Assalamualaikum,
Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan
Buang emak buang saudara
Kerana kasih hamba turutkan
Gitu, pembuka bicara petang ini. Hihihi...pantun diatas tu memang indah sekali dengan pembayang dan maksud mempunyai hubungan dan rima akhir juga tersusun rapi. Pembayangnya juga ada unsur alam dan dilontarkan dengan bahasa kiasan yang halus dan penuh dengan sindiran. Cuma hakak nak pesan pada adik-adik yang sedang dilamun cinta, janganlah sampai buang keluarga semata-mata mengejar nafsu cinta yang tak kemana. Takut menyesal dikemudian hari dik oiii. Tetiba je kan saya jadi hakak bawang petang hari ni. Hihihi...
Sebenarnya saya nak cerita cuma resipi nasi lemak sambal bilis je, tapi melalut-lalut pula sampai ke pantun bagai. Tak apalah disamping berkongsi resipi kita selitkan juga nasihat dan sama-sama berpesan-pesan. Eh jomlah kita tengok perkongsian resipi dibawah ni...
NASI LEMAK SAMBAL IKAN BILIS
Bahan-bahan
Nasi lemak:
3 cawan beras - dibasuh & tuskan
4½ cawan air yang bercampur dengan santan (3 cawan air & 1 ½ cawan santan)
2 cm halia - dihiris nipis
1 batang serai - diketuk
2 ulas bawang merah - dihiris
1 sudu teh lada hitam
2 helai daun pandan -disimpul
1 sudu teh garam
Sambal tumis ikan bilis:
100gm ikan bilis - dibersihkan & digoreng
½ cawan air asam jawa
½ cawan minyak masak
Garam & gula secukup rasa (suaikan dengan ikan bilis yang masin)
Bahan Kisar
Sedikit ikan bilis - dibersihkan
15 tangkai cili kering -direbus
2 labu bawang besar
½ inci belacan
Cara membuat:
1. Nasi lemak : Masukkan beras ke dalam periuk nasi elektrik, diikuti dengan santan bercampur air dan garam.
2. Kemudian masukkan daun pandan, halia, serai bawang merah dan lada hitam. Kacau sekali lalu dan tutup periuk. Masak seperti nasi biasa.
3. Sambal tumis ikan bilis : Rebus cili kering sehingga benar-benar kembang dan tuskan. Kisar bersama bahan dikisar.
4. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
5. Masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa. Renihkan lagi.
6. Bila sambal telah pekat, bolehlah masukkan ikan bilis yang telah digoreng atau hidangkan berasingan dengan nasi lemak.
7. Setelah nasi masak, bolehlah dihidangkan dengan telur rebus, sambal ikan bilis dan kacang goreng.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)