NASI AYAM TOMYAM


Assalamualaikum,

Nasi ayam adalah salah satu menu yang di gemari oleh masyarakat di Malaysia. Antara yang popular di pasaran adalah nasi ayam madu dan nasi ayam hainan tetapi boleh juga di pelbagaikan bahan-bahan perapan nasi ayam untuk kelainan.

Kali ini saya ingin berkongsi resipi nasi ayam tomyam dan rasanya memang sedap dan tak kalah dengan nasi ayam dari jenis lain. 

Bagi yang ingin mencuba kesedapan nasi ayam ini, bolehlah mencuba resipi di bawah ini.


NASI AYAM TOMYAM

BAHAN A
Ayam sebelah - di potong dua atau tiga
1 kiub ayam
1 inci halia 
1 bungkus sup bunjut 
1 labu bawang besar 
2 ulas bawang putih 
1 kuntum bunga lawang, 2 kuntum buah pelaga dan 2 kuntum bunga cengkih 

UNTUK NASI - BAHAN B 
3 cawan beras 
4 cawan air rebusan ayam
2 helai daun pandan - di simpul
3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih dan 1/2 inci halia - di mayang halus 
sedikit pewarna kuning 
minyak untuk menumis

UNTUK PERAPAN AYAM - BAHAN C 
1 sudu besar pes tomyam 
1 1/2 sudu besar kicap sotong/ikan Thai 
2 ulas bawang merah, 1 ulas bawang putih, 1cm lengkuas & 1cm halia dan 1 tangkai daun ketumbar beserta akar - di tumbuk lumat 

Cara membuatnya:

1. Rebus ayam bersama-sama bahan A hingga masak dan keluarkan ayam. Masukkan garam secukup rasa di dalam air rebusan untuk di jadikan sup. Asingkan 4 cawan air rebusan ayam untuk memasak nasi.
2. Lumur ayam yang di rebus tadi dengan bahan-bahan C dan perapkan seketika agar bahan-bahan meresap ke dalam isi ayam. Seterusnya goreng atau bakar di dalam ketuhar hingga garing dan masak. Saya gunakan kaedah membakar.


3. Sementara itu tumis bahan-bahan untuk nasi ke dalam periuk dan masukkan beras. Masukkan juga air rebusan ayam dan masak seperti nasi biasa. Seimbangkan juga rasa nasi dengan memasukkan sedikit garam atau kiub ayam jika air rebusan ayam yang di gunakan kurang masin.

4. Setelah nasi masak, bolehlah di hidangkan dengan sos cili Thai dan kicap, jika suka.