NASI LEMAK HALBA DAN SAMBAL UDANG

Assalamualaikum, 

Apa khabar pagi ini ?Dah sarapan atau belum agaknya. Bagi saya pagi ini ada permintaan dari anak yang tinggal di asrama dan pulang untuk cuti hujung minggu. Apalagi jika bukan nasi lemak halba yang sungguh wangi aromanya dan sedap pula. Kebetulan masih ada baki udang lebihan dari masak asam semalam, saya buatkan sambal untuk di gandingkan dengan nasi lemak ini. Cuma timun dan ikan bilis sahaja yang tidak ada stok jadi saya tidak letakkan dalam resepi ni.

Dulu ketika saya masih di zaman persekolahan dan ibu masih sihat, nasi lemak halba ini yang sering di masaknya untuk sarapan pagi. Tapi ibu selalu gandingkan dengan kari ikan dan sambal ikan bilis. Sedapnya makan nasi lemak ini dengan secawan kopi O sebelum berangkat ke sekolah. Nostalgia zaman kanak-kanak dulu memang semua yang indah-indah belaka, kan. Memang tak habis jika nak di ceritakan.

Baiklah, hari ini saya ingin berkongsi resepi yang mudah ini bagi yang ingin belajar membuatnya. Jom kita lihat resepi :) 

NASI LEMAK HALBA & SAMBAL UDANG
Bahan-bahannya
2 cawan beras
3 ulas bawang merah di mayang
2 cawan air
1 cawan santan
1 sudu teh halba
1/2 inci halia - di hiris nipis
2 helai daun pandan di simpul
Garam secukup rasa
Cara Memasak:

1. Basuh beras dan masukkan semua bahan-bahan termasuk garam ke dalam periuk nasi elektrik. Masak nasi seperti biasa.

2. Apabila nasi telah masak, bolehlah di hidangkan dengan sambal udang, kacang goreng dan telur rebus.



RESEPI SAMBAL UDANG 
500gm udang saiz sederhana
Bahan Kisar
1/2 inci belacan
3 ulas bawang merah
1 labu bawang besar
1 ulas bawang putih
10 tangkai cili kering - rendam dengan air panas hingga lembut
1/2 sudu asam jawa adabi
Garam dan gula secukup rasa

Cara Memasak:

1. Panaskan Kuali, masukkan minyak dan tumis bahan kisar di dalamnya. Masak hingga wangi sambil di kacau.

2. Masukkan udang sambil di kacau lagi. Tambahkan garam dan gula secukup rasa.
3. Masak hingga kuah agak pekat dan matikan api.

4. Hidangkan dengan nasi lemak halba tadi.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)