Telur adalah menu murah pilihan penduduk dunia yang kaya dengan protein dan boleh dipelbagaikan dalam hidangan. Di Malaysia khususnya hidangan berasaskan telur begitu sinonim dengan masyarakat tempatan, malah telur rebus juga dihias cantik untuk dijadikan sebagai buah tangan kepada tetamu yang hadir di majlis kenduri- kendara. Bagi masyarakat di negeri Johor pula, kemahiran menghasilkan telur pindang dengan meracik berbagai jenis daun-daun herba telah menjadi tradisi zaman berzaman.
Walaupun menu berasaskan telur kelihatan mudah disediakan, tetapi kadang-kadang serba tak kena apabila ia tidak menjadi seperti yang diharapkan. Berikut adalah 4 tips hasilkan menu telur terbaik yang boleh dijadikan panduan.
1. TELUR REBUS
Jika ingin menghasilkan telur agar masak sempurna ataupun telur separuh masak, pastikan anda tahu tempoh yang sesuai untuk merebus.
Tahap kematangan telur dan tempoh memasak juga bergantung kepada volume air, suhu telur sebelum direbus serta ukuran telur. Tutup api dapur sebaik sahaja air rebusan mendidih dan biarkan proses kematangan telur berlaku didalam air tersebut. Tingkat kematangan telur selepas itu adalah seperti berikut :
2 minit setelah air mendidih : Putih telur tidak masak sepenuhnya dan kuning telur masih mentah.
4 minit setelah air mendidih : Putih telur sudah masak manakala kuning telur padat di bahagian luar namun masih berair di dalam.
6 minit setelah air mendidih: Bahagian putih dan kuning telur hampir masak sepenuhnya, tetapi agak lembik sedikit di bahagian tengah.
8 minit setelah air mendidih : putih telur dan kuning telur telah masak tetapi masih lagi lembut.
10 hingga 15 minit setelah air mendidih : Bahagian putih dan kuning telur masak sepenuhnya.
Selain daripada rebus telur menggunakan air, telur juga boleh direbus dengan melapik dua helai tisu kedalam periuk nasi. Renjiskan air pada tisu, tutup periuk dan tekan butang on.Tunggu hingga naik butang Keep Warm bolehlah tutup plug dan telur telah siap dimasak.
2. TELUR DADAR
Jika di Itali terkenal dengan telur dadarnya yang dinamakan Fritata dan di Indonesia dengan telur dadar Padang, masyarakat di Malaysia sendiri ternyata lebih menggemari telur dadar ala restoran Thai yang rasanya lazat serta rangup diluar.
Cara membuatnya pun tidaklah begitu sukar dan kita hanya perlukan 3 jenis bahan iaitu, 3 biji telur, ½ sudu besar sos ikan dan 1 cawan minyak untuk menggoreng .Mula-mula tuang minyak kedalam kuali dan pastikan minyak benar-benar panas untuk dapatkan telur yang garing. Sementara menunggu minyak panas, pecahkan telur kedalam mangkuk dan masukkan sos ikan, pukul hingga sebati. Tuang telur kedalam kuali dan kecilkan api dapur agar telur tidak cepat hangit. Setelah bahagian bawah telur bertukar keperangan dan agak garing, balikkan telur tersebut dan bila bahagian tersebut telah masak bolehlah diangkat. Resipi ini sangat ringkas tetapi sedap dan rangup, sesuai digandingkan dengan nasi putih.
3. TELUR HANCUR
Telur hancur dan roti bakar adalah gandingan sarapan yang hebat dan cara terbaik menghasilkan telur hancur yang gebu adalah dengan menggunakan 6 biji telur. Pecahkan telur kedalam mangkuk, masukkan secubit garam dan pukul dengan menggunakan garfu hingga sebati. Panaskan kuali dengan api yang kecil, masukkan ½ sudu besar mentega. Tuang telur kedalam kuali dan tunggu hingga telur kelihatan agak kental, tolak dari tepi kuali menggunakan spatula ke bahagian tengah kuali. Lakukan berulang-ulangkali sehinggalah semua bahagian masak dan inilah kunci untuk dapatkan telur hancur yang gebu, lembut dan tidak nipis. Seterusnya balik-balikkan telur hancur tersebut dan tabur sedikit lada sulah serta bolehlah di hidangkan. Pastikan telur tidak terlebih atau terkurang masak.
4. POACHED EGG
Poached eggs bukan hanya terkenal di Barat, tetapi di Malaysia juga ada resipi yang dimasak menggunakan cara ini sejak zaman berzaman dahulu iaitu masak lemak telur itik. Ada dua cara memasak iaitu yang pertama setelah kuah masak lemak mendidih, kecilkan api dapur, pecahkan telur itik serta lepaskan perlahan-lahan kedalam periuk berisi kuah tersebut. Jangan dikacau dengan senduk, jika tidak telur akan pecah. Hanya renihkan sehingga masak menggunakan api yang kecil.
Cara yang kedua pula, masukkan air kedalam periuk dan campurkan dengan sedikit cuka makan, didihkan dengan api yang kuat. Setelah menggelegak, kecilkan api dan pecahkan telur itik satu persatu. Setelah telur itik masak, angkat dan barulah dimasukkan kedalam kuah masak lemak. Jika dibarat pula, poached eggs dihidangkan ketika sarapan pagi bersama roti bakar.
Ada 2 tip menghasilkan poached eggs iaitu yang pertama didihkan air didalam periuk, kecilkan api dapur. Buat putaran air dengan mengacau menggunakan sudu, pecahkan telur kedalam mangkuk kecil dan lepaskan telur perlahan-lahan kedalam periuk. Dengan cara ini telur akan terbentuk cantik. Setelah 3minit bolehlah diangkat. Yang kedua pula gunakan plastik (cling plastic), sapu minyak masak dipermukaan plastik tersebut dan sumbat kedalam mangkuk kecil. Pecahkan telur serta simpulkan plastik tersebut dan masukkan kedalam periuk berisi air panas. Selepas 3 minit, angkat dan buka simpulan plastik serta hidangkan.
Itulah 4 tips hasilkan menu telur terbaik dan semoga bermanafaat.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)