nak bercerita panjang sebab banyak kerja yang harus di selesaikan. Sibuk benar di pejabat jika hujung tahun begini dan cuti sekolah hampir tiba. Kita langsung saja lihat resepinya ya.  

KEK MUDAH DAN GEBU TANPA TELUR
200gm tepung gandum
225gm gula kastor - kurangkan jika tak suka manis
3 sudu besar susu tepung 
100gm mentega di cairkan
1sudu teh pes pandan
150ml air
1sudu teh baking soda

Cara memasak:

1. Cairkan mentega, ketepikan dan biarkan sejuk.
2. Ayak tepung gandum kedalam mangkuk besar. Masukkan juga baking soda, susu tepung dan gula kastor. Kacau dengan whisk hingga semua bahan bercampur.
3. Seterusnya masukkan air sambil di kacau dengan whisk dan masukkan pula mentega sambil di kacau lagi. Pastikan kacau sehingga gula hancur.
4. Bahagikan kepada dua adunan dan masukkan pes pandan kedalam salah satu dari adunan tersebut.

5. Tuang adunan berselang seli kedalam loyang dan bakar ke dalam ketuhar dengan suhu 180'c selama 30minit atau hingga masak. Kek ini juga boleh di kukus.