Assalamualaikum,
Agar-agar santan sirap rose paling ringkas tetapi kalau tak kena teknik membuatnya ia tidak akan menjadi dua lapisan. Ini yang sering berlaku terutama sekali bagi yang masih dalam proses belajar memasak seperti anak gadis saya tu.
Ada teknik sebenarnya nak menghasilkan dua lapis agar-agar ini, dan tips yang di kongsikan oleh Naz dari ovenkecil.blogspot sangat berguna. Terima kasih Naz, dan izinkan saya berkongsi sekali lagi di sini untuk rujukan kepada yang belum tahu dan ingin mencuba.
AGAR-AGAR SANTAN SIRAP ROSE
Sumber : Naz @ovenkecil.blogspot.com
Bahan-bahan :
1 paket serbuk agar-agar 10 gm atau 11 gm
1 liter air (4 cawan)
200 gm gula pasir (lebih kurang 1 cawan)
200-250 ml santan pekat (1 cawan) - (Naz guna santan kotak jer & boleh kurang kuantiti kalau nak dapatkan lapisan santan/atas yang nipis sedikit)
1 biji telur ayam - masukkan dalam santan dan kocak sikit dengan garfu
Secubit garam
2 helai daun pandan - dibasuh dan disimpulkan
1-2 sudu besar sirap rose ATAU beberapa titis pewarna pink dan perisa rose
Cara-cara:
1. Masak 1 liter air bersama gula dan serbuk agar-agar hingga gula larut.
2. Kecilkan api dan masukkan campuran santan bersama telur, garam dan sirap rose.
3.Masukkan juga simpulan daun pandan.
Kacau dan tunggu hingga menggelegak atas api sederhana.
PENTING!! Bila menggelegak, biar seketika lebih kurang 1-2 minit atau boleh kuatkan api dapur dan biar adunan mengelegak kuat sambil dikacau-kacau. Kacau ni untuk mengelakkan adunan membuak dan melimpah dari periuk. Apabila telah kelihatan adunan santan jadi berbintil-bintil, bolehlah di matikan api dapur.
Basahkan loyang atau apa-apa acuan kegemaran dengan air. Kemudian tuang adunan agar-agar santan dan biarkan mengeras. Boleh simpan di dalam peti ais untuk mendapatkan agar-agar yang sejuk.
TIPS DAN NOTA DARI NAZ
Untuk mendapatkan dua lapisan agar-agar, tipsnya ialah selepas memasukkan santan ke dalam periuk, biar adunan menggelegak lama sikit dalam 1 minit atau lebih. Ataupun, selepas masukkan santan, bila adunan mula mengelegak, kuatkan api dapur hingga adunan mengelegak kuat. Tapi kena hati-hati jangan sampai adunan membuak dan melimpah keluar dari periuk. Kacau-kacau adunan dalam 1 minit. Insyallah..'confirm' anda akan mendapat hasil agar-agar yang mempunyai 2 lapisan selepas keras nanti.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)